suria

Kelibat tak kelihatan ketika mesyuarat PH, Tun M kata dia tiada masalah dengan Anwar - “Kena tanya dia”

Timbul spekulasi mengeni hubungan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan ketiadaan kelibat bekas Perdana Menteri itu dalam mesyuarat PH, malam Khamis.

KETIADAAN kelibat Tun Dr Mahathir Mohamad dalam mesyuarat pimpinan utama Pakatan Harapan (PH) malam Khamis, menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak.

Perkara itu sekaligus menimbulkan spekulasi mengenai hubungan di antara beliau dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Dr Mahathir yang ditanya mengenai sejauhmana hubungannya bersama Presiden PKR itu berkata, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan pemimpin tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dr Mahathir dah tinggalkan Pakatan Harapan” – Anwar Ibrahim

"Setahu saya, saya tak ada masalah dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mungkin dia ada masalah dengan saya, saya tak tahu. Itu kena tanya dia," ujarnya ringkas dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, petang Jumaat.

Anwar pada Khamis malam mengadakan pertemuan bersama beberapa pemimpin utama PH di kediamannya.

Menerusi hantaran gambar yang dimuat naik di Instagram PH, pertemuan itu dihadiri Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Turut kelihatan, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Bagaimanapun, kelibat Dr Mahathir tidak kelihatan di dalam pertemuan tersebut walaupun ia diadakan untuk mengukuhkan PH dalam membuat keputusan dan tindakan politik.

Dalam pada itu, mengulas mengenai tindakannya yang kini terang-terangan melancarkan serangan terhadap Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin yassin, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata pembangkang akan terus bersuara untuk menentang 'salah laku' dalam pentadbiran sekarang.

PH mendakwa kerajaan kini sedang cuba meraih sokongan dalam kalangan Ahli-Ahli Parlimen melalui pemberian jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Mengulas lanjut Dr Mahathir berkata kerajaan kini 'perlu dibersihkan' dalam usaha pembangkang mengambil alih semula tampuk pentadbiran.

"Kita perlu melakukan kerja 'pembersihan' kerajaan dan semua badan yang tercemar dengan kerajaan sekarang," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Tun Dr Mahathir, Datuk Seri Anwar, PH

Artikel Lain