suria

Lelaki sakit mental terharu gadis belajar overseas sudi kahwin dengannya, “Dengan dia, saya cuba tahan...”

Faris dan Jehaada berkahwin pada Mei tahun lalu.

SIAPA kata individu yang mengalami masalah mental tidak boleh menjalani kehidupan normal seperti insan lain?

Begitulah perkongsian Muhammad Faris Nazrin Khairun Nazir, 26, menerusi laman Twitter sewaktu mengimbas foto perkahwinannya yang berlangsung pada 5 Mei 2018.

Mesra disapa Faris, pemuda yang mempunyai masalah mental ini berkata perkenalan sekitar tahun 2017 dengan Nur Jehaada Ibrahim, 24, bermula di laman Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN: Jejaka dedah pernah 'check in' Hospital Bahagia selepas kusut dengan 'awek', tiga kali putus cinta

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau aku mati dia orang buat party kot” - Faiz Roslan kelar tangan akibat depresi?

"Saya selalu berkongsi kisah saya di Facebook. Dia ada tegur, komen-komen. Dia pun pernah alami kemurungan, jadi dia boleh relate dengan apa yang saya kongsikan.

"Masa tu dia masih belajar di Jordan. Lepas dia balik, kami berkenalan dengan bantuan orang tengah dan berkahwin tak sampai setahun selepas itu.

"Dia banyak membantu, dari segi nak ubah karakter saya, untuk lawan penyakit. Dulu apa-apa benda saya akan mengamuk, tapi dengan dia saya cuba tahan.

"Kalau saya diam, dia tahulah saya sedang tahan marah, saya cuba untuk kawal," ujarnya sewaktu dihubungi mStar pada Rabu.

Boleh jadi keliru dengan emosi sendiri. Takut untuk keluar berjumpa orang. Kadang-kadang saya rasa resah bila nak solat berjemaah di surau sebab tak nak jemaah surau tegur atau tenung saya.

MUHAMMAD FARIS NAZRIN KHAIRUN NAZIR

Menurut anak kelahiran Rawang, Selangor itu, dia terpikat dengan Nur Jehaada kerana keberaniannya berkongsi masalah sama yang dihadapi menerusi media sosial.

Ujarnya, tidak semua orang mampu membuka cerita, barangkali bimbang dengan stigma masyarakat ataupun digelar orang gila.

"Alhamdulillah, keluarga dia juga terima saya dan menerima perkahwinan ini.

"Masyarakat Malaysia sekarang pun makin menerima, dah ramai juga yang berani tampil untuk terima rawatan dan sebagainya," ujar Faris.

Bercerita mengenai dirinya, Faris kini masih lagi mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh manakala isterinya pula sudah pulih sepenuhnya dari masalah depresi.

Dedah Faris, dia merupakan penghidap Schizoaffective Disorder yang membuatkan dia sukar untuk membezakan antara realiti dan delusi.

Malah, ia boleh menyebabkan dia berhalusinasi seperti melihat sesuatu benda mahupun mendengar bisikan-bisikan yang tidak boleh dilihat dan didengari oleh orang lain.

Faris (tengah) bersama rakan baiknya, Shahrul Naim (kiri) dan Wan Abdul Hakim (kanan).

"Boleh jadi keliru dengan emosi sendiri. Takut untuk keluar berjumpa orang. Kadang-kadang saya rasa resah bila nak solat berjemaah di surau sebab tak nak jemaah surau tegur atau tenung saya.

"Cepat sensitif. Orang buat lawak tapi saya rasa benda tu serius, itu untuk simptom-simptom psikosis lah. Kalau untuk mood disorder pula, saya ada Depression dan Mania.

"Depression macam kita dah tahu, rasa sedih, kosong, penat, tak bermaya, tak berguna, cepat marah dan sebagainya dalam masa tiga hingga empat minggu.

"Kalau Mania pula terbalik. Saya rasa lebih bertenaga. Banyak idea, bercakap laju, sangat aktif, tak tahu malu seperti menyanyi dan menari di khalayak ramai dan tak boleh tidur walaupun mengantuk," jelas Faris secara terperinci.

Kata Faris, dia kini berehat seketika dan tidak bekerja manakala isterinya sedang mengikuti pengajian di sebuah universiti tempatan.

Posting Faris di Twitter.

Selain isterinya, Faris turut menzahirkan rasa syukur atas kehadiran dua sahabat baiknya iaitu Shahrul Naim, 28, dan Wan Abdul Hakim, 26,yang banyak membantu dirinya.

"Dua kawan rapat saya ni, kalau saya depresi, mereka akan luangkan masa dan bagi kata-kata nasihat. Kadang-kadang rasa nak bunuh diri, bila fikir orang tersayang, tak jadi nak buat.

"Perasaan nak bunuh diri ni datang tanpa sebab. Kadang-kadang rasa penat nak hidup. Tengah memandu rasa nak pecut, bila rasa macam tu cepat-cepat saya hubungi kawan baik saya," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, rata-rata pelayar Twitter turut berkongsi kisah mereka dan menyampaikan kiriman doa buat Faris dan pasangannya.

"Tahniah bro. Semoga sentiasa bahagia dan sihat bersama isteri tercinta. Aamiin," tulis @QifMuhammad.

"Saya ucapkan yang terbaik untuk kamu. Saya sudah putus asa dengan hidup tapi selepas melihat posting ini ia beri saya sedikit harapan. Harap saya akan jumpa orang yang akan terima saya seadanya," tulis @nur_shafika pula.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain