suria

Sah! Bukan ‘prank’, bekas pekerja Rayani Air dapat ‘duit raya’

Rayani Air menghentikan operasinya pada 2016.

SEKUMPULAN bekas pekerja Rayani Air yang menggelarkan syarikat penerbangan itu berstatus patuh syariah pertama Malaysia baru-baru ini menerima kejutan ‘duit raya’.

Duit raya itu sebenarnya merupakan bayaran gaji mereka yang tertunggak susulan syarikat penerbangan itu menghentikan operasinya tiga tahun lalu.

Pengumuman mengenai bayaran gaji tertunggak itu dibuat oleh pemilik Rayani Air, Ravi Alagendrran di halaman Facebooknya.

“Kepada semua bekas kakitangan Rayani Air yang telah mengemukakan permohonan bayaran gaji tertunggak, saya dengan rasa rendah diri memaklumkan bahawa bayaran tersebut telah dikreditkan ke akaun bank tuan/puan.

“Dengan ini, berdasarkan rekod kesemua gaji tertunggak bekas kakitangan Rayani Air telah diselesaikan. Di sini, kami sertakan senarai (nama) staf.
Di kesempatan ini, saya mengucapkan Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin,” ujar Ravi dalam satu kenyataan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Ini bukan 'prank' atau 'duit raya' yang sengaja diada-adakan” - Rayani Air kembali buat kejutan menjelang Ramadan

ARTIKEL BERKAITAN: Dua tahun menyepi, tiba-tiba Rayani Air buat kejutan ‘raya’

ARTIKEL BERKAITAN: Rayani Air Gantung Operasi Serta-Merta

Bercakap kepada mStar, Ravi berkata, bayaran dibuat sehari sebelum Hari Raya pertama iaitu pada Selasa, 4 Jun lalu.

“Saya telah membayar gaji tertunggak kepada baki 96 kakitangan. Ada yang sudah bayar sebelum ni lebih awal kerana mereka mahu ‘urgent’ jadi saya bantu,” katanya.

Ravi Alagendrran.

Mengenai baki tunggakan bayaran balik kepada pelanggan yang terjejas akibat pemberhentian operasi Rayani Air, Ravi berkata, ia merupakan langkah seterusnya.

“Bayaran balik (untuk baki pelanggan) akan bermula pada Ogos depan. Saya akan buat pengumumannya nanti,” jelas Ravi.

Sementara itu, salah seorang bekas juruterbang Rayani Air yang enggan dikenali mengesahkan bayaran tunggakan gaji itu.

“Ya, dah masuk (dalam akaun bank) petang Selasa,” katanya secara ringkas kepada mStar.

Bayaran balik (untuk baki pelanggan) akan bermula pada Ogos depan. Saya akan buat pengumumannya nanti

RAVI

Terdahulu, kurang dua minggu sebelum umat Islam menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan, bekas kakitangan Rayani Air dikejutkan dengan berita daripada syarikat penerbangan itu mengenai bayaran gaji akan dilakukan sebelum 1 Syawal.

Ravi memberitahu mStar bahawa bayaran tersebut adalah susulan kepada bayaran tunggakan gaji yang dibuat kepada lebih 200 kakitangannya pada 2018.

Pengumuman Ravi mengenai bayaran gaji tertunggak kepada bekas pekerja Rayani Air.

Bayaran kali ini membabitkan kakitangan kumpulan pengurusan, juruterbang, pembantu juruterbang serta pekerja pengendalian darat dan kakitangan sokongan.

Ravi menegaskan pengumuman mengenai bayaran tunggakan gaji itu adalah serius dan bukannya gurauan menjelang Ramadan dan Syawal.

“Macam tahun lepas saya betul-betul dah bayar tunggakan gaji kepada sebahagian kakitangan. Ini bukan ‘prank’... ini adalah tunggakan gaji yang patut dibayar kepada mereka,” katanya yang memerlukan masa untuk mengumpul dana bagi membuat bayaran tersebut secara berperingkat.

Rayani Air memulakan operasi pada Disember 2015, namun Ravi membuat pengumuman mengejut pada 9 April 2016 dengan menggantung operasi Rayani Air berkuat kuasa serta-merta, antara faktor disebabkan oleh tindakan mogok sekumpulan juruterbangnya.

Pada Jun 2016, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) ketika itu (kini dinaik taraf sebagai Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia atau CAAM) membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) dan Sijil Operator Udara (AOC) Rayani Air selepas siasatan menyeluruh terhadap pentadbiran dan audit syarikat, selain didapati melanggar syarat ASL serta mempunyai kedudukan kewangan lemah.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Rayani Air, Ravi Alagendrran, gaji

Artikel Lain