suria

Dua tahun menyepi, tiba-tiba Rayani Air buat kejutan ‘raya’

PETALING JAYA: Ratusan bekas kakitangan Rayani Air dikejutkan dengan 'duit raya' yang diterima daripada syarikat penerbangan itu selepas ia 'berkubur' sejak dua tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Rayani Air Gantung Operasi Serta-Merta

ARTIKEL BERKAITAN: DCA Batalkan Sijil Pengendali Udara Rayani Air

ARTIKEL BERKAITAN: Pekerja Rayani Air Terus Desak Pemilik Lunas Tunggakan Gaji Sebelum Aidilfitri

Bayaran itu merupakan tunggakan gaji mereka susulan Rayani Air terpaksa menghentikan operasinya pada 2016.

Bercakap kepada mStar Online, Ravi Alagendrran yang merupakan pemilik Rayani Air sebelum lesen penerbangannya dibatalkan berkata, pihak pengurusan telah membayar tunggakan gaji kepada kira-kira 303 bekas kakitangan.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Rayani Air Sdn Bhd memberitahu, jumlah peruntukan membabitkan kira-kira RM1 juta mula disalurkan ke akaun bank masing-masing beberapa hari sebelum 1 Syawal pada Jumaat.

"Kebanyakan kakitangan yang menerima tunggakan gaji ini adalah kru kabin.

"Kita bayar sebulan gaji penuh Mac 2016 dan sehingga 10 April 2016 kerana Rayani Air menghentikan operasi pada 8 April 2016," katanya kepada portal berita ini.

Ravi Alagendrran.

Ravi berkata, kebanyakan kakitangan yang menerima bayaran tunggakan merupakan pemegang akaun Public Bank yang aktif. 

"Tapi ada juga pihak kita mengkreditkan kepada pemegang akaun bank lain sebelum raya bagi mereka yang berhubung menerusi emel.

"Saya ada buat pengumuman untuk bayaran tunggakan gaji di Facebook, April lalu, meminta butiran mereka seperti kad pengenalan, nombor pekerja dan salinan surat tawaran kerja. Tapi ada yang tak emel sebab tak percaya," katanya.

Memo mengenai bayaran tunggakan gaji telah dibuat serta senarai penuh penerimanya diumumkan di halaman Facebook milik Ravi dan Rayani Air, masing-masing pada 14 dan 15 Jun lalu.

Sementara itu, salah seorang bekas kru kabin Rayani Air,  Farah Nadiah Mohd Yunos, 30, mengesahkan telah menerima sejumlah bayaran tunggakan gaji sebelum hari raya.

"Memang syukur dan terkejut dapat, sebab (selama ini) tawakal saja. Kami tunggu dah lama sangat.

"Bila dapat, rezeki raya. Saya dapat bayaran tunggakan gaji sebulan pada 13 Jun lalu. Cuma berharap Ravi dapat bayar gaji dan elaun lain yang tertunggak," katanya.

Seorang juruterbang yang enggan dikenali pula memberitahu masih belum menerima tunggakan gaji daripada Rayani Air.

"Ravi masih belum bayar tunggakan gaji pokok Mac dan April 2016, tidak termasuk elaun.

"Saya minta dia segera bayar untuk mereka yang masih belum dapat," katanya.

Pengumuman mengenai bayaran tunggakan gaji.

Menjawab persoalan itu, Ravi berkata, baki kira-kira 123 kakitangan termasuk juruterbang masih belum dibayar tunggakan gaji dan proses tersebut akan dilakukan secara berperingkat.

"Untuk bayaran tunggakan gaji bagi jawatan eksekutif lebih tinggi, juruterbang dan beberapa jawatan lain, kita jangka buat bayaran pada Ogos.

"Ya, kru kabin dapat gaji pokok saja. Mereka emel elaun penerbangan mereka, kita akan melihatnya dan membayar secepat mungkin," katanya.

Tambah Ravi, penumpang yang masih belum mendapat bayaran balik juga akan dilakukan secara berperingkat dalam waktu terdekat.

"Saya minta maaf kepada semua pekerja dan penumpang yang masih belum menerima bayaran. Harap dapat bersabar.

"Tapi berikan masa, kita akan usahakan sedaya yang boleh demi Rayani Air," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Mavcom Nasihat Pelanggan Rayani Air Tuntut Bayaran Tiket Dari Bank

Rayani Air yang menggelarkannya sebagai syarikat penerbangan patuh syariah pertama Malaysia memulakan operasi pada Disember 2015.

Pada 9 April 2016, Ravi membuat pengumuman menggantung operasi Rayani Air berkuat kuasa serta-merta, antara faktor disebabkan oleh tindakan mogok sekumpulan juruterbangnya.

Pada Jun 2016, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) dan Sijil Operator Udara (AOC) Rayani Air selepas siasatan menyeluruh terhadap pentadbiran dan audit syarikat, selain didapati melanggar syarat ASL serta mempunyai kedudukan kewangan lemah.

Ravi Alagendrran, Rayani Air

Artikel Lain