suria

Kedai gunting rambut boleh dibuka 10 Jun, pasar pula 15 Jun ini... syaratnya patuhi SOP!

SOP ketat digariskan untuk dipatuhi pengusaha dan pelanggan kedai gunting rambut yang dibenarkan beroperasi mulai 10 Jun ini.

KEDAI gunting rambut dan salun kecantikan dibenarkan dibuka semula bermula 10 Jun ini.

Kebenaran juga diberikan untuk operasi pasar malam, bazar dan gerai pasar terbuka mulai 15 Jun.

Perkara itu diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tidak dibenarkan sama sekali... di mana saja, termasuk di rumah” – Ismail Sabri tegaskan khidmat gunting rambut masih dilarang

Beliau bagaimanapun memaklumkan bagi mengelak kebimbangan ramai, kedua-dua sektor itu dibuka dengan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang ketat.

"Tindakan menutup perniagaan terbabit akan diambil jika pengusaha tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," katanya pada sidang media di Putrajaya, Sabtu.

Bagi perkhidmatan gunting rambut, katanya, ia turut dibenarkan untuk servis dari rumah ke rumah, malahan ia dianggap lebih selamat.

Antara perkhidmatan yang dibenarkan untuk kedai gunting rambut di premis perniagaan adalah termasuk gunting rambut asas, cuci rambut, cukur jambang dan misai, solekan dan rawatan rambut, rawatan kuku serta cuci dan rawatan muka.

"Bagi golongan berisiko tinggi berusia 60 tahun ke atas, proses guntingan adalah diwajibkan secara temu janji dan tanpa kehadiran pihak lain. Kita minta premis tetapkan waktu untuk golongan ini.

"Kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah... perlu pakai alat pelindung diri, penutup muka dan apron pakai buang," katanya.

Antara SOP yang perlu dipatuhi bagi perkhidmatan ini adalah pemakaian face shield, sarung tangan dan apron bagi pekerja, pelanggan perlu memakai apron pakai buang, dan rutin pemeriksaan suhu badan dan rekod pelanggan.

Antara SOP untuk pasar pula, hanya satu laluan masuk dan keluar dibenarkan, jarak sosial di antara gerai adalah antara 1.5 meter hingga 2 meter, dijalankan di lokasi terbuka dan berpagar.

Para peniga dan pengunjung juga digalakkan untuk menggunakan aplikasi MySejahtera.

Waktu operasi bagi pasar pagi dan terbuka adalah bermula 6 pagi - 11 pagi, pasar malam dari 4 petang - 10 malam dan bazaria bermula 5 petang - 11 malam.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

pasar, salun, gunting rambut, SOP

Artikel Lain