suria

Selepas bekas pekerja terima ‘duit raya’, Rayani Air mahu buat bayaran balik kepada pelanggan

Rayani Air menghentikan operasinya pada 2016.

SELEPAS sekumpulan bekas pekerja Rayani Air yang menggelarkan syarikat penerbangan itu berstatus patuh syariah pertama Malaysia menerima kejutan ‘duit raya’, pelanggan kini bakal menerima habuan yang sama.

Pengumuman yang dibuat di halaman Facebook milik pemilik Rayani Air, Ravi Alagendrran pada Selasa malam menyatakan tentang bayaran balik tempahan tiket penerbangan pelanggan.

ARTIKEL BERKAITAN: Sah! Bukan ‘prank’, bekas pekerja Rayani Air dapat ‘duit raya’

ARTIKEL BERKAITAN: “Ini bukan 'prank' atau 'duit raya' yang sengaja diada-adakan” - Rayani Air kembali buat kejutan menjelang Ramadan

ARTIKEL BERKAITAN: Rayani Air Gantung Operasi Serta-Merta

ARTIKEL BERKAITAN: DCA Batalkan Sijil Pengendali Udara Rayani Air

Menerusi perkongsian itu, Ravi mengucapkan terima kasih kepada pelanggan yang memberi sokongan kepada syarikat penerbangan yang digelarnya berstatus patuh syariah pertama Malaysia itu dan turut memohon maaf di atas kekurangan sepanjang usaha syarikat penerbangan itu untuk memberikan perkhidmatan terbaik.

“Pihak pengurusan Rayani Air akan membuat bayaran balik kepada pelanggan yang telah membeli tiket secara tunai secara berperingkat.

“Untuk tujuan itu, anda dipohon untuk menghantar emel kepada kami di [email protected] dengan mengemukakan maklumat mereka,” katanya menerusi satu kenyataan.

Ravi berkata, butiran pelanggan yang dikehendaki adalah nama penumpang, sektor penerbangan, tarikh dan masa penerbangan, nombor penerbangan dan harga tiket.

Ravi Alagendrran.

Tambahnya, salinan tiket penerbangan juga perlu dikemukakan sebagai bukti pembelian selain nombor akaun bank serta nama pemegang akaun tersebut untuk tujuan pembayaran dalam talian.

Bercakap kepada mStar, Ravi berkata, usaha membuat bayaran balik tiket penerbangan kepada pelanggan dilakukan secara berperingkat bermula Ogos depan.

Jelasnya, pihak pengurusan akan membuat semakan ke atas maklumat yang diberikan pelanggan dengan rekod jualan tunai syarikat sebelum bayaran balik dibuat.

“Jika pelanggan sudah menghantar emel lengkap dan sah, pembayaran akan dibuat secara berperingkat pada Ogos, September dan Oktober.

“Ia adalah proses pembayaran balik susulan kepada pelanggan lain kerana separuh daripada pelanggan yang terjejas telah menerima bayaran balik mereka,” ujar Ravi.

Ia adalah proses pembayaran balik susulan kepada pelanggan lain kerana separuh daripada pelanggan yang terjejas telah menerima bayaran balik mereka

RAVI

Menurut Ravi, sebagai jaminannya sebelum ini, proses pembayaran balik untuk pelanggan dilakukan selepas menyelesaikan bayaran gaji tertunggak bekas pekerja.

“Selepas selesai isu gaji, kita bergerak ke bayaran balik kepada pelanggan. Diharapkan semua dapat bersabar dan memberikan kerjasama,” katanya.

Perkongsian Ravi di halaman Facebooknya mengenai bayaran balik kepada pelanggan.

Terdahulu, sekumpulan bekas pekerja Rayani Air menerima bayaran gaji tertunggak mereka susulan syarikat penerbangan itu menghentikan operasinya tiga tahun lalu.

Pembayaran itu dibuat sehari sebelum Hari Raya Pertama pada bulan lalu, merupakan proses bayaran kedua selepas bayaran tunggakan gaji dibuat pada kumpulan pertama bekas pekerjanya pada Jun 2018.

Rayani Air yang menggelarkannya sebagai syarikat penerbangan patuh syariah pertama Malaysia memulakan operasi pada Disember 2015.

Pada 9 April 2016, Ravi membuat pengumuman mengejut dengan menggantung operasi Rayani Air berkuat kuasa serta-merta, antara faktor disebabkan oleh tindakan mogok sekumpulan juruterbangnya.

Pada Jun 2016, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) ketika itu (kini dinaik taraf sebagai Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia atau CAAM) membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) dan Sijil Operator Udara (AOC) Rayani Air selepas siasatan menyeluruh terhadap pentadbiran dan audit syarikat, selain didapati melanggar syarat ASL serta mempunyai kedudukan kewangan lemah.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain