suria

Bakal pengantin kejar flight ke Sarawak sempat bantu tukar tayar kereta doktor,  pakcik berkopiah -  “Bila dia nak sampai Melaka kalau macam tu”

Dr Asyikin terharu dengan pertolongan pemuda tersebut.

APA reaksi anda jika ada seseorang tidak dikenali tiba-tiba menyuruh menghentikan kenderaan semasa berada di lebuh raya?

Sudah tentu terdetik perasaan takut dalam hati kerana khuatir ia mungkin taktik penjenayah.

Namun tidak semua insan berperlakuan begitu berniat jahat, seperti pengalaman diceritakan wanita ini menerusi satu perkongsiaan di Facebooknya sehingga menjadi tular.

ARTIKEL BERKAITAN: Misteri kereta mengundur terjawab! Pemilik lega tindakan pantas pemuda ini dapat elak langgar Vellfire - “Jalan curve dari kanan lagi tinggi dari kiri”

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa bawa anak ke hospital terharu, staf India kejar sampai kereta nak bagi barang penting - “Malaysia sangat indah kalau kita nak lihat keindahan”

Berkongsi cerita kepada mStar, Dr Asyikin Azwa berkata kereta yang dinaikinya bersama anak, adik lelaki dan juga ibunya di lebuh raya Plus dari arah utara tiba-tiba dihampiri seorang penunggang motosikal jenis RXZ kuning pada petang Jumaat lalu.

"Masa tu saya dari Ipoh nak ke Ayer Hitam, Teluk Intan. Sebelum masuk highway tu hujan lebat. Saya ada terlanggar lopak. Tapi saya tak perasaan tayar pancit.

"Tak terfikir pun tayar boleh pancit sebab langgar lopak. Lepas langgar tu saya tak check tayar. Dah masuk highway pun still tak perasaan tayar belakang pancit.



Meskipun mengejar penerbangan untuk balik ke Sarawak, pemuda tersebut sempat membantu Dr Asyikin dan seorang lagi pemandu lain di lebuhraya sama. Gambar sekadar hiasan.

"Tiba-tiba adik naik RXZ BFE9785 datang sebelah kereta saya time tengah drive kat highway tu. Dia hon beritahu tayar kereta pancit. Mula-mula tu fikir betul ke mamat ni? Ntah-ntah orang jahat," katanya.

Namun doktor berusia 29 tahun itu memberanikan dirinya untuk menghentikan kereta kerana kejadian itu berlaku di siang hari.

"Masa nak berhenti saya fikir banyak kali juga. Nak teruskan atau berhenti. Takut juga sebab banyak cerita pemandu kena tahan dengan orang jahat end up kena rompak.

Saya terkejut dia pergi tolong pakcik kopiah putih. Baiknya budak tu. Sepanjang perjalanan dia memang kerjanya tolong orang je ke? Bila dia nak sampai Melaka kalau macam tu?

DR ASYIKIN AZWA

Pakar perubatan

"Tapi masa tu dalam pukul 5 petang, highway full dengan kereta. Saya fikir kalau orang jahat dia takkan suruh stop time orang ramai ni.

"Tu yang saya beranikan diri juga stop. Memang saya bersyukur sangat-sangat sebab dia alert kan. Kalau tak saya drive je kereta tu dengan tayar pancit. Dahlah saya ada baby umur setahun," katanya.

Selepas selesai proses menukar tayar spare, Dr Asyikin menghulurkan sedikit wang kepada pemuda berusia dalam lingkungan 25 tahun itu sebagai tanda penghargaan di atas bantuannya itu tetapi ditolak.

"Saya banyak kali suruh dia ambil duit buat duit minyak, makan ke tapi dia tetap tak nak. Dia kata memang ikhlas nak tolong. Jadi kami pun masing-masing berlalu pergi.



Wajah pemuda tersebut yang berjaya dikesan netizen.

"Saya terharu bila dia beritahu dia dalam perjalanan dari Taiping nak ke Melaka. Dia sebenarnya nak kejar flight balik Sarawak, nak balik kahwin. Nikah PKP.

"Tapi jauh lagi perjalanan adik tu. Time tu masih dekat Perak tapi dia sempat lagi nak tolong saya tukarkan tayar pancit," katanya.

Ketika meneruskan perjalanan mereka, Dr Asyikin terkejut melihat kelibat pemuda tadi turut membantu sebuah lagi kenderaan yang rosak.

"Saya terkejut dia pergi tolong pakcik kopiah putih. Baiknya budak tu. Sepanjang perjalanan dia memang kerjanya tolong orang je ke? Bila dia nak sampai Melaka kalau macam tu?

"Saya pun terus memandu tiba-tiba adik tu dah ada kat belakang kereta. Dia bawa motor slow je, teman kami sampai exit highway. Dalam 45 minit jugalah.

"Memang tak sangka wujud anak muda berjiwa mulia macam tu. Sempat dia tolong orang sana sini walhal Melaka tu jauh lagi nak sampai," katanya.

Bagaimanapun Dr Asyikin yang bertugas di Hospital Sungai Buloh mendoakan agar urusan pernikahan pemuda tersebut berjalan dengan lancar.



Komen netizen pada posting Dr Asyikin yang tular di Facebook.

"Semoga urusan majlis nikah adik ni dan urusannya di dunia akhirat dipermudahkan. Alhamdulillah Allah kirimkan orang baik untuk tolong kami.

"Saya kongsi kisah tu sebab rasakan kebaikan ini amat luar biasa dan patut dicontohi orang ramai. Saya pun rasa diri sendiri tak mampu untuk jadi sebaik dia.

"Niat saya hanya untuk berkongsi dengan kawan-kawan Facebook saya masih wujud lagi orang sebaik ini tapi sangka viral pula," katanya.

Perkongsian Dr Asyikin mendapat perhatian netizen dengan rata-rata memuji kebaikan pemuda tersebut.

"Terbaik. Semoga dipermudahkan segala urusan dunia akhirat brader," Encik Cendoll.

"Hakikatnya bukan semua budak-budak motor tu jahat. Ada yang berhati mulia. Respect kepada semua brother-brother motor," kata Amirul.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my
doktor, tayar pancit, RXZ kuning, PKP, Sarawak

Artikel Lain

Pelajar boleh bawa telefon ke sekolah?