“Dari awal naik van jenazah saya tengok dia risau” - Bapa hulur RM5 sempurnakan perjalanan terakhir anak OKU, dua kali menangis - Viral | mStar

“Dari awal naik van jenazah saya tengok dia risau” - Bapa hulur RM5 sempurnakan perjalanan terakhir anak OKU, dua kali menangis

Jenazah kanak-kanak OKU itu dihantar dari Hospital Sandakan ke Batu 16, Sabtu lalu.

SESIAPA sahaja yang ada di situ pastinya akan mengalirkan air mata.

Begitulah situasi yang dihadapi Yunizam Yusop sewaktu dia menghantar jenazah kanak-kanak Orang Kelainan Upaya (OKU) dari Hospital Sandakan ke Batu 16 di daerah Sandakan di Sabah pada Sabtu lalu.

Menurut pengendali perkhidmatan van jenazah percuma itu, dia tidak dapat menahan sebak tatkala bapa kanak-kanak berusia enam tahun itu hanya mempunyai wang sebanyak RM5 untuk diberi kepadanya bagi menyempurnakan perjalanan terakhir anaknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu kelu, 2 kali tumpah air mata lihat bapa daif 5 jam peluk jenazah anak, “Dia masuk van, kami dah mula menangis”

ARTIKEL BERKAITAN:  “Bayi sempurna, urusan cepat” - Dipermudah selepas 'ditolak' kerana duit urus jenazah tak cukup RM300

"Dia turun van jenazah dan maklumkan itu sahaja yang dia ada untuk upah sewa penghantaran dan sewa van jenazah.

"Saya cakap saya memang tak minta upah. Dia pun memang orang susah. Ambil upah kerja-kerja buruh sahaja, tinggal pun di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR)," ujar Yunizam sewaktu dihubungi mStar pada Rabu.

Bila berhadapan kes macam ni, saya memang akan menangis on the spot. Sebenarnya orang tak nampak, ramai lagi orang yang susah. Saya pun asal orang susah, sebab tu saya boleh faham.

YUNIZAM YUSOP

Bercerita mengenai lelaki itu, kata Yunizam, di sebalik kesedihan kerana pemergian insan tersayang, kerisauan di wajahnya jelas kelihatan sewaktu mula-mula menaiki van sehinggalah mereka tiba di rumahnya.

"Semestinya dia sedih atas kehilangan satu-satunya anaknya, tapi saya juga rasa dia bimbang sebab tak ada duit nak bayar perkhidmatan van kami.

"Dari awal naik van jenazah lagi saya tengok dia risau, masa tu sekitar awal pagi waktu Subuh macam tu," ujar Yunizam lagi.

Tambahnya, dia dan rakannya juga tidak mampu untuk menahan air mata apabila berdepan dengan situasi berkenaan tempoh hari.

"Bila kami kata tak payah bayar, dia menangis. Lepas tu saya beri pula sumbangan wang, dia menangis lagi.

"Dia kata tak pernah jumpa perkhidmatan van jenazah macam ni," ujar Yunizam.

Jenazah dihantar dari Hospital Sandakan ke Batu 16 pada Sabtu lalu.

Jelas pemuda berusia 31 tahun itu, kanak-kanak berkenaan dimasukkan ke hospital akibat demam, beberapa hari sebelum dia meninggal dunia.

Sewaktu perjalanan menghantar jenazah yang memakan masa sekitar satu jam, Yunizam ditemani seorang sahabatnya serta bapa kepada kanak-kanak itu.

"Selain hantar ke rumah, kami juga bantu untuk hantar jenazah ke kawasan kubur. Tapi emaknya tak ikut, mungkin sebab tak dapat nak menanggung kesedihan akibat kehilangan anak.

"Bila berdepan kes macam ni, saya memang akan menangis on the spot," akui Yunizam lagi.


Yunizam sebak tatkala mengimbas semula detik pilu itu.

"Sebenarnya orang tak nampak, ramai lagi orang yang susah. Saya pun asal orang susah, sebab tu saya boleh faham," katanya lagi.

Dalam pada itu, posting Yunizam di Facebook menerima lebih 800 perkongsian.

Malah, rata-rata netizen turut meninggalkan komen mereka berhubung perkongsian itu.

"Semoga Allah sentiasa memberi kesihatan kepada mu Yunizam Yusop atas segala bakti dan usahamu... Amin," tulis Mohd Asri Kamis.

"Ya Allah sedihnya, semoga abang botak panjang umur, murah rezeki dapat tolong orang yang susah selalu... Permudahkanlah urusan abang botak ya Allah," tulis Cems Mustapa pula.