suria

Nenek 12 cucu, 3 cicit bangkit! Nak lari 71 km selepas tiga tahun berturut-turut lalui episod hitam - “Mula-mula mak tertinggal belakang...”

(kiri) Partini teruja menyertai aktiviti larian. (kanan) Kenangan... Partini bersama arwah suaminya. Foto ihsan Siti Fatimah Zahra Abdul Hamid

RAJA Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menerusi tulisannya di Twitter baru-baru ini mendoakan kesihatan dan kesejahteraan seorang ibu.

“Saya doakan dan kirim salam kat mak,” titah baginda bagi membalas perkongsian seorang gadis mengenai misi ibunya menerusi akaun Twitter @CikFatimah.

“Ampun Tuanku. Mak patik sampaikan salam buat tuanku. Mak patik mohon doakan semoga diberikan kesihatan yang baik.

“InsyaAllah, (pada) 2020, mak patik dalam misi berlari 71 kilometer sempena usianya 71 tahun,” ujarnya.

Tunku Azizah mendoakan kesejahteraan ibu Siti Fatimah.

Gadis berusia 27 tahun itu, Siti Fatimah Zahra Abdul Hamid berkata, ibunya, Partini Rosmanan bakal menyambut ulang tahun ke-71 tahun pada 1 Januari ini.

Katanya, doa daripada Tunku Azizah membuatkan ibunya amat terharu sekali gus memberi semangat dalam menjayakan misi larian.

Partini kembali menyertai aktiviti larian selepas berehat selama tiga tahun.

Berkongsi kisah di sebalik misi itu, Siti Fatimah berkata, ibunya sebelum ini sebenarnya begitu aktif dengan aktiviti kecergasan termasuk larian selain berkebun.

“Bagaimanapun, mak ‘berehat’ selama tiga tahun sejak dua abang saya meninggal dunia pada 2017 dan 2018 akibat kanser usus. Mak sedih dengan pemergian mereka.

“Mak juga menghabiskan masanya menjaga ayah yang ketika itu uzur sehingga ayah meninggal dunia kerana sakit tua pada usia 79 tahun, Mac lalu,” katanya kepada mStar.

Menyedari ibunya kehilangan tiga insan tersayang selama tiga tahun berturut-turut, Siti Fatimah cuba mengembalikan semangat ibu tunggal itu daripada kesedihan itu.

Siti Fatimah (kanan) mahu memberikan terapi buat ibunya menerusi aktiviti larian.

Secara kebetulan, anak bongsu daripada tujuh beradik itu turut berkongsi minat yang sama dengan ibunya iaitu terlibat dalam aktiviti larian.

“Saya ada ajak mak untuk masuk larian sebab saya tahu dia rindu untuk kembali melakukan aktiviti itu. Mak sambut dengan semangat yang teruja.

Untuk misi larian mak 71km, kami merancang untuk melakukannya selama tujuh hari dengan purata 10km setiap hari.

SITI FATIMAH

“Kami adik-beradik perempuan bersama mak mula menyertai beberapa larian sejak Oktober lalu,” ujarnya yang berasal dari Kota Tinggi, Johor.

Menurut Pelajar Ijazah Penyelidikan di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu, dia memahami usia warga emas ibunya untuk kembali bergiat aktif dengan aktiviti larian.

Partini (tengah) bersama anak-anak perempuannya menyertai acara larian.

Namun kata Siti Fatimah, ibunya yang mempunyai 12 cucu dan tiga cicit itu sebenarnya seorang yang aktif dan sentiasa mengamalkan pemakanan yang sihat.

“Untuk misi larian mak 71km, kami merancang untuk melakukannya selama tujuh hari dengan purata 10km setiap hari. Kami sudah pun mula berlatih dan syukur mak semakin teruja dan bersemangat.

“Masa mula-mula berlari semula, sama ada mak berlari perlahan atau tertinggal di belakang di taman. Tapi sekarang ni, bila saya tercari-cari mak ingatkan hilang, rupa-rupanya mak dah ada geng berlari sama-sama yang turut memberikan sokongan.

“Memang itulah tujuan saya untuk menjadikan larian ini sebagai terapi buat mak selepas kehilangan tiga insan tersayang tiga tahun berturut-turut. Semoga mak terus menjadi menjadi seorang ceria dan positif,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain