suria

“Tanya kenapa lewat, dia kata sebab jalan kaki” - Naik bas tapi sampai lambat ke sekolah, kemusykilan guru terhadap pelajarnya terjawab jua

Pelajar perempuan itu tetap ke sekolah walaupun terpaksa berjalan kaki hampir sebatu sejak tiga minggu lalu.

KEMISKINAN bukan alasan untuk tidak ke sekolah sebaliknya menjadi pendorong buat seorang pelajar di sebuah sekolah menengah dekat Sabah untuk terus menimba ilmu pengetahuan.

Lebih menyedihkan gadis tersebut sanggup berjalan kaki ke sekolah gara-gara tidak cukup tambang bas.

Kisah meruntun hati itu dikongsi seorang guru di sekolah berkenaan, Maisarah Hannan menerusi satu posting di Facebooknya pada Jumaat lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Cikgu terkejut tengok kasut pelajar tingkatan 2... pelik kaki nampak lebih kecil - “Saya letak kain dalam tu”

ARTIKEL BERKAITAN: “Sekarang darjah 3 memang dia tak rasa malu” - Guru sebak murid jalan seret kaki, pakai seluar besar ‘bekas’ abang

Menurut guru kaunselor itu, dia menyedari pelajar perempuan tersebut sering datang lewat sejak tiga minggu lalu.

Posting Cikgu Maisarah menjadi tular di media sosial.

"Sepanjang tempoh tu saya bertugas di stesen pelajar datang lewat. Saya tanya dia kenapa lewat, dia kata dia jalan kaki. Bila dengar dia cakap macam tu saya terkejutlah.

"Saya tahu rumah dia di mana sebab pernah pergi rumah dia empat, lima kali jugalah beri bantuan makanan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya kepada mStar.

Boleh tahan jauh jugalah dia kena jalan kaki, kiranya dekat sebatu (1.6km). Kalau dari pasar tu ke sekolah dalam 10 ke 15 minit jalan kaki.

MAISARAH HANNAN

Guru kaunselor

Jelas Maisarah, pelajar tersebut hanya diberikan wang RM2 oleh ibunya sebagai tambang untuk pergi dan balik dari sekolah.

Namun katanya, pelajar itu akan menggunakan bas dari rumahnya dan berhenti di pasar batu 2½ yang tambangnya RM1 sebelum meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki ke sekolah.

Cikgu Maisarah sering membantu mereka yang dalam kesusahan sepanjang tempoh PKP.

“Dari rumah ke pasar batu 2½ tambang bas RM1. Untuk sampai ke sekolah pula dia terpaksa bayar lagi 50 sen tapi duit tak cukup sebab baki RM1 lagi untuk tambang bas balik ke rumah.

"Boleh tahan jauh jugalah dia kena jalan kaki, kiranya dekat sebatu (1.6km). Kalau dari pasar tu ke sekolah dalam 10 ke 15 minit jalan kaki.

"Kalau pagi okaylah cuaca sejuk, cuma balik tengah hari tu kasihan jugalah, dia terpaksa berpanas sampai pasar batu 2½ sebelum naik bas untuk balik rumah," katanya.

Kegigihan anak kelima daripada lapan beradik itu membuatkan Maisarah terpanggil untuk berkongsi kisah tersebut di Facebook miliknya.

"Saya sekadar mahu beritahu usaha pelajar tersebut. Walaupun dia jalan kaki tapi dia tetap bersemangat pergi ke sekolah.

Sesetengah pelajar sudah kembali ke sekolah sejak 24 Jun lalu. -Gambar hiasan

"Saya kagum dengan semangat dia tapi tak sangka viral dan ramai simpati. Semoga kisah dia menjadi inspirasi kepada pelajar lain," katanya.

Sementara itu, Maisarah turut menyifatkan pelajar tersebut seorang yang baik dan rajin di sekolah.

"Dia student yang baik. Walaupun dari kelas pertengahan tapi dia seorang pelajar yang rajin," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
jalan kaki, sekolah, tambang bas, lewat, PKP

Artikel Lain