suria

“Bayi sempurna, urusan cepat” - Dipermudah selepas 'ditolak' kerana duit urus jenazah tak cukup RM300

Beberapa keping gambar yang menunjukkan seorang bapa memangku jenazah anaknya mengundang sebak. -foto Facebook Mohd Zulhairi Zainol.
KISAH seorang bapa yang terpaksa meninggalkan sebuah surau dan berpatah balik ke hospital sambil memangku jenazah bayinya kerana tidak mampu membayar RM300 kepada pengurusan surau sebagai urusan pengebumian nyata mengundang sebak.

Bagaimanapun ramai yang menarik nafas lega kerana dalam situasi sukar itu, seorang lelaki hadir untuk membantu urusan pengebumian bayi berkenaan, sebelum kisah tragis ini dikongsi olehnya di Facebook, petang Khamis.

Mohd Zulhairi Zainol ketika dihubungi mStar Online selepas kisah ini tular berkata, walaupun sering melakukan kerja amal dalam menguruskan jenazah dan pengebumian, kejadian pada Khamis cukup memberikan kesan terhadap dirinya kerana ia melibatkan seorang bayi.

Bagaimanapun Mohd Zulhairi, 34, atau lebih dikenali sebagai Hery berkata dia bersyukur kerana segalanya berjalan lancar dan selesai dalam waktu yang singkat.

“Urusannya cepat sangat, tak sampai dua jam. Selepas dapat panggilan wakil hospital pagi Khamis, saya jumpa dengan bapa bayi itu di hospital jam 12.30 tengah hari. Selepas bincang apa yang patut, saya terus mandi dan kafankan bayinya.

“Kemudian saya bawa dia pergi kubur ambil masa 20 minit. Sampai sahaja di tanah perkuburan, kubur dah siap ngam ngam dikorek, dalam pukul 2 petang dah selesai kebumi,” kata Hery yang juga aktivis Amal Team.


Jenazah bayi tersebut selamat dikebumikan.

Mengulas lanjut, Hery berkata dia juga tidak berdepan sebarang masalah sepanjang proses memandikan, mengkafankan dan mengebumikan mayat bayi tersebut di Tanah Perkuburan Sungai Tangkas, Bangi.

“Uruskan jenazah bayi mudah, bayi pun sempurna, cukup sifat, saya agak usianya dalam kandungan sekitar lima hingga enam bulan... saya pun dah biasa buat (urus jenazah) jadi kerja jadi mudah.

“Sebelum saya hantar bapanya pulang, saya sempat pesan kepadanya kalau ada duit lebih selepas ni bolehlah buat batu nisan,” katanya.

Mengimbas saat-saat dia bersama bapa bayi itu, Henry yang sudah tiga tahun menjalankan kerja-kerja pengurusan jenazah secara sukarela bersama rakan-rakannya berkata dia hanya nampak kesedihan dan kegelisahan dalam dirinya.

Dia kata kalau ada RM300 dia dah minta surau uruskan, tapi dia cuma ada RM150 sahaja dan dia ada juga tunjukkan duit RM150 itu pada saya.

HERY

Aktivis Amal Team

Bagaimanapun, menerusi perbualan singkat mereka berdua, dia dimaklumkan oleh lelaki yang bekerja sebagai pembantu gerai itu bahawa dia dan isterinya masih belum mempunyai rezeki untuk menimang cahaya mata kerana ini kali kedua isterinya mengalami keguguran.

“Biasanya kalau kes macam ni memang saya tak tanya banyak kepada waris. Apa yang saya boleh kata, dia nampak resah sebab tak berduit.

“Dia kata kalau ada RM300 dia dah minta surau uruskan, tapi dia cuma ada RM150 sahaja dan dia ada juga tunjukkan duit RM150 itu pada saya,” katanya sambil menambah isteri lelaki itu tidak bekerja.


Alhamdulillah urusan pengebumian jenazah bayi ini dipermudahkan.

Dalam pada itu Hery turut menyuarakan pandangannya berhubung sistem pengurusan jenazah di negara ini.

Katanya, sebagai sebuah negara yang institusi agamanya sangat kukuh, urusan ini sepatutnya dibiayai oleh masjid dengan memberikan elaun kepada petugas-petugas yang dilantik.

“Menguruskan jenazah adalah fardu kifayah, bukan bisnes. Setiap masjid saya fikir patut ada dana dan elaun dibayar kepada petugas untuk uruskan jenazah, bukannya waris.

“Kosnya juga tak masuk akal. Boleh caj tapi biarlah berpada-pada… RM300 untuk bayi saya rasa tak logik,” katanya.

Hery berkata, untuk menyempurnakan urusan pengebumian ini, dia hanya mengeluarkan wang sebanyak RM60 untuk upah penggali kubur.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
urus jenazah, bayi, surau, Amal Team, Hery

Artikel Lain