suria

“Mereka panggil staf kami anjing, pencacai najis” - Doktor dedah sikap grup ‘turun dari kayangan’, ada petugas terpaksa berundur mengalah

Sekumpulan petugas kesihatan menjalankan ujian saringan Covid-19 terhadap orang awam. Gambar hiasan/Foto Bernama

MACAM-macam kerenah dan perangai!

Begitulah yang terpaksa dihadapi oleh kebanyakan petugas barisan hadapan atau frontliner terhadap kes-kes berkaitan Covid-19.

Namun, frontliner juga manusia biasa mempunyai hati dan perasaan apabila diberi layanan teruk sehingga dilemparkan kata-kata kesat dan cacian.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kaya raya pun tak terkecuali dijangkiti Covid-19” - Menteri minta ‘kluster kayangan’ lebih bertamadun berdepan petugas kesihatan

ARTIKEL BERKAITAN: Grup pelancong dikuarantin dicop ‘kluster jengkel’, betul ke rakyat Malaysia baru balik overseas banyak songeh? - “Rindu geng tabligh...”

ARTIKEL BERKAITAN: Nurse menitik air mata! Dedah keadaan mengejutkan di wad pesakit tabligh, tersentak dengar soalan mereka - “Tahu tak dalam tu semua ilmu agama tinggi”

Seorang doktor turut berkongsi pengalamannya menjadi petugas mengambil sampel untuk Covid-19 tanpa mengira siapa dan latar belakang individu berkenaan.

Antara penumpang di lapangan terbang. Gambar hiasan/Foto Bernama

“Manusia tak kira apa warna kulitnya, datang dengan dua lubang hidung, satu mulut untuk kami ambil (ujian) swabnya. Tak kiralah siapa dia.

“Pengarah jabatan ke, jemaah tabligh ke, doktor ke, pelajar ke, semuanya sama. Lubang hidungnya sama, rongga mulutnya sama.

“Tapi yang jadi buat ralat ialah kami menyaksikan ada manusia yang sangat sombong,” ujar Dr Sakinah Sulong menerusi perkongsiannya di halaman Facebook.

Mengimbas kembali ketika mengambil sampel jemaah tabligh, beliau menyifatkan rata-ratanya begitu mudah untuk memberi kerjasama.

Antara pesakit jemaah tabligh di wad semasa menjalani rawatan. Foto Twitter

Malahan katanya, golongan itu yang sebelum ini dikecam gara-gara perhimpunan besar-besaran di Masjid Seri Petaling jarang sekali bermasalah ketika pemeriksaan.

“Mereka datang datang awal kalau diminta datang untuk pensampelan. Jarang yang buat masalah, jarang yang nak bergaduh dengan petugas.

“Tapi bila ada golongan yang baru turun dari kayangan ni (yang baru pulang dari luar negara) macam-macam kerenah terpaksa dihadapi,” katanya.

Tambahnya, segelintir individu yang baru pulang dari luar negara itu bukan sahaja enggan dikuarantin, malah naik angin terhadap frontliner yang menjalankan tugas.

“Mereka panggil staf kami dog (anjing), panggil pencacai najis. Memang sangat kurang ajar!

“Kami tak kisah bekerja keras untuk menyekat penularan Covid-19. Bukan kami minta dihampar dengan karpet merah, tapi kami dihina hanya kerana melakukan tugas. Sangat menyedihkan,” katanya.

Anggota perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melihat borang deklarasi kesihatan bagi membantu petugas kesihatan dalam saringan jangkitan Covid-19 di pintu masuk negara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto Bernama

Lebih menyedihkan apabila terdapat petugas yang terpaksa berundur mengalah sehingga tidak mampu bersuara bagi mengelakkan timbul kekasaran akibat dimaki.

“Saya fikir, kalau begini kelakuan orang yang dikuarantin, amat bagus sekiranya laporan polis dibuat atau MKN (Majlis Keselamatan Negara) mengeluarkan arahan kepada pihak yang dikuarantin, sekiranya tak nak bagi kerjasama, disumbat lokap sementara!” tegasnya dengan nada kesal.

Kami tak kisah bekerja keras untuk menyekat penularan Covid-19. Bukan kami minta dihampar dengan karpet merah, tapi kami dihina hanya kerana melakukan tugas. Sangat menyedihkan

DR SAKINAH

Menurut Dr Sakinah, sebagai petugas kesihatan, mereka hanya bertindak mengikut arahan bagi membuat ujian saringan Covid-19.

“Kami petugas kesihatan hanya bertindak mengikut arahan, buat saringan simptom dan vital sign, buat pensampelan serta buat rujukan ke hospital seandainya perlu.

“Hanya untuk memastikan rakyat Malaysia yang baru sampai dari luar negara ini selamat dan tidak menyebarkan pada orang lain,” katanya.

Segelintir rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara memberi layanan buruk kepada petugas kesihatan. Gambar hiasan/Foto Bernama

Beliau bagaimanapun menjelaskan semua frontliner perlu bekerja keras melakukan tanggungjawab masing-masing demi masyarakat dan rakyat.

“Memang kami kena kerja kuat sekarang. Pihak atasan dok fikir mana nak tempatkan mereka, staf bawahan yang bertugas siang dan malam nak buat saringan. Bukan suka-suka.

“Tapi, nampaknya ada orang turun kayangan ini, sombongnya bukan main, bagai dipijak-pijak maruah kami, petugas kesihatan! Memang tak bersyukur!” katanya sambil berkongsi tentang seorang jemaah tabligh yang menyumbangkan makanan kepada mereka selepas membuat ujian swab, berbanding memaki petugas kesihatan.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain