suria

“Best tak jadi cikgu?” - Soalan doktor buat guru yang sedang sakit tersentak, jiwa pendidik sudah hampir mati... ini sebabnya!

Norliza kesal dengan sikap segelintir ibu bapa yang sering mengkritik para pendidik.

MAKIN menjadi-jadi isu pertelagahan antara ibu bapa dengan murid-murid di media sosial.

Malah budaya mengkritik dan mencari kesalahan pendidik juga seakan-akan tidak pernah menemui noktahnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak pensyarah bengang, ibu gigih buat nota, siap angkut ke kelas tapi pelajarnya sombong belaka - “Madam hantar soft copy nota kepada kami”

Jika dibandingkan dengan generasi dahulu dahulu, jelas sekali lebih tinggi rasa hormat mereka terhadap guru berbanding anak-anak muda sekarang.

Panggilan 'cikgu bodoh!' sering didengar, malah apa sahaja yang dilakukan oleh golongan pendidik sering kali menerima kecaman sebahagian ibu bapa.

Posting 'luahan seorang guru' tular di laman sosial.

"Pasal graduasi, dipanggil cikgu bodoh! Pasal jamuan, dipanggil cikgu bodoh! Meraikan pelajar berjaya, kutip duit seringgit untuk beli hadiah bersara juga dipanggil kami sebagai cikgu bodoh," luah seorang guru menerusi status yang dimuatnaiknya di Facebook pada Isnin.

Menurut Norliza Md Nor, dia mengakui sedikit kesal dan terasa hati dengan sikap yang ditunjukkan oleh segelintir ibu bapa.

"Ya, saya seorang cikgu dan waktu saya sakit, saya masih ke sekolah. Malah waktu saya kena serangan hypokalemic periodic paralysis pun saya sanggup memanjat tangga sampai ke tingkat tiga, demi nak mengajar anak-anak murid.

"Cuba fikir rasa sakit yang ditanggung saya ketika itu... Sangat sakit! Tapi lebih sakit lagi apabila saya terbaca satu posting yang dimuatnaik oleh seorang individu dengan penuh emosi memanggil kami (guru) dengan panggilan 'cikgu bodoh'," demikian luahnya dengan perasaan kecewa.

Bertugas di sebuah sekolah di Terengganu, Norliza berpendapat, kerjaya itu seolah-olah dipandang hina oleh masyarakat hinggakan ada yang sanggup mengkritik tanpa rasa bersalah.

Dalam keadaan saya sedang hamil enam bulan, saya sanggup panjat tangga dan ketuk pintu rumah flat untuk tanyakan kenapa tak datang ke sekolah kerana risau jika perkara tidak diingini berlaku.

NORLIZA MD NOR

GURU

Malah jika dilihat pada isu-isu yang berlaku sejak kebelakangan ini, rata-rata masyarakat terutamanya golongan ibu bapa sepertinya meletakkan kesalahan itu di bahu pendidik.

"Pendek kata apa jua isu yang berlaku adalah kerana cikgu. 'Cikgu ni bodohlah!' Wahai puan-puan yang cerdik pandai, usahlah hantar anak kamu kepada kami tetapi didiklah sendiri. Risau kalau-kalau terjangkit 'kebodohan' itu," katanya menerusi posting tersebut.

Kongsi Norliza lagi, masyarakat hanya mengambil titik negatif dalam setiap perkara yang dilakukan oleh golongan pendidik ini, tetapi tidak dari sisi positif yang mana terdapat pengorbanan yang dilakukan oleh golongan ini.

"Puan-puan tak tahu, apa pelajar-pelajar datang mengadu. Cikgu, duit saya hilang, cikgu bodoh inilah yang seluk handbag dan gantikan. Cikgu, mak belum datang ambil', cikgu inilah yang sanggup hantar balik. Tengok jam dah lewat petang, lepas tu tanya rumah awak kat mana?

"Cikgu, saya tak dapat join kem ni sebab mak tak ada duit. Cikgu bodoh inilah pandang tepat ke dalam mata murid dan cakap, tak apalah awak datang saja kem tu, sayang kalau awak tak masuk. Tak apa biar cikgu yang bayarkan," luahnya.

Guru ibarat lilin, 'sanggup membakar diri bagi menerangi orang lain'. 

Tambah wanita cekal ini lagi, sewaktu usia kandungannya enam bulan dahulu dia sanggup berkorban dengan mengambil insiatif untuk ke rumah pelajarnya selepas berminggu-minggu tidak hadir ke sekolah.

"Bayangkan dalam keadaan saya sedang hamil enam bulan, saya sanggup panjat tangga dan ketuk pintu rumah flat untuk tanyakan kenapa tak datang ke sekolah kerana risau jika perkara yang tidak diingini berlaku," ceritanya lagi tentang pengorbanan yang pernah dilakukannya dalam mendidik pelajarnya.

Beliau turut berkongsi tentang ibu bapanya yang gembira dan sangat berbangga ketika dia ditawarkan menjadi seorang pendidik suatu ketika dahulu.

Namun kini rasa gembira yang pernah dirasainya dahulu telah hilang.

"Mak saya sangat berbangga bila saya jadi cikgu dulu. Tapi kini saya penat dan hilang rasa gembira itu. Saya sering beritahu emak yang saya sebenarnya sudah letih untuk jadi seorang cikgu," kata wanita yang berasal dari Terengganu ini.

Bagaimanapun, dia turut mengakui masih terdapat sesetengah ibu bapa yang menghargai setiap pengorbanan yang dilakukan oleh mereka.

Komen-komen positif netizen.

Menceritakan lebih lanjut mengenai penyakit yang dihidapinya, kata Norliza, sewaktu dimasukkan ke hospital dia masih menjalankan tanggungjawabnya sebagai pendidik.

"Walaupun ketika ditahan di wad, saya tetap laksanakan tanggungjawab sebagai cikgu. Sepatutnya saya gunakan masa itu untuk rehatkan diri, tenangkan fikiran tetapi tidak saya masih kuatkan diri periksa dan semak kertas ujian pelajar-pelajar saya di hospital.

"Sampaikan doktor yang datang ambil darah saya tanya, best tak jadi cikgu?'. Masa tu serba salah saya nak menjawab bila fikirkan layanan yang diterima dan sering dipersalahkan. Jiwa cikgu masih ada, tetapi sudah hampir mati rasanya!" luahnya.

Posting tersebut bagaimanapun menerima perhatian ramai yang mana rata-rata netizen meninggalkan respons positif menerusi ruangan komen.

"Sabarlah walaupun perit menjadi pendidik. Tugas nampak mudah tapi tanggungjawabnya sama berat seperti tugas-tugas yang lain. Harapan diletak di atas bahu cikgu untuk kecemerlangan serta kesejahteraan anak-anak di masa hadapan," kata seorang netizen.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
cikgu, ibu bapa

Artikel Lain