suria

Mula-mula tegur di kantin, offer rumah sewa, akhirnya cikgu gatal lamar pelajar jadi isteri no 2 - “Ajak makan depan rakan-rakan tapi nak belanja saya seorang saja”

Dahlia berkongsi kisahnya yang kerap diganggu seorang guru lelaki menerusi mesej dan panggilan telefon (Gambar sekadar hiasan).

BUKANLAH sesuatu yang pelik apabila seorang jejaka mengorat gadis untuk dijadikan teman istimewanya.

Namun berlainan pula kisah yang dialami gadis ini apabila dia dipikat oleh lelaki berstatus suami orang.

Malah lebih tidak boleh diterima, lelaki lingkungan usia 40an itu merupakan salah seorang guru yang mengajar di sekolahnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Penghantar makanan ‘nak try’ model, tak henti-henti telefon nak berkenalan - “Bukan sebab tak kacak atau dia rider, tapi macam psiko pun ada”

ARTIKEL BERKAITAN: Gigih menyelit, rupa-rupanya mat motor ada plan baik punya! Wanita terkedu tengok lelaki gila seks sebelah pintu kereta

Berkongsi cerita dengan mStar, gadis yang hanya mahu dikenali sebagai Dahlia berkata, gangguan oleh guru berkenaan bermula sekitar 2018 ketika dia mula memasuki Tingkatan Enam Bawah.

Perkongsian oleh Dahlia yang menjadi tular di laman sosial sehingga meraih 3,400 retweet.

“Ketika itu saya baru masuk ke sekolah tersebut sebab kami berpindah dari Bangsar, Kuala Lumpur ke Kelantan kerana mengikut ayah yang sudah pencen. Dia tak mengajar saya kerana dia seorang guru Pendidikan Khas.

“Pada peringkat awal, dia hanya tegur ketika bertemu di kantin. Dia tanya ‘sudah makan ke belum’. Saya tak rasa pelik pun masa itu sebab ada kawan-kawan sekali.

“Tapi saya mula rasa pelik ketika ada satu program sekolah yang melibatkan semua tingkatan. Daripada ramai-ramai yang terlibat, dia gigih menyelit dekat lokasi budak tingkatan enam, seolah-olah nak dekat. Di situ, dia ajak saya makan depan rakan-rakan tapi nak belanja saya seorang saja,” ujarnya.

Paparan skrin perbualan antara Dahlia dan gurunya yang turut dimuat naik di laman sosial.

Gadis yang berusia 19 tahun ini berkata, sehinggalah satu ketika gangguan oleh guru berkenaan sampai ke kemuncaknya apabila dia berani mengganggu dirinya menerusi mesej di aplikasi WhatsApp.

“Ia berlaku minggu lalu. Ketika itu dia beritahu pelajar-pelajar tingkatan enam, kalau nak kerja sementara tunggu keputusan, hubungi dia sebab dia ada contact.

“Saya pun tertarik kerana nak cuba cari kerja sementara tunggu keputusan keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang akan diumumkan pada Mac ini.

“Niat saya hubungi dia semata-mata nak cari kerja. Tapi bermula dari situ, dia mula ganggu dengan mesej-mesej. Saya hanya balas atas dasar hormatkan dia sebagai guru. Dia juga pernah hubungi saya banyak kali hingga rimas namun saya tak pernah angkat," katanya.

Tambahnya, guru itu juga pernah menawarkan kerja berdekatan tempat tinggalnya yang terletak kira-kira 50 kilometer dari rumah keluarga Dahlia.

"Siap suruh saya tinggal di rumah sewanya yang kosong. Tapi saya menolaknya secara baik.

“Tapi bila dia mula sentuh soal kahwin, saya balas kepadanya mengatakan saya minta maaf sebab terpaksa block kerana hormatkan dia sebagai guru dan suami orang,” ujar gadis ini lagi.

Ada yang kata, saya melayan dan sebagainya. Saya balas sebab hormat, itu saja. Tapi akhirnya saya block juga.

DAHLIA

PELAJAR

Menurut Dahlia, dia pernah memberitahu ibu bapanya mengenai gangguan tersebut dan mereka menasihatinya agar memadam nombor guru berkenaan.

Ujarnya lagi, tujuan dia memuatnaik kisah tersebut di laman sosial hanyalah sebagai peringatan kepada para pelajar lain agar berpada-pada dan menjaga pergaulan dan batasan hubungan antara pelajar dengan guru.

Sehingga kini, perkongsian tersebut meraih 3,400 retweet dan dibanjiri komen netizen yang memberikan reaksi yang pelbagai.

Antara komen netizen yang memberikan pelbagai reaksi terhadap perkongsian Dahlia.

“Ada yang kata, saya melayan dan sebagainya. Saya balas sebab hormat, itu saja. Tapi akhirnya saya block juga. Ada juga yang kata, saya post di Twitter sebab cikgu itu tua dan tak kacak. Pada saya, orang tu kacak atau tidak, muda atau tua, sama saja layanan saya.

“Saya ingat lagi, saya pernah berduet lagu raya dengan cikgu tersebut di sekolah, tapi bagi saya ia bukan satu tindakan melampau. Mungkin dari situ, dia anggap saya mudah didekati.

“Jadi saya nasihatkan kepada pelajar perempuan, boleh kalau nak peramah tapi kena hati-hati bimbang disalah tafsir. Ibu bapa juga kena pantau dan selalu bertanya kepada anak mereka tentang apa yang berlaku di sekolah.

“Tidak sepatutnya perkara seperti ini berlaku kerana hubungan guru dan murid tidak boleh melebihi apa yang tidak sewajarnya,” ujarnya mengakhiri bicara.   

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain