suria

Terlalu ingin tahu penyakit kanser yang meragut nyawa kakak, adik bongsu tekad dalami bidang perubatan– “Kelemahan saya jadikan kekuatan”

Kehilangan Siti Amalina (kanan) akibat kanser Non-Hodgkin Limfoma meninggalkan kesan mendalam buat Siti Amalia (kiri) dan keluarganya sungguhpun sudah lebih dua tahun berlalu.

KEHILANGAN insan tersayang sememangnya amat perit untuk ditelan.

Apatah lagi sekiranya insan tersebut merupakan antara individu yang amat rapat dan sering menjadi tempat untuk meluahkan perasaan.

Demikian kisah yang dikongsi seorang gadis bernama Siti Amalia Amri mengenai kakak kesayangannya yang dijemput Ilahi, lebih dua tahun yang lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Rasa sakit sangat...” - Wanita ini terima ‘hadiah’ duka pada hari jadi, sempat atur photoshoot anak sebelum ajal

ARTIKEL BERKAITAN: Suami buat kejutan hadiah hari jadi idaman isteri, tapi malangnya esok nahas... keadaannya 50-50 - “Baru setahun kahwin, saya rindu usikkannya”

Menurut gadis berusia 19 tahun ini, kakaknya Siti Amalina meninggal dunia pada usia 23 tahun akibat menderita kanser Non-Hodgkin Limfoma (NHL).

“Kehilangan kakak yang saya panggil Kak Na memberi kesan yang amat mendalam kepada kami sekeluarga. Sungguhpun dah lebih dua tahun kakak pergi, namun ingatan kami kepadanya sikit pun tak padam. Malah ibu dengan ayah tak pernah gagal untuk menziarahi pusaranya setiap hari.

“Pemergian Kak Na juga menjadi antara sebab utama saya memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan, kerana terlalu ingin tahu mengenai penyakit yang dideritainya hingga meragut nyawanya,” ujar gadis yang disapa dengan panggilan Amalia ini kepada mStar.


Kakak kepada Amalia yang disapa sebagai Kak Na menghembuskan nafas terakhir pada 1 Mac 2017 akibat kanser Non-Hodgkin Limfoma.

Anak bongsu daripada enam beradik ini yang kini melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan dan pembedahan ini berhasrat untuk mendalami bidang onkologi, iaitu salah satu cabang dalam bidang perubatan yang mengkaji mengenai barah.

“Pada awal pengajian, ada satu subjek yang menyentuh mengenai sel kanser, iaitu bagaimana sel biasa boleh bertukar menjadi sel kanser. Ketika belajar, banyak kali saya tak dapat tahan tangis kerana teringatkan arwah Kak Na.

“Baru-baru ini, saya berkongsi mengenai topik pembelajaran itu dengan ibu dan ayah. Masa saya cerita, ibu tak dapat tahan air mata dan menangis. Ayah pun sama, walaupun dia cuba menahan, kami sama-sama sedih teringatkan arwah,” ceritanya sambal menahan sebak.

Amalina atau Kak Na sewaktu sambutan ulang tahun kelahirannya kira-kira dua bulan sebelum meninggal dunia.

Mengimbas kembali kisah bagaimana arwah kakaknya menghidap penyakit tersebut, menurut Amalia, ia berlaku ketika kakaknya yang juga penuntut bidang pergigian di sebuah universiti di Mesir pulang ke tanah air untuk menghabiskan cuti semester.

“Kak Na didiagnos menghidap kanser pada pertengahan 2014. Pada awalnya, Kakna hanya mengalami batuk-batuk dan bila berlarutan, kami ke hospital dan pada awalnya disyaki tibi.

“Namun beberapa bulan kemudian, kesihatan Kak Na merosot hingga akhirnya disahkan hidap kanser tahap dua. Masa tahu, memang semua terkejut, Kak Na pula seakan-akan tak boleh beri reaksi sebab sukar untuk hadam kenyataan itu.

“Maka bermulalah rawatan di mana Kak Na perlu menjalani kimoterapi. Selepas enam bulan kimoterapi, doktor kesan sel kanser masih ada, jadi perlu teruskan dengan radioterapi pula. Pada awalnya, rawatan itu menampakkan hasil, tapi beberapa bulan kemudian sel kanser datang semula,” ujar gadis yang berasal dari Kajang, Selangor ini.

Antara gambar Amalina yang menjadi potret kegemaran keluarganya.

Menurut Amalia, sel kanser yang dikesan buat kali kedua menyebabkan kakaknya perlu menjalani rawatan kemoterapi untuk tiga bulan lagi.

Bagaimanapun, rawatan tersebut tidak berjaya apabila sel kanser masih dikesan dan sehinggakan kakaknya perlu menjalani pemindahan sumsum tulang. 

"Sepatutnya selepas seminggu selepas itu, sel darah akan meningkat untuk membina sistem imun dalam badan. Tapi sel darah Kakna tak naik-naik, yang mana akhirnya Kakna dapat jangkitan dan ia merebak hingga Kak Na menghembuskan nafas terakhir pada 1 Mac 2017,” ujarnya dengan nada sedih.

Pada awal pengajian, ada satu subjek yang menyentuh mengenai sel kanser, iaitu bagaimana sel biasa boleh bertukar menjadi sel kanser. Ketika belajar, banyak kali saya tak dapat tahan tangis kerana teringatkan arwah Kak Na.

SITI AMALIA AMRI

Kata Amalia, pemergian kakaknya yang merupakan anak kelima memberi kesan yang amat membekas di hatinya dan juga keluarga sehingga kini.

“Masa Kak Na sakit, saya tak dapat fokus hingga keputusan percubaan untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merosot. Namun saya bangkit dan Alhamdulillah, berjaya dapat keputusan cemerlang hingga ditawarkan biasiswa Mara untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan.

“Sebenarnya, banyak kali juga saya tak ada semangat, sering teringatkan arwah. Tengok biliknya, barang-barangnya, memang terbayang arwah saja. Apatah lagi sepanjang sakit, Kak Na ada saja di rumah. 

"Tapi disebabkan nak sangat tahu tentang kanser yang menjadi punca Kak Na pergi, saya kuatkan semangat. Kelemahan itu saya jadikan kekuatan. Moga Kak Na gembira tengok adiknya dapat meneruskan cita-cita dalam bidang perubatan,” ujarnya mengakhiri bicara.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain