suria

Tun M tak akan tawarkan diri sebagai PM kali ke-3 - “Tak lama, saya sudah 94 tahun”

Dr Mahathir pada sidang media berkaitan Bersatu.

PENGERUSI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak membelanjakan gajinya semasa menjadi perdana menteri,

Dr Mahathir berpandangan bahawa jumlah gaji yang dibayar kepada menteri adalah berlebihan.

Malah, beliau memaklumkan tidak menawarkan diri sendiri untuk menjadi perdana menteri buat kali ketiga, tetapi melihatnya sebagai satu tugas kepada negara.

"Saya tidak menawarkan diri, tapi melihatnya sebagai satu duty kepada negara saya. Bukan duty untuk diri saya.

"Saya tak kisah tentang duit yang akan dapat. Saya rasa kita overpaid menteri.

"Saya dibayar (gaji) RM20,000, saya tidak belanjakan walau sesen. Semuanya telah diberikan oleh kerajaan... rumah, air, elektrik, kereta, kapal terbang, apa lagi yang kita mahukan?" katanya pada sidang media.

Dr Mahathir berkata, beliau tidak berminat mengenai kebajikan peribadinya tetapi bersedia untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat.

"Jika rakyat fikir saya boleh of service (memberi perkhidmatan), saya available. Tak lama, saya sudah 94 tahun. Berapa bulan lagi yang saya ada," tambah beliau.

Ditanya sama ada terdapat momentum lebih ramai menteri di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan keluar dari Kabinet susulan peletakan jawatan oleh Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh, Dr Mahathir bagaimanapun tidak pasti mengenai perkara tersebut.

"Saya tak fikir akan lebih ramai lagi. Sebab mereka fikir tentang personal wellbeing sendiri. Mereka bersama beliau (Muhyiddin) sebagai menteri dan dapat gaji yang bagus.

"Mereka tidak akan melepaskan gaji yang bagus itu. Jadi, mereka tak akan melepaskannya (jawatan). Tetapi dia (Shahruddin) percaya menyertai Bersatu, dia adalah bekas setiausaha agung Bersatu, dan setia kepada Bersatu... apa yang dilakukan oleh Muhyiddin adalah memusnahkan Bersatu," ujar Dr Mahathir.

Pada Khamis, Shahruddin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya.

Dilaporkan, beliau bagaimanapun memaklumkan kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Bersatu, Dr Mahathir Mohamad,

Artikel Lain