suria

Pelajar baru balik UK, dikuarantin buat perkongsian menusuk kalbu tentang hebatnya Malaysia... bagaimana sapaan ‘adik’ mampu rasa diri selamat

Shacind berkongsi pengalaman dilaluinya dalam satu posting di Facebook.

MESKIPUN wujud kumpulan 'turun dari kayangan' apabila segelintir mereka bersikap demand dan memberi layanan buruk terhadap petugas barisan hadapan (frontliner), masih ramai lagi mengagumi usaha murni benteng terakhir pertahanan negara itu.

Menerusi perkongsian seorang pemuda yang juga pelajar jurusan ekonomi di United Kingdom (UK), dia berterima-kasih kepada kerajaan dan frontliner yang berjuang memerangi pandemik Covid-19 ketika ini.

Shacind Ananthan berkongsi kisah perjalanannya pulang ke tanah air dari UK apabila dia bersama 73 yang lain terpaksa menjalani kuarantin wajib di sebuah hotel di ibu negara.

ARTIKEL BERKAITAN: “Hari yang paling panjang” - Selepas doktor, anggota APM pula buat pengakuan jadi ‘bahan’ grup turun dari kayangan... mahu bilik menghadap tasik

ARTIKEL BERKAITAN: “Mereka panggil staf kami anjing, pencacai najis” - Doktor dedah sikap grup ‘turun dari kayangan’, ada petugas terpaksa berundur mengalah

"Segalanya bermula di dalam pesawat dari Doha ke KL, di mana saya telah transit dari Manchester.

"Dengan hanya 50 orang di atas kapal terbang, kami semua berpisah dengan duduk berasingan," katanya dalam satu posting di Facebook. 

Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8 April lalu, Shacind berkata mereka disambut dua lelaki berpakaian seragam yang meminta mereka supaya mengekalkan penjarakan sosial satu meter antara satu sama lain sebelum diiringi menaiki skytrain.


Shacind tiba di KLIA pada 8 April lalu.

"Selepas itu kami dibawa menaiki sebuah bas menuju ke balai ketibaan. Setiap bas membawa maksimum 10 penumpang dan kerusi ditanda dengan X supaya kami duduk jauh antara satu sama lain.

"Perkara yang dapat anda lihat adalah di setiap 'checkpoint' terdapat sekurang-kurangnya satu hingga dua pegawai yang menjalankan tugas mereka dengan tekun, menjadikan proses berjalan lancar. Prosedur seperti sudah dilakukan bertahun-tahun," katanya.

Menurut pemuda berasal dari Johor Bahru itu, sebaik tiba di kaunter Imigresen, mereka diimbas menggunakan sistem thermometri infra-merah.

"Selepas melaluinya kami dibawa menuju ke arah satu pasukan pegawai kesihatan dari Kementerian Kesihatan (KKM). Saya sangat kagum dengan jumlah pegawai kesihatan dan kemudahan yang disediakan untuk mereka.

"Terdapat kira-kira 10 pegawai yang berpakaian hazmat, masing-masing disediakan dengan kerusi dan meja. Saya disapa seorang wanita yang meminta borang pengisytiharan kesihatan dan mengesahkan jika saya mempunyai sebarang simptom jangkitan.

"Wajah cerianya dan sapaan adik kepada diri saya membuatkan saya rasa selamat. Dia kemudiannya memberikan saya borang penilaian di rumah di mana saya perlu memantau dan melaporkan simptom saya setiap hari," katanya.

Shacind dan penumpang lain dibawa menaiki sebuah bas sebelum dihantar ke sebuah hotel di ibu negara.

Selepas selesai semua proses tersebut, Shacind terbayang-bayang lokasi dia dan penumpang lain akan ditempatkan untuk menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.

"Perkara yang menjadi persoalan semua orang adalah ke mana kami akan dibawa? Saya terdengar perbualan orang lain berharap agar ia hotel bertaraf lima bintang di KL.

"Dalam situasi sekarang, rakyat Malaysia masih mengharapkan kemewahan dan keselesaan, bukan? Polis turut berkata dia tidak pasti di mana kami akan dikuarantin tetapi memberi jaminan ia tempat yang bagus," katanya.

Jadi saya menggesa pengkritik tidak bertauliah yang berterusan membantah - kalau tak boleh mengakui kebaikan dilakukan kerajaan, sekurang-kurangnya jangan halang apa mereka buat.

SHACIND ANANTHAN

PELAJAR

Shacind menarik nafas lega apabila pemandu bas memaklumkan kesemua penumpang akan dibawa ke Hotel Impiana KLCC.

"Perjalanan mengambil masa selama 50 minit. Puluhan petugas berpakaian hazmat berdiri di tepi meja panjang sedang sibuk melakukan pemeriksaan dan menguruskan pendaftaran kami.

"Sebelum kami turun dari bas, seorang lelaki berpakaian seragam Paskau memberi taklimat kepada kami mengenai tindakan seterusnya. Dia minta kami sediakan pasport untuk pendaftaran," katanya.

Shacind menjalani kuarantin di sebuah hotel selama 14 hari.

Selepas menerima pasportnya, Shacind berkata dia diberikan kunci bilik bersama dua keping topeng muka.

"Di dalam bilik terdapat dua kotak air botol, beg plastik untuk pakaian kotor, beg besar dipenuhi dengan kopi, biskut, makanan ringan dan sebagainya.

"Kami dihidangkan makanan berkhasiat tiga kali sehari dan ditempatkan di hotel empat bintang (beberapa lagi lima bintang) semuanya secara percuma.

"Terdapat pengawasan ketat dan pasukan perubatan di depan pintu kami sepanjang masa. Saya kagum dengan negara ini, terima kasih untuk semua ini Malaysia," katanya.

Tambah Shacind lagi, dia dan penumpang lain yang dikuarantin turut dimasukkan ke dalam sebuah grup WhatsApp.

"Di situ kami dibanjiri dengan mesej harapan, optimisme dan terima kasih untuk barisan hadapan yang tidak takut membahayakan nyawa mereka.

"Kenapa saya menulis kisah ini? Ini adalah pengalaman seseorang yang meninggalkan negara asing semalaman dengan masa depan yang tidak menentu. Ini juga untuk menentang berita palsu yang cuba merosakkan negara kita yang hebat.

Shacind berterima kasih kepada kerajaan di atas kemudahan yang disediakan kepadanya dan penumpang lain.

"Tidak keterlaluan untuk saya katakan Malaysia salah sebuah negara yang paling proaktif dalam menangani ancaman Covid-19. Jadi saya menggesa pengkritik tidak bertauliah yang berterusan membantah - kalau tak boleh mengakui kebaikan dilakukan kerajaan, sekurang-kurangnya jangan halang apa mereka buat," katanya.

Posting Shacind menjadi tular di media sosial dan rata-rata memuji tindakannya yang menceritakan keadaan sebenar dilaluinya.

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain