suria

Konon nak ajak pergi makan tapi dua beradik ini ‘tipu’ ibu sampai menangis - “Jika ayah masih ada, pasti arwah yang belikan”

Video Firdaus yang memberi kejutan kepada ibunya menjadi tular di media sosial dan mendapat pujian netizen.

“UMMI terharu sangat, kemudian dia peluk kami adik-beradik,” demikian cerita seorang remaja yang videonya memberi kejutan hadiah berupa telefon bimbit untuk ibu menjadi tular di Twitter.

Berkongsi cerita dengan mStar, remaja yang bernama Firdaus Hani Hanapi berkata, hadiah tersebut diberi bagi menggantikan telefon bimbit milik ibunya yang hampir rosak.

ARTIKEL BERKAITAN: Misi kejutan nyaris gagal... isteri terpegang kotak hadiah, mujur suami pandai ‘tipu’ - “Terlalu banyak pengorbanannya, bagi kereta pun tak terbalas”

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan anak manja, pelajar anggap kejutan iPhone 11 Pro Max tanda sayang ibu bapa - “Mereka tak akan senang-senang berikan hadiah”

“Ummi dah dua tahun pakai telefon bimbit yang lama. Telefonnya mungkin rosak sebab adik selalu main game. Dia pernah mengadu telefonnya kerap hang baru-baru ini.

“Selalunya, kalau bab-bab beli barang, arwah ayah yang akan beli. Tapi kini arwah ayah dah tiada. Jadi saya rancang dengan kakak untuk belikan telefon bimbit baru buat ibu,” cerita Firdaus.

Firdaus dan enam lagi adik beradiknya kini bergantung kasih kepada ibu mereka sejak pemergian ayah tersayang.

Menurut anak kedua daripada tujuh beradik ini, dia dan kakaknya berkongsi wang demi merealisasikan impian untuk memberi kejutan buat ibu tersayang, Arni Mohamed.

“Saya menerima wang elaun sepanjang menjalani kursus kemahiran di sebuah syarikat pengeluar komponen aeroangkasa di Batu Berendam, Melaka. Wang elaun tersebut memang dijadikan simpanan.

“Manakala kakak pula menggunakan wang gaji dia bekerja di sebuah kafe. Jadi bila dikongsi, jumlahnya mencukupi untuk membeli telefon bimbit model yang ummi suka iaitu Google Pixel 2XL,” ujarnya.

Ayah Firdaus, Hanapi Hamid meninggal dunia dua tahun lalu akibat serangan jantung.

Cerita Firdaus lagi, dia dan kakaknya merancang dengan teliti sehingga ia tidak dapat dihidu oleh ibu mereka.

“Selepas saya beli, tugas kakak di rumah untuk ‘memperdaya’ ummi mengatakan kami nak keluar makan dan minta ummi bersiap. Ketika itulah kami membuat kejutan kepadanya.

“Memang reaksi ummi sangat terharu. Malah katanya, buat apa membazir, simpan saja wang untuk diri sendiri. Selepas itu dia peluk kami adik beradik dan ucapkan terima kasih di atas kejutan itu.

Video yang dimuat naik Firdaus di laman Twitter menjadi tular sehingga diulang kicau melebihi 6,000 kali.

“Bagi saya dan kakak, ummi banyak berkorban untuk kami adik beradik sejak ayah tiada dua tahun lalu. Jasanya membesarkan dan mendidik kami tidak ternilai jika nak dibandingkan dengan apa yang kami beri.

“Lagi pula, kami puas dapat gembirakan ummi. Selagi orang tua kita hidup, tugas kita sebagai anak adalah untuk menggembirakan mereka,” ujarnya lagi.

Bercerita lebih lanjut, remaja berusia 18 tahun ini berkata, sebagai anak lelaki sulung dalam keluarga, dia percaya menjadi tanggungjawabnya untuk membantu meringankan beban ibu yang kini berseorangan menyara kehidupan mereka sekeluarga.

Memang reaksi ummi sangat terharu. Malah katanya, buat apa membazir, simpan saja wang untuk diri sendiri. Selepas itu dia peluk kami adik beradik dan ucapkan terima kasih di atas kejutan itu.

FIRDAUS HANI HANAPI

“Arwah ayah, Hanapi Hamid meninggal dunia akibat serangan jantung. Ketika itu ayah yang juga pengurus gudang sedang outstation di Indonesia. Memang kehilangannya amat mengejut, tambahan pula saya bakal menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika itu.

“Jadi ummi sahajalah tempat kami adik beradik bergantung. Pendapatannya sebagai seorang kerani tidak sebanyak mana, disebabkan itu saya dan kakak sedaya upaya nak ringankan beban ummi, lagi pun adik-adik yang lain masih bersekolah.

“Saya berazam untuk menamatkan kursus ini dengan cemerlang seterusnya mencari pekerjaan untuk membantu ummi dan keluarga,” demikian kata Firdaus mengakhiri bicara.

Sehingga kini, video yang dimuat naik Firdaus di Twitter meraih melebih 6,000 kali ulang kicau serta dihujani komen netizen yang rata-ratanya memuji usaha remaja tersebut. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain