suria

Nak segera siapkan urusan kahwin anak satu petanda, ayah pergi 4 hari sebelum jadi wali nikah - “Masih ada lagi bau ayah pada jam tangannya”

Syaza Syafiqah berkongsi kisah kehilangan ayahnya Abd Rahim Othman yang menghembuskan nafas terakhir empat hari sebelum dia diijabkabul.

“TERKILAN sangat kerana ayah tak dapat bersama-sama menyaksikan saya diijabkabulkan Sabtu ini,” demikian luah seorang gadis yang kehilangan ayah tersayang beberapa hari menjelang hari bahagianya.

Bakal pengantin bernama Syaza Syafiqah Abd Rahim berkata, ayahnya Abd Rahim Othman, 59, menghembuskan nafas terakhir pada Selasa lalu, selepas tidak sedarkan diri di dalam bilik air.

Menurut gadis berusia 23 tahun ini, dia dan keluarga sama sekali tidak menyangka insan kesayangan mereka dijemput Ilahi dalam sekelip mata.

ARTIKEL BERKAITAN: Terlalu ingin tahu penyakit kanser yang meragut nyawa kakak, adik bongsu tekad dalami bidang perubatan– “Kelemahan saya jadikan kekuatan”

ARTIKEL BERKAITAN: Konon nak ajak pergi makan tapi dua beradik ini ‘tipu’ ibu sampai menangis - “Jika ayah masih ada, pasti arwah yang belikan” 

“Arwah ayah memang sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi. Tetapi dia tak pernah masuk hospital kerana penyakitnya itu. Dipendekkan cerita, pagi Selasa lalu, ayah berniaga nasi lemak seperti biasa. Malah pagi itu dia hantar saya ke stesen MRT untuk ke tempat kerja.

“Selepas selesai berniaga dan menyediakan keperluan untuk berniaga keesokan hari, dia ke bilik air. Apabila dia lama tak keluar, anak buah saya panggil tapi dia tidak menyahut. Ibu juga pelik kenapa ayah diam sahaja, bila pindu dibuka kelihatan ayah yang duduk di mangkuk tandas tidak sedarkan diri.

“Lantas ibu, kakak dan kakak ipar angkat ayah sebelum hubungi abang. Kemudian mereka terus bawa ayah ke hospital. Saya dapat panggilan daripada kakak sejurus selepas waktu makan tengah hari. Pada mulanya ingat ayah pengsan sebab keletihan, tak sangka ia sampai meragut nyawa,” ujarnya.

Syaza bersama arwah ayah dan ibu sewaktu majlis pertunangannya.

Menurut gadis yang mesra dengan panggilan Syaza, dia dan tunang terus bergegas ke hospital sebaik mendapat perkhabaran tersebut.

“Kira-kira pukul 4 petang, doktor maklumkan tekanan darah ayah terlalu tinggi menyebabkan saluran darah menghimpit otak. Untuk membuat pembedahan, ia terlalu berisiko. Ayah memang tak sedarkan diri sejak pengsan di bilik air.

“Ayah diletakkan di wad biasa, dan doktor memberitahu agar maklumkan kepada ahli keluarga yang lain kerana ayah akan pergi bila-bila masa. Kami berkumpul di sisi ayah, bacakan surah Yasin dan ajar dia mengucap. Kami tiga beradik bisikkan kepada ayah bahawa kami berjanji untuk menjaga ibu,” ujarnya yang merupakan anak bongsu.

Menurut Syaza, ibunya paling terkesan dengan pemergian ayahnya lantaran tidak pernah berenggang sejak 31 tahun hidup bersama.

Selepas beberapa jam tidak sedarkan diri, ayah Syaza akhirnya menghembuskan nafas terakhir tepat pukul 8.20 malam ketika azan Isyak sedang berkumandang.

Menurut Syaza, ibunya adalah insan yang paling terkesan dengan pemergian ayahnya.

Arwah ayah kalau boleh nak semua persiapan perkahwinan saya dilakukan segera. Baik dari segi hantaran, baju dan sebagainya. Saya fikir dia excited. Tapi bila fikir kembali, rupanya ia seperti petanda, dan mungkin dia mahu selesaikan tanggungjawabnya sebelum pergi.

SYAZA SYAFIQAH ABD RAHIM

“Selama 31 tahun mereka tak pernah berpisah. Ke mana-mana pun sentiasa bersama waima pergi minum di warung ataupun membeli barang di kedai runcit. Senang cerita, di mana ada ayah, di situ ada emak,” kata Syaza.

Berkongsi momen manis dan yang paling tidak dapat dilupakan, gadis ini berkata arwah ayahnya seorang yang suka memenuhi kehendak isteri dan anak-anaknya.

Menurut Syaza, arwah ayahnya seorang yang suka melayani kehendak isteri, anak-anak serta cucunya.

“Banyak sangat momen indah bersama arwah sebab saya anak bongsu dan memang tinggal bersama orang tua. Pernah sekali, saya sebut teringin nak makan pulut pisang, tak sangka dia pergi cari juga. Malam-malam kalau kami lapar, dia terus pergi kedai.

“Tapi momen yang paling tak dilupakan, baru-baru ini kami belikan dia jam tangan sempena hari lahirnya. Selama arwah hidup, dia mesti pakai jam jarum. Tapi kali ini, tiba-tiba dia ubah fikiran nak pakai jam tangan digital. Pelik juga tapi tak terfikir apa pun. Kini saya yang pakai jam tersebut, masih ada lagi bau ayah pada jam itu.

“Lagi satu, arwah ayah kalau boleh nak semua persiapan perkahwinan saya dilakukan segera. Baik dari segi hantaran, baju dan sebagainya. Saya fikir dia excited. Tapi bila fikir kembali, rupa-rupanya ia seperti petanda, dan mungkin dia mahu selesaikan tanggungjawabnya sebelum pergi,” kata Syaza.

Perkongsian Syaza mengenai arwah ayahnya di Twitter menjadi tular dan dibanjiri dengan komen netizen yang turut sama melahirkan rasa sedih. 

Tambah Syaza lagi, seluruh keluarga masih bersedih dan berat untuk menerima hakikat pemergian ayahnya yang secara tiba-tiba itu.

“Pada mulanya, nak tangguh majlis pada hujung minggu ini, namun selepas perbincangan bersama kadi dan imam, mereka nasihatkan agar teruskan saja. Saya sendiri tak tahu bagaimana untuk menghadapi hari pernikahan dan persandingan tanpa arwah, tambahan pula ayah sepatutnya walikan saya.

“Kepada sesiapa yang masih ada orang tua, hargailah mereka. Sentiasa tanya kesihatan mereka sebab orang tua jarang sangat nak beritahu sebab tak mahu anak risau. Memang sedih sangat, tapi perasaan rindu pada arwah lebih berat,” ujarnya mengakhiri bicara.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain