suria

“Orang fikir kami tak buka kedai” - Ada 3 kedai nasi kukus, lama berniaga di bazar... anak selami perasaan ibu bapa Ramadan kali ini

Amirul mengakui rindu untuk berniaga bazar Ramadan seperti tahun-tahun sebelum ini.

KEHADIRAN wabak Covid-19 ternyata mengubah landskap kehidupan masyarakat dunia termasuklah di negara kita.

Malah, segalanya bagaikan berubah 360 darjah apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bermula 18 Mac lalu.

Turut merasai perubahan tentunya penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor ini apabila tiada lagi bazar Ramadan sejak umat Islam mula berpuasa Jumaat lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Cemburu semangat frontliner bantu rakyat Malaysia, kini On Bazaar nak hubungkan peniaga dengan 30,000 pembeli sepanjang Ramadan!

ARTIKEL BERKAITAN: Jual air balang pun 'bergelut', paling sedih laksa sedap ibu langsung tak terusik, “Saya tak tahu apa yang kurang”

Menurut Wan Muhammad Amirul Wan Arif, 23, sudah menjadi tradisi setiap tahun untuk dia membantu ibu bapanya berniaga nasi kukus ayam berempah di bazar Ramadan.

"Kurang seri Ramadan kali ini. Dari umur 14 tahun saya dah mula tolong mak ayah berniaga, sekarang dah umur 23.

"Sebelum ini kami buka dua gerai di bazar Ramadan (Bangi dan Kajang). Keluarga juga ada tiga kedai. Tapi disebabkan PKP, hanya satu kedai yang dibuka di Putrajaya tahun ini.



Amirul bersama ahli keluarganya.

"Kalau pergi berniaga di bazar, selalu waktu berbuka akan kongsi makanan dengan peniaga gerai lain. Sesama peniaga kita bertukar juadah

"Kalau bab masak tu saya hanya goreng-goreng sahaja. Air tangan mak orang lain tak boleh kacau. Saya hanya bantu operasi gerai dan juga dari segi pemasaran," ujarnya kepada mStar.

Menurut penuntut tahun akhir bidang akaun dan pemasaran itu, dia sedar bukan keluarganya sahaja, malah ramai yang turut terjejas dek situasi semasa yang melanda negara.

Selain rindu nak berniaga bazar Ramadan, rindu juga nak solat tarawih. Saya pula jenis rapat dengan kawan-kawan, memang wajib ada majlis berbuka bersama-sama.

WAN MUHAMMAD AMIRUL WAN ARIF

PENUNTU UiTM

Namun, dia juga sedaya upaya cuba menggunakan ilmu yang dipelajari dalam membantu mempromosi perniagaan keluarganya itu.

"Sebab saya anak sulung, nampaklah perasaan mak ayah. Tahun ni kurang sikit, sebab orang fikir kami tak buka kedai. Tempoh berniaga juga singkat.

"Bila saya post di Twitter, baru ramai sedar yang kami sebenarnya berniaga, cuma buka satu kedai sahaja di Putrajaya.



Berbeza dengan tahun sebelum lalu, kali ini ibu bapanya hanya membuka satu kedai sahaja.

"Selain rindu nak berniaga bazar Ramadan, rindu juga nak solat tarawih. Saya pula jenis rapat dengan kawan-kawan, memang wajib ada majlis berbuka bersama-sama," ujarnya lagi.

Tambah Amirul, pengalaman membantu ibu bapanya berniaga sejak awal remaja membolehkan dia mempelajari banyak ilmu.

Antaranya pengurusan kewangan dan juga kemahiran komunikasi dengan orang ramai.



Menu nasi kukus ayam berempah yang diusahakan keluarganya.

"Mak ayah saya dah lama berniaga, jadi kami adik-beradik pergi tolong, dari situ dapat belajar nak jimat duit. Tahu pengurusan kewangan, nampak perbelanjaan dan tahu kesusahan nak dapat duit.

"Saya juga dapat ilmu komunikasi dengan pelanggan, cara nak tarik mereka, gunakan platform media sosial untuk viralkan.

"Saya juga belajar bidang akaun dan perniagaan, secara tak langsung didedahkan dengan hal itu," ujarnya lagi.



Amirul rindukan suasana Ramadan tahun-tahun sebelum ini.

Menurut Amirul, menu signatur nasi kukus ayam berempah tersebut merupakan resipi ibunya, Aida Sulaiman, 41, yang diusahakan bersama bapanya, Wan Arif Wan Ibrahim, 46.

Sehingga kini, posting Amirul mengenai perniagaan keluarganya menerima lebih 2,500 ulang kicau (Retweet) di Twitter.

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain