suria

DUN Chini: Pakatan tak hantar calon, MB Pahang gesa parti lain ambil tindakan sama

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

SUSULAN pengumuman Pakatan Harapan yang enggan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut menggesa parti politik lain dan calon bebas untuk melakukan hal sama bagi memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN).

Katanya, ia bagi mengelakkan berlakunya pergerakan dan aktiviti sewaktu kempen selama 14 hari yang boleh membawa kepada penyebaran Covid-19.

"Usul ini juga selari dengan pandangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata ini bukan masa yang sesuai untuk melakukan pilihan raya disebabkan keadaan semasa dan fokus harus diberi kepada pandemik.

"Dr Mahathir berkata mengenai Pilihan Raya Umum tetapi ia juga termasuk PRK kerana kedua-duanya melibatkan pergerakan orang ramai yang boleh mengancam kesihatan," katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan pada Sabtu mengumumkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memutuskan untuk tidak meletakkan calon bagi PRK tersebut.

Aspek keselamatan dan kesihatan para pengundi pada ketika ini masih menjadi satu kerisauan, katanya.

Menurut Rosdy, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jimat sehingga RM4.3 juta sekiranya tiada PRK diadakan.

PRK Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, akibat serangan jantung di Hospital Kuala Lumpur pada 6 Mei lalu.

Pada PRU14, Abu Bakar yang memperoleh 10,027 undi menang dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon Pas, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang memperoleh 5,405 undi dan calon PKR Mohamad Razali Ithnain yang mendapat 1,065 undi. - The Star.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain