suria

Tolak rasa malu, wanita hilang kerja sewaktu PKP mula niaga nasi lemak anggap berbaloi bersengkang mata - “Seronok bila pelanggan repeat, cakap sambal sedap”

Izyanhanis mula berniaga di gerai ini pada 1 Jun lalu.

SEBAGAIMANA yang dikongsi di media sosial, ramai sebenarnya rakyat negara ini terkesan dek pandemik Covid-19.

Ada yang lama terpisah dengan keluarga, tak kurang juga yang kehilangan sumber pendapatan kerana dibuang kerja.

Begitu juga dengan wanita ini apabila rezekinya sebagai kerani di sebuah syarikat terhenti sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan Mac lalu sebelum dia meneroka sumber pendapatan baharu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dugaan paling besar sepanjang 24 tahun berniaga” - Peniaga pasar malam akui terpaksa pelan-pelan kayuh selepas PKP

ARTIKEL BERKAITAN: “Orang fikir kami tak buka kedai” - Ada 3 kedai nasi kukus, lama berniaga di bazar... anak selami perasaan ibu bapa Ramadan kali ini

Pada 1 Jun lalu, Izyanhanis Umiruddin, 31, membuka gerai nasi lemak di Taman Ros, Teluk Intan, Perak.

"Tak ada rezeki, saya pun dah tak bekerja. Jadi saya buka kedai pada 1 Jun. Sebelum ni pun saya buat nasi lemak dan ia dihantar di kedai orang.

Antara hidangan yang dijual di gerainya.

"Kali ni saya berniaga sendiri pada waktu pagi. Alhamdulillah, mula-mula risau juga. Tapi setakat ni berjalan lancar.

"Ada nasi lemak sebagai menu utama, ada kuih-muih dan goreng-goreng yang lain juga," ujarnya kepada mStar.

Menurut Izyanhanis, dia menyifatkan dugaan yang berlaku ada hikmahnya dan enggan terus berputus asa.

Izyanhanis mula berniaga 1 Jun lalu.

Malah katanya, dia gembira apabila ramai yang memberikan respon positif setelah mencuba air tangannya.

"Macam orang kata, jangan malu nak berniaga walaupun ia nasi lemak. Jangan fikir malu. Benda ni rezeki, ada di mana-mana.

Terima kasih sebab sokong saya. Alhamdulillah, bukan pelanggan sahaja, rakan-rakan peniaga di situ juga banyak berikan sokongan

IZYANHANIS UMIRUDDIN

PENIAGA NASI LEMAK

"Lepas tu orang boleh terima nasi lemak yang kita buat. Kalau nak kata nasi lemak ni ramai orang boleh buat.

"Tapi kalau sedap rasanya, orang datang cari juga. Seronok bila pelanggan repeat, cakap sambal sedap. Rasa dihargai.

"Kita nak bersengkang mata memasak pun rasa berbaloi," ujar isteri kepada pemandu lori itu.

Dalam pada itu, Izyanhanis turut terkejut apabila kisah perniagaannya menjadi tular di Twitter setelah dikongsi oleh adiknya.

Gerai Izyanhanis turut menawarkan aneka kuih muih buat pelanggan.

Katanya, dia bersyukur dengan respons positif yang diberikan dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan.

"Tak sangka, sebab saya sendiri tak ada Twitter. Saya sekadar post di Facebook sahaja.

"Terima kasih sebab sokong saya. Alhamdulillah, bukan pelanggan sahaja, rakan-rakan peniaga di situ juga banyak berikan sokongan," katanya lagi.

Sehingga kini, posting mengenai Izyanhanis di Twitter menerima lebih 1,700 ulang kicau (Retweet).

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Lain