suria

Isteri masih trauma, suami kesal CCTV kedai tak berfungsi insiden anak hampir ‘diculik’ wanita berpurdah – “Semua penyewa diingatkan selenggara kamera keselamatan”

Insiden seorang kanak-kanak didekati oleh seorang pengunjung dipercayai warga Arab di pusat beli-belah Sunway Pyramid di Petaling Jaya, Selangor mendapat perhatian netizen. Foto wanita berpurdah: Reuters

KEMUNCULAN seorang wanita warga Arab berpakaian serba hitam menghantui seorang ibu gara-gara kejadian anaknya nyaris diculik di sebuah pusat beli-belah.

Suami kepada wanita itu mendedahkan isterinya berjaya melepaskan cengkaman wanita dipercayai warga Arab yang memegang bahagian atas badan anak lelakinya.

“Isteri saya hanya dapat pegang lutut anak kami yang berusia 15 bulan menggunakan kedua-dua tangannya. 

“Semuanya berlaku dengan pantas, ketika itu macam tarik tali antara satu sama lain,” katanya hanya mahu dikenali sebagai WK kepada mStar

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia ambil gambar tanda harga” - Cemas! Anak dalam jagaan cuba dilarikan wanita pakai serba hitam, berpurdah... pusat beli-belah beri penjelasan

WK yang menetap di Petaling Jaya, Selangor berkata, isterinya yang berusia 36 tahun itu masih mengalami trauma berhubung kejadian itu. 

“Mungkin kejadian berlaku begitu pantas dan mengejutkannya. Dia tak faham apa yang berlaku dan mengapa ia berlaku kepada dirinya.

“Bagaimanapun, kami tak dapat bayangkan sekiranya sesuatu berlaku pada anak kami ketika itu,” ujar WK yang bekerja dalam bidang teknologi maklumat (IT).

Dakwaan mengenai seorang kanak-kanak cuba dilarikan oleh seorang wanita warga Arab.

WK menerusi posting di halaman Facebooknya pada Ahad malam mendakwa seorang wanita berpakaian serba hitam dan wajahnya ditutup hanya menampakkan mata sahaja, cuba mengambil anak lelaki daripada jagaan isterinya di dalam sebuah kedai.

Dalam pada itu, WK kesal apabila dimaklumkan bahawa kamera litar tertutup (CCTV) di dalam kedai lokasi kejadian mengalami masalah pemancu cakera keras (hard disk) menyebabkan tiada rakaman mengenai kejadian.

“Saya kesal kerana tidak dapat melihat apa yang berlaku untuk merasai trauma yang dialami isteri dan keadaannya ketika kejadian,” ujarnya sambil menambah isterinya telah membuat laporan polis berhubung kejadian di Balai Polis SS17 di Subang Jaya, Selangor.

Sebagai pihak pengurusan, kami memainkan peranan untuk terus mengingatkan dan memberi nasihat kepada semua penyewa di Sunway Pyramid supaya memasang kamera keselamatan, sentiasa melakukan penyelenggaraan CCTV dan memastikan kamera tersebut berfungsi dengan baik.

KS WONG

Pengurus Besar Kanan Sunway Malls

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mStar mengesahkan laporan dibuat oleh ibu kanak-kanak berkenaan pada Isnin malam di Balai Polis SS7 di Subang Jaya.

Tambah jurucakap itu, menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat membeli-belah, wanita Arab yang dipercayai pelancong itu datang bersama keluarganya.

Namun katanya, berdasarkan siasatan tiada unsur jenayah dalam kejadian itu.

Sunway Pyramid mengingatkan semua penyewa supaya melakukan penyelenggaraan CCTV secara berkala. Foto SAM THAM/The Star

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Sunway Malls, KS Wong dalam satu kenyataan kepada mStar berkata pihaknya berusaha untuk mewujudkan suasana membeli-belah yang selamat, yang mana semua penyewa diingatkan supaya melakukan penyelenggaraan CCTV secara berkala.

Katanya, ibu bapa juga dinasihatkan agar sentiasa berjaga-jaga bersama anak mereka terutama di kawasan sesak.

“Sebagai pihak pengurusan, kami memainkan peranan untuk terus mengingatkan dan memberi nasihat kepada semua penyewa di Sunway Pyramid supaya memasang kamera keselamatan, sentiasa melakukan penyelenggaraan CCTV dan memastikan kamera tersebut berfungsi dengan baik.

“Oleh kerana prosedur operasi, kamera keselamatan di dalam kedai penyewa adalah di bawah bidang kuasa penyewa untuk keselamatan dalaman dan pemantauan harian mereka,” kata Wong sambil berterima kasih di atas kerjasama pengadu berhubung kejadian.

Beliau menambah, Sunway Pyramid mempunyai tiga servis keselamatan kanak-kanak iaitu Child Emergency Tattoo, Child Wristband dan Child Wristlink.

“Untuk maklumat lanjut mengenai servis keselamatan kanak-kanak yang kami sediakan, anda boleh berkunjung ke bahagian Concierge yang terletak di aras bawah dan LG2 Marrakesh. Anda juga boleh menghubungi talian 03-74943100,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Sunway Pyramid, culik, polis, KS Wong, purdah, Arab

Artikel Lain