suria

“Dugaan paling besar sepanjang 24 tahun berniaga” - Peniaga pasar malam akui terpaksa pelan-pelan kayuh selepas PKP

Benah bersyukur dapat kembali berniaga seperti biasa selepas PKP dilaksana pada Mac lalu.

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu ternyata memberi kesan kepada rakyat di negara ini.

Antara yang menerima tempias tentunya peniaga pasar malam yang terpaksa bercuti panjang akibat larangan yang dikeluarkan kerajaan.

Kini, mereka boleh menarik nafas lega selepas Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran beroperasi bermula Isnin lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kedai gunting rambut boleh dibuka 10 Jun, pasar pula 15 Jun ini... syaratnya patuhi SOP!

ARTIKEL BERKAITAN: “Orang fikir kami tak buka kedai” - Ada 3 kedai nasi kukus, lama berniaga di bazar... anak selami perasaan ibu bapa Ramadan kali ini

Turut menzahirkan rasa syukur atas pengumuman itu tentunya Benah Md Hashim, 54, yang juga peniaga mi kawah pasar malam yang mula berniaga sejak 24 tahun lalu.

Mesra disapa Benah, ibu kepada tiga cahaya mata itu menyifatkan tempoh larangan beroperasi sepanjang PKP sebagai dugaan besar sepanjang bergelar peniaga pasar malam.

Kisah Benah dikongsi di Twitter oleh anak perempuannya.

"Dugaan paling besar sepanjang 24 tahun. Itulah yang saya dan kawan-kawan peniaga hadapi. Biasa paling lama pun kami tutup lima hari atau seminggu sewaktu musim raya.

"Yang ni tiga bulan. Memang semua peniaga pasar malam terasa sebab pendapatan kita kat situ. Tapi kita reda dengan apa yang berlaku.

"Bila dah boleh mula berniaga, Ya Allah syukur Alhamdulillah. Memang bersyukur pada Allah. Untuk permulaan saya rasa memang kurang meriah, tapi kita perlahan-lahan kayuh balik," ujarnya kepada mStar.

Alhamdulillah, ada yang datang kata rindu... lamanya tak makan mi kawah saya.

BENAH MD HASHIM

PENIAGA PASAR MALAM

Menurut Benah, dia juga gembira apabila pelanggan-pelanggan sebelum ini dapat merasai semula air tangan yang disajikannya.

Malah, ada yang meluahkan rasa rindu setelah gerai miliknya mula dibuka pada Selasa.

"Alhamdulillah, ada yang datang kata rindu... lamanya tak makan mi kawah saya.

Suasana di sekitar pasar malam Melawati.

"Tapi apa-apapun, kami peniaga dan pelanggan ikut SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan.

"Tapi memang rasa berbeza berniaga sebelum dan selepas PKP," ujarnya yang menetap di Batu Caves, Selangor.

Pada masa ini, Benah hanya berniaga di pasar malam Melawati sahaja.

Benah dihadapan gerai mi kawah miliknya.

Dia sebelum ini turut berniaga di beberapa pasar malam lain termasuklah di Keramat Permai, Ukay Perdana dan Selayang.

Sepanjang PKP, Benah turut menjalankan perniagaan lain secara dalam talian dari rumah. Selain menghasilkan roti john pada bulan puasa, dia turut melakukan perniagaan menjual sayur dan ikan.

Kisah mengenai Benah mencuri perhatian ramai selepas ia dikongsi anaknya, Mazshaffiqah menerusi laman Twitter.

Dalam posting itu, Mazshaffiqah turut berkongsi foto ibunya pada hari pertama pembukaan pasar malam berkenaan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain