suria

Pemuda tak sangka perkongsian lenggoknya di TikTok dianggap rare, terus tak jadi padam video!

Akid tidak sangka perkongsian video Inang Challenge yang dimuat naik di Twitter menjadi tular.

KETIKA tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dikuatkuasakan ketika ini, media sosial dibanjiri dengan pelbagai aktiviti yang dikongsi oleh netizen untuk menghilangkan kebosanan di samping mengisi masa lapang.

Ada yang berkongsi resepi dan juadah masakan, seni jahitan, senaman ringkas di rumah dan macam-macam lagi.

Namun yang paling trending ketika ini adalah perkongsian video-video daripada aplikasi TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Rancak main TikTok sampai kaki ‘mendarat’ di muka adik, abang dedah adiknya ingkar arahan - “Sebelum tu elok je kat tepi”

ARTIKEL BERKAITAN: TikTok punya hal, ibu 5 anak tiba-tiba popular... tanpa bantuan filter kamera - “Mami pun tak ada rutin atau tip pelik-pelik”

Syahir Akif Shahrin tidak ketinggalan berkongsi video daripada aplikasi popular tersebut di laman sosial Twitter miliknya.

Namun apa yang mencuri tumpuan, pemuda ini tidak seperti kebanyakan netizen lain yang berkongsi video tarian moden, sebaliknya dia ‘mempersembahkan’ tarian tradisional yang sungguh mengasyikkan.

Berkongsi cerita bersama mStar, dia yang senang disapa sebagai Akid berkata, video tersebut dirakam secara suka-suka kerana mahu menyahut cabaran #InangChallenge yang dimulakan oleh seorang choreographer, Khairul Mohtar.



Video tarian Inang yang dimuat naik oleh Akid di Twitter menjadi tular.

“Saja sahut cabaran tu untuk suka-suka dan hilangkan bosan. Kalau ikutkan, saya tak yakin nak kongsi sebab rasa banyak yang tak kena.

“Tambahan pula dah lebih tiga tahun tak menari. Kali terakhir menari ketika sekolah menengah dulu. Sebab tu saya tulis kapsyen ‘nak delete dalam tempoh 24 jam’.

“Tapi tengok banyak pula yang tonton video tu. Mula-mula hanya 1,000 views saja tapi tak sangka ramai yang tonton selepas tu. Ramai rupanya yang minat tarian tradisional. Siap ada yang minta jangan padam,” kata pemuda berusia 21 tahun ini.

Bagi saya, tak ada yang janggal atau mustahil pun golongan lelaki terlibat dalam tarian tradisional.

SYAHIR AKID SHAHRIN

Sehingga kini video yang dimuat naik Akid meraih 2,862 retweet dan 7,370 likes serta mencatatkan 159,000 tontonan.

Melihat lenggok tangan serta pergerakan yang lancar dan gemalai, rupa-rupanya pemuda ini sebenarnya adalah bekas penari kebudayaan di sekolah menengah dahulu.

“Saya menyertai kelab kebudayaan sekolah sejak berusia 13 tahun. Cikgu kami iaitu Cikgu Fiza dan Sir Fahmi tubuhkan satu kumpulan yang dinamakan Rentak Zapana.

“Menerusi kumpulan ini, kami banyak mewakili sekolah ke pertandingan di peringkat daerah dan negeri,” kata bekas pelajar SMK Tengku Idris Shah, Kapar, Selangor ini.



Akid menyertai kelab kebudayaan sekolah ketika berusia 13 tahun.

Ditanya mengapa memilih untuk menyertai kelab kebudayaan, Akid berkata ia bukanlah didorong oleh minat semata-mata.

“Sebenarnya bila tengok orang menari, saya jadi teringin nak belajar. Lagipun makin lama makin kurang orang yang minat bidang ni... jadi apa salahnya kita cuba angkat kembali.

“Bagi saya, tak ada yang janggal atau mustahil pun golongan lelaki terlibat dalam tarian tradisional. Kalau nak tahu, langkah tarian untuk lelaki dan perempuan adalah berbeza.

“Langkah tarian untuk lelaki lebih sharp manakala perempuan pula lebih kepada lenggok,” ujarnya yang kini merupakan pekerja di sektor swasta.



Kumpulan yang diberi nama Rentak Zapana ini banyak kali menyertai pertandingan kebudayaan di peringkat daerah dan negeri.

Tambah pemuda yang berasal dari Kapar, Selangor ini lagi, dia sendiri tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular malah mendapat sambutan netizen yang turut sama berkongsi video tarian #InangChallenge masing-masing.

“Ketika ini banyak dah tarian moden yang dikongsi di media sosial. Jadi apa salahnya guna masa yang ada untuk cungkil bakat tarian tradisional pula.

“Bukan Inang saja, ada banyak jenis tarian kebudayaan Melayu, Sabah, Sarawak dan sebagainya. Mana tahu, rupa-rupanya ramai yang berbakat, ” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain