suria

“Dia ambil gambar tanda harga” - Cemas! Anak dalam jagaan cuba dilarikan wanita pakai serba hitam, berpurdah... pusat beli-belah beri penjelasan

Seorang kanak-kanak lelaki nyaris diculik oleh seorang wanita berpurdah dipercayai warga Arab di pusat beli-belah di Petaling Jaya, Selangor. Gambar sekadar hiasan /Foto wanita berpurdah: Reuters

SEPASANG suami isteri berdepan detik cemas apabila mendakwa anak lelaki mereka nyaris diculik seorang wanita.

Kejadian berlaku di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, Selangor pada Ahad malam sewaktu sepasang suami isteri keluar bersama ibu dan dua anak mereka.

Menerusi perkongsian di halaman Facebook seorang lelaki dikenali sebagai WK,  dia mendakwa insiden berlaku di sebuah kedai baju di Sunway Pyramid, kira-kira pukul 7 malam.

ARTIKEL BERKAITAN: “Bila saya kata no, dia tiba-tiba marah” - Wanita ini menggigil lelaki warga asing 2 kali muncul tepi tingkap kereta ketika di R&R

ARTIKEL BERKAITAN: “Mukanya pucat sangat” - Ngeri! Wanita diganggu lelaki lalok, ‘melekat’ di pintu rumahnya sambil buat aksi tak senonoh

Menurut WK, ketika kejadian ibunya berada di dalam bilik persalinan mencuba baju manakala isterinya bersama anak lelaki mereka meninjau pakaian lain di kedai yang sama.

Ketika mahu keluar, timbul rasa pelik melihat seorang wanita berpakaian serba hitam berada di dalam kedai baju tersebut yang menjual pakaian bertema masyarakat Cina.

“Saya baru keluar keluar bersama anak perempuan untuk ke kedai kasut bersebelahan. Ketika itu, saya nampak seorang wanita berpakaian serba hitam dan wajahnya ditutup hanya nampak mata sahaja.

“Saya nampak dia ambil gambar tanda harga. Saya pada mulanya tertanya-tanya tapi saya terus keluar ke kedai sebelah (kedai kasut). 

“Tapi, tidak lama selepas itu isteri saya dalam keadaan panik berlari masuk ke kedai kasut itu dan beritahu saya seorang wanita warga Arab cuba menculik anak lelaki kami,” katanya menurut perkongsian yang kini tular.

Perkongsian WK  mengenai cubaan culik anaknya.

WK berkata, dia dimaklumkan bahawa wanita Arab itu bertindak menggeselkan muka ke muka anak lelakinya dan membaca sesuatu dipercayai dalam bahasa Arab ketika cuba membawa dia pergi.

“Isteri terus jerit ‘tidak, tidak, tidak’ kepada wanita berpakaian hitam itu dan kemudian dapat mengambil semula anak kami.

“Wanita itu kemudian berlari keluar dari kedai. Mujur anak saya selamat,” katanya yang memaklumkan mengenai kejadian kepada pekerja di kedai, yang berkata akan melaporkan perkara itu kepada pihak pengurusan.

Isteri terus jerit kata 'tidak, tidak, tidak' kepada wanita berpakaian hitam itu dan kemudian dapat mengambil semula anak kami.

WK

Sehubungan itu, WK menasihatkan semua pihak supaya berhati-hati dan prihatin terhadap persekitaran terutama membabitkan keselamatan anak-anak.

“Hati-hati di mana jua anda berada dan keadaan sekeliling. Kita tidak akan membiarkan anak-anak kita berkeliaran, tapi tetap ada yang nak 'merampas' mereka daripada jagaan kita,” katanya.

Kenyataan Sunway Pyramid berhubung kejadian yang tular.

Sementara itu, Sunway Pyramid menerusi halaman Facebooknya pada petang Isnin tampil memberi kenyataan berhubung insiden cubaan culik tersebut.

“Walaupun insiden tersebut tidak dilaporkan kepada pihak pengurusan, kami dapat menghubungi pemilik halaman Facebook yang juga bapa kepada kanak-kanak itu.

“Kami sedang menyiasat insiden berkenaan. Sebagai jaminan, keselamatan pengunjung adalah keutamaan kami dan siasatan akan dilakukan dengan teliti,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Sunway Pyramid menyediakan servis keselamatan kanak-kanak di pusat beli-belah itu seperti Child WristLink, Child Emergency Contact Tattoo dan Child WristBand.

“Maklumat lanjut mengenai servis keselamatan kanak-kanak boleh berkunjung ke bahagian concierge di aras bawah dan LG2 Marrakesh. Anda juga boleh menghubungi talian 03-7493100 untuk maklumat lanjut,” tambah kenyataan itu.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain