suria

“Bila saya kata no, dia tiba-tiba marah” - Wanita ini menggigil lelaki warga asing 2 kali muncul tepi tingkap kereta ketika di R&R

Pengalaman seorang wanita didekati seorang lelaki misteri semasa singgah di kawasan R&R Pagoh arah selatan. Foto hargaminyak.co

SEORANG wanita melalui pengalaman mencemaskan sewaktu berhenti sebentar di sebuah kawasan rehat dan rawat (R&R) di lebuh raya.

Bukan sekali, tetapi tiga kali keretanya didekati tiga kenderaan yang dipandu oleh lelaki misteri dipercayai warga asing dalam tempoh hanya beberapa minit!

ARTIKEL BERKAITAN: Selalu tinggal 2 anak, isteri sarat hamil di rumah... suami suka keluar malam dapat pengajaran, satu hari terdetik nak balik awal - “Rasa macam tak berguna jadi ayah”

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki misteri muncul selepas 2 jam termenung, terkejut kereta remuk macam dilenyek ‘tanker’ – “Menggeletar, aku fikir hidup ke mati... mungkin ini peluang kedua”

Bercakap kepada mStar, wanita berkenaan, Raja Airan Raja Ismail, 56, berkata, kejadian berlaku di R&R Pagoh arah selatan pada malam Jumaat lalu, semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru, Johor.

“Kami singgah di R&R Pagoh sebab kakak nak ke tandas. Masa tunggu tu, tiba-tiba sebuah kereta Toyota Vios warna silver yang dipandu oleh seorang lelaki warga asing berhenti di sebelah kereta saya. 

“Dalam kereta tu ada seorang lagi wanita bersama seorang kanak-kanak kecil, duduk di tempat duduk hadapan. Dia datang ke kereta saya dan minta saya turunkan tingkap.

“Saya rasa tak sedap hati lalu hanya turunkan sikit. Dia beri salam dan cakap dia dari Dubai, dah dua hari tak makan sebab tak ada duit... anak kecil dia pun tak makan. Dia minta duit,” katanya kepada mStar.

Raja Airan melalui dua pengalaman 'menyeramkan' semasa menggunakan lebuh raya. Foto ihsan Raja Airan Raja Ismail

Dia bagaimanapun terpaksa berkata tidak kepada lelaki berkenaan demi keselamatan dia dan enam lagi penumpang, termasuk dua golongan orang kelainan upaya (OKU).

“Kami semua perempuan dalam kereta, termasuk dua OKU. Tak ada lelaki dewasa dalam ni. Dalam hati, saya berharap agar kakak saya segera kembali ke kereta.

“Bila saya kata no, dia tiba-tiba marah dan beredar, dan tak sampai lima minit datang pula kereta Honda City putih. Yang peliknya, pemandu tu adalah orang yang sama sebab saya cam wajah dan bajunya. Masih dengan alasan sama dan minta duit.

“Masa tu kakak saya kembali semula ke kereta, kami minta dia masuk cepat-cepat dan saya kunci pintu. Tiba-tiba datang pula kereta Nissan Grand Livina biru tua, tapi saya tak nampak pemandunya sebab tingkapnya tinted (cermin gelap),” tambahnya.

Perkongsian Raja Airan menjadi tular selepas dikongsikan oleh anak saudaranya di laman sosial.

Menurut Raja Airan, pada masa sama, kereta Toyota Vios yang mendekatinya sebelum itu kembali semula dan diletakkan secara melintang di belakang keretanya.

“Mujur kereta yang parkir di hadapan baru beredar dan tanpa berfikir panjang, saya terus mencelah keluar dari situ untuk ke stesen minyak berdekatan. Dari jauh saya nampak ada tiga lelaki termasuk lelaki misteri itu keluar dari kereta dan berbincang.

“Di sana lebih terang dan ramai orang. Kami tunggu sehingga 20 minit untuk memandu keluar selepas ketiga-tiga kereta tersebut beredar. Mereka mungkin nak cari mangsa seterusnya di R&R yang lain,” ujar ahli perniagaan itu.

Kami bersyukur kerana Allah SWT selamatkan kami semua, terutama sebab ada anak kecil iaitu cucu kepada adik saya yang berusia lima bulan, dan dua anak buah OKU. Tuhan nak lindungi mereka dan kami yang lain.

RAJA AIRAN

Kejadian itu mengimbas kembali kisah hitam yang dialaminya kira-kira empat tahun lalu semasa menggunakan lebuh raya dekat Nilai, Negeri Sembilan.

“Suhu kereta saya naik ketika itu dan terpaksa singgah di Hentian Nilai. Tiba-tiba datang seorang lelaki yang menawarkan bantuan untuk menunda kereta saya ke sebuah kereta di sebuah bengkel di kawasan yang sama.

“Walaupun kejadian itu berlaku pada waktu petang, tapi suasana dekat bengkel tu agak menyeramkan sebab ia kelihatan usang macam terbiar, sunyi dan terpencil dari kawasan lain.

“Dari rosak kecil dikenakan caj RM38 sampai minta RM7,000. Habis enjin saya dikeluarkannya lepas ditinggalkan di bengkel tu untuk dibaiki,” katanya sambil menambah isu tersebut diselesaikan selepas rundingan dan membuat laporan polis.

Berkongsi pengalaman cemas dekat R&R.

Mengenai kejadian terbaharu di R&R, Raja Airan berulang kali mengucapkan kesyukuran kerana mereka bertujuh selamat tanpa sebarang kejadian diingini berlaku.

“Insiden pada malam tu memang amat menyeramkan, sampai saya menggigil. Kejadian empat tahun lepas seram, yang ni pun seram. Mungkin sebab tempat saya letak kereta tu agak gelap dan jauh dari kawasan ramai orang, dan mungkin juga sebab mereka nampak ada ramai perempuan dalam kereta.

“Tapi kami bersyukur kerana Allah SWT selamatkan kami semua, terutama sebab ada anak kecil iaitu cucu kepada adik saya yang berusia lima bulan, dan dua anak buah OKU. Tuhan nak lindungi mereka dan kami yang lain. Alhamdulillah. 

“Saya berharap dengan perkongsian saya ni orang ramai lebih berhati-hati dan peka dengan keadaan sekeliling. Bila saya kata no tu bukan bermakna saya sombong tak nak bantu tapi sebab tak sedap hati bila orang tu minta duit dalam keadaan gelap, jadi saya perlu berhati-hati dan fikirkan keselamatan semua,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain