suria

Jumpa dompet berisi RM1,200, lelaki cerdik ini pilih hanya ‘curi’ data sebelum maklumkan pemiliknya - “Dengar ayat tersebut, lagilah buat saya menangis”

Dompet milik Ameylia yang tercicir di atas bumbung kereta dijumpai oleh seorang pemuda bernama Syahmi.

“NENEK siap berdoa semoga orang yang terambil dompet saya dilembutkan hatinya dan memulangkan kembali kepada saya,” demikian cerita seorang gadis yang kehilangan beg duit baru-baru ini.

Mengimbas kembali kejadian itu minggu lalu itu, gadis yang dikenali sebagai Ameylia Naila Azman berkata, ketika itu dia baru tiba di tapak jualannya di bandaraya Melaka dan sedang sibuk mengangkat beg berisi barang-barang untuk diniagakan pada sebelah malam.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya anggap wang itu haram” - Pelajar akui perit tahan nafsu selepas menabung, bila tengok hasilnya ramai teruja nak cuba

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas setahun hilang, gadis temui semula wang RM10 pemberian ayah - “Malangnya, itu kali terakhir saya bertemu dengannya”

Disebabkan sibuk menguruskan barang-barang untuk dibawa keluar dari dalam kereta, Amelieya tidak sedar dia meletakkan dompetnya di atas bumbung kenderaannya itu.

Posting yang dimuatnaik oleh Ameylia bagi menghargai sikap jujur pemuda bernama Syahmi Abd Rahman. 

“Saya tiba di tapak jualan pada pukul 7.15 malam. Sedang sibuk mengangkat barang keluar kereta menuju tapak jualan, tak sedar rupa-rupanya saya terletak dompet atas bumbung kereta.

“Hanya kira-kira selepas 15 minit, saya teringat mengenai dompet. Habis selongkar beg, namun tak jumpa. Saya pergi semula ke kereta, cari dalam kereta juga tak jumpa. Saya pulang semula ke rumah nenek sebab sebelum itu saya dari sana.

“Cari dalam rumah pun tak jumpa. Nenek memang terkejut bila saya beritahu. Dia pun tolong cari sekeliling rumah sambil mulutnya tak henti-henti berdoa agar Allah lembutkan hati orang yang terambil dompet saya itu.

“Tak jumpa di sekeliling rumah, saya hidupkan enjin motor dan mencari di laluan yang saya lalu sebelum itu, mana tahu tercicir ketika dalam perjalanan. Memang menangis jugalah sebab dalam dompet tu ada wang tunai RM1,200 hasil berniaga berserta kad bank dan dokumen penting yang lain,” ujarnya kepada mStar.


Wang tunai bernilai RM1,200 milik Ameylia yang dipulangkan dengan selamat adalah wang hasil keuntungannya menjalankan perniagaan pakaian.

Wanita berusia 24 tahun ini berkata, dia akhirnya mengambil keputusan untuk membuat laporan polis kerana bimbang dokumen miliknya terutama kad bank disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Memang menangis sebab dalam hati terfikir memang takkan jumpa dah dompet itu. Tiba-tiba telefon saya dihubungi oleh nombor yang tidak dikenali. Si pemanggil menyatakan dia menjumpai dompet saya. Mendengar sahaja ayat tersebut, lagilah membuatkan saya menangis.

“Tak sangka dompet saya ditemui kembali, dan yang membuatkan saya terharu, dia sanggup menghantar dompet kepada saya. Namun saya menyatakan biar saya yang pergi mengambilnya,” ujarnya yang berasal dari Paya Rumput, Melaka ini. 

Ameylia merupakan seorang pelajar yang dalam masa yang sama menjalankan perniagaan secara separuh masa. 

Ameylia ditemani kedua ibu bapanya pergi ke rumah lelaki berkenaan yang terletak di Merlimau.

“Saya tak berani nak pergi sendiri, pertama sebab agak jauh dan waktu pun dah malam, keduanya, orang yang temui dompet saya ini lelaki sedikit sebanyak ada juga perasaan takut.

“Ketika berjumpa, lelaki yang bernama Syahmi Abd Rahman ini menceritakan bagaimana dia jumpa dompet dan mencari maklumat menerusi pendrive yang memang tersimpan dalam dompet. Dalam pendrive itu ada resume saya, jadi dia ambil nombor telefon di resume itu untuk menghubungi saya. Memang bijak tindakannya mencari maklumat saya menerusi pendrive itu,”ujarnya.

Tiba-tiba telefon saya dihubungi oleh nombor yang tidak dikenali. Si pemanggil menyatakan dia menjumpai dompet saya. Mendengar sahaja dia ayat tersebut, lagilah membuatkan saya menangis.

AMEYLIA NABILA AZMAN

PEMILIK DOMPET

Dalam pada itu, Amelieya berkata tindakannya membuat perkongsian di laman sosial mengenai kisah pemuda itu sebagai menghargai kemuliaan hati dan sikap jujur anak muda berusia 22 tahun itu.

“Kalaulah orang lain tambah-tambah lagi anak muda lelaki yang jumpa, saya rasa agak mustahil mereka nak pulangkan kembali dompet itu. Tambahan pula ada wang tunai RM1,200.

“Saya tak sangka pula perkongsian itu viral. Mungkin sebab Syahmi muda, ditambah pula kebijakannya guna pendrive untuk cari maklumat pemilik dompet, sebab itu jadi viral. Jarang ada anak muda jujur sepertinya. Seringgit pun tak hilang. Saya bangga dengan anak muda yang punyai sikap seperti ini. Mudah-mudahan kisah ini menjadi teladan buat orang di luar sana,” akhirinya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain