suria

“Kaya raya pun tak terkecuali dijangkiti Covid-19” - Menteri minta ‘kluster kayangan’ lebih bertamadun berdepan petugas kesihatan

Petugas kesihatan menyuarakan kekecewaan terhadap segelintir individu yang pulang dari luar negara kerana menghina dan enggan memberikan kerjasama. Gambar hiasan/Foto Bernama

SEMUA pihak perlu memberikan kerjasama kepada petugas kesihatan atau frontliner terutamanya mereka yang menjalankan pemeriksaan berkaitan Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, ia termasuk golongan ‘dari kayangan’ yang didakwa menghina dan tidak memberikan kerjasama kepada frontliner yang menjalankan tugas.

“Saya harap ini adalah kesedaran sendiri kerana Covid-19 tak kenal dari kayangan atau dari bumi, mereka tak kenal siapa.

ARTIKEL BERKAITAN: “Mereka panggil staf kami anjing, pencacai najis” - Doktor dedah sikap grup ‘turun dari kayangan’, ada petugas terpaksa berundur mengalah

ARTIKEL BERKAITAN: Grup pelancong dikuarantin dicop ‘kluster jengkel’, betul ke rakyat Malaysia baru balik overseas banyak songeh? - “Rindu geng tabligh...”

“Tak ada siapa yang boleh dibezakan oleh Covid-19 ni. Walaupun kaya raya pun tidak terkecuali daripada jangkiti oleh Covid-19,” katanya pada sidang media, petang Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kekecewaan sebahagian petugas barisan hadapan yang mengendalikan kes Covid-19 terpaksa berhadapan dengan pelbagai kerenah dan ragam rakyat Malaysia terutama yang pulang dari luar negara.

Malahan, antara petugas kesihatan dicaci dan dimaki serta dilemparkan dengan kata-kata kesat, selain keenggan segelintir individu yang enggan menjalani kuarantin wajib seperti yang diarahkan oleh kerajaan.

Dari segi undang-undang, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan percaya terdapat tindakan yang boleh dikenakan terhadap mereka kerana enggan memberikan kerjasama kepada petugas kesihatan.

“Dari segi undang-undang saya percaya mungkin ada... (kerana) menghalang penjawat awam untuk menjalankan tugas masing-masing. Saya percaya ini boleh digunakan," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan semua pihak terutama mereka yang berkedudukan tinggi supaya memberikan kerjasama kepada petugas kesihatan.

“Yang berkedudukan tinggi sepatutnya lebih bertamadun daripada orang lain. Jadi, berikanlah kerjasama kepada petugas-petugas frontliner seperti doktor, jururawat dan sebagainya.

“Kedudukan tinggi tidak menjamin mereka terselamat daripada Covid-19,” tambahnya.

Artikel Lain