suria

Pelik tengok isterinya, polis balik buat risikan selepas syak ada ‘orang ketiga’ dalam rumah tangga – “Diam-diam saya masuk rumah...”

Gerak-geri seorang isteri diperhatikan oleh suaminya yang juga anggota polis. Gambar sekadar hiasan

WALAUPUN masa bersama keluarga begitu terhad, seorang anggota polis cuba menjadi suami yang terbaik untuk isteri dan dua anak perempuannya.

Selain menjaga dua anak perempuannya masing-masing berumur empat tahun dan setahun, isterinya juga mengambil upah mengasuh tiga kanak-kanak yang masih kecil.

Sesekali anggota polis itu berusaha mencari masa untuk pulang ke rumah bagi membantu isterinya apabila mempunyai waktu terluang kerana kebetulan rumahnya di berek polis jaraknya boleh berjalan kaki dari tempatnya bertugas.

ARTIKEL BERKAITAN: Selalu tinggal 2 anak, isteri sarat hamil di rumah... suami suka keluar malam dapat pengajaran, satu hari terdetik nak balik awal - “Rasa macam tak berguna jadi ayah”

ARTIKEL BERKAITAN: Dua bulan kahwin, suami suka makan kari, tempoyak merungut isteri orang Sabah asyik masak sayur air, sup - “Leper perut I, habis lemak cair”

Namun menerusi satu perkongsian, dia memberitahu, setiap kali pulang ke rumah semua kerja rumah telah disiapkan isterinya sekali gus menimbulkan tanda tanya.

“Masa saya balik waktu petang, selalunya saya akan tengok kalau ada kerja yang boleh dibuat, tapi ajaibnya baju dah dijemur, sinki dah bersih.

“Baju dalam bakul pun dah dilipat, makanan juga dah disiapkan. Saya berasa sangat pelik macam mana isteri saya menyiapkan semua kerja,” luahnya menerusi satu perkongsian di halaman Facebook Kisah Rumah Tangga.

Setakat ini, luahan anggota polis itu yang kini menjadi tular dikongsi lebih 2,200 kali dan meraih lebih 14,000 tanda suka, termasuk 1,200 komen.

Seorang isteri tekun melakukan kerja-kerja rumah semasa ketiadaan suaminya. Gambar sekadar hiasan

Menurut anggota polis itu, satu hari isterinya tidak sihat dan dia mengambil cuti selama dua hari untuk mengambil alih tanggungjawab membuat kerja-kerja rumah.

“Dari pagi sampai petang saya hanya dapat menyiapkan beberapa kerja. Rumah juga berselerak, anak bermain saya jadi stres sehingga saya marah pada anak yang sulung," ujarnya sambil menambah isterinya tersinggung disebabkan tindakannya itu.

Namun, dia mula mencurigai isterinya dengan memikirkan yang bukan-bukan hanya disebabkan tidak dapat menyempurnakan tugas sepanjang tempoh bercuti itu.

Sampai ke tahap terbayangkan sama ada isterinya itu memanggil orang luar untuk membantunya membuat kerja-kerja semasa ketiadaannya di rumah.

“Adakah isteri saya memanggil seseorang untuk membantu dia di rumah tanpa pengetahuan saya? Tapi tidaklah sampai meluahkan apa yang saya fikir,” tambahnya.

Keadaan isteri di rumah menimbulkan rasa curiga seorang suami.

Beberapa hari selepas kejadian itu, dia secara diam-diam balik ke rumah kira-kira pukul 11 pagi kerana menyangka banyak kerja rumah belum disiapkan, dan meninjau jika benar ada individu misteri yang membantu isterinya selama ini.

“Diam-diam saya masuk rumah, tengok anak-anak elok bermain dalam satu bilik. Ruang tamu bersih, saya terus ke dapur, baju sedang dibasuh dalam mesin basuh. 

“Atas dapur gas, ada dua masakan yang tengah dimasak. Nasi pula sedang ditanak. Saya cari pula isteri, ada di bilik sebelah sedang lipat baju yang semalam diangkat.

“Tengah melipat baju tu dia berlari ke dapur mengangkat ayam yang digoreng dan kuah yang dimasak. Masak pula lauk lain. Sementara nak tunggu masak, dia jemur baju pula,” tambahnya.

Sebahagian komen netizen berhubung luahan suami berkenaan.

Berdasarkan ‘risikan’ itu barulah dia tahu bagaimana isterinya selama ini menjalankan tanggungjawab di rumah untuk dirinya dan anak-anak sehingga timbul rasa bersalah.

“Ada rasa bersalah dah fikir-fikir yang bukan-bukan tentang isteri saya. Sejak itu, saya mula berubah, tak lagi marah-marah anak, cuba juga buat kerja waktu malam.

“Saya juga sedar, dahsyatnya para isteri boleh buat empat, lima kerja dalam satu masa... sangat hebat. Para suami hargailah isteri masing-masing.

“Ingatkan kerja kita cari nafkah dah cukup penat, tapi saya silap. Jaga anak, jaga rumah lagi penat tenaga, kena kuat mental.

“Buat isteri, terima kasih sanggup korbankan masa, tenaga untuk keluarga kita.. Sanggup jadi suri rumah dan tak pernah melawan saya. Moga awak jadi isteri saya sampai syurga,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain