suria

"Pulanglah walau hanya untuk ziarah pusara mama" - Tak dapat jumpa masa ibu nazak, kakak tetap rayu adik kembali

Aisyah berjumpa ibunya buat kali terakhir kira-kira sembilan tahun lalu sebelum ibunya menghembuskan nafas terakhir Isnin lalu.

HAJAT seorang ibu untuk bertemu anak perempuannya buat kali terakhir tidak kesampaian selepas Sharifah Fara Wahida Tuan Muda, 51, yang menghidap kanser payudara menghembuskan nafas terakhir minggu lalu.

Menurut anak perempuannya, Nur Farahhanis Rahmat Noor, 22, ibunya itu sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk berjumpa adik perempuannya, Nur Farah Firras Aisyah Rahmat Noor, 19, selepas sembilan tahun terpisah daripada keluarga kandung.

"Kami adik-beradik sembilan orang. Hanya saya dan Aisyah yang diserahkan kepada keluarga angkat kerana keadaan ekonomi keluarga yang tidak berapa senang ketika itu.

"Dari kecil kami dibesarkan keluarga angkat. Saya tinggal di Senawang dan adik saya bersama keluarga angkatnya di Singapura. Saya akan pulang berjumpa keluarga kandung ketika cuti panjang atau Hari Raya sahaja.

"Sehinggalah mama nazak, dia ada beritahu untuk berjumpa adik perempuan saya. Demi menunaikan hajatnya itu, saya berusaha mencari Aisyah dengan bantuan orang ramai di media sosial namun tidak berjaya," katanya ketika dihubungi mStar Online.


Antara gambar kenangan bersama ibu, ayah dan adik-beradik kandung yang disimpan Farahhanis.

Menurut anak keenam daripada sembilan beradik ini, keluarganya terputus hubungan dengan adik perempuannya itu kira-kira sembilan tahun lalu dan kini dipercayai berada di Singapura bersama keluarga angkat di sana.

"Sebelum ini memang keluarga angkat Aisyah akan bawa dia berjumpa papa dan mama.

"Sehingga satu hari kami terputus hubungan dan tiada khabar berita darinya. Kali terakhir mereka berjumpa adalah sembilan tahun lalu," katanya.

Bercerita lanjut, Farahhanis berkata, dua minggu sebelum ibunya meninggal dunia, dia dimaklumkan oleh kakaknya mengenai hajat ibunya untuk berjumpa Aisyah.

"Agak lewat untuk saya meminta bantuan ramai untuk mencari adik saya itu.

"Saya hanya dimaklumkan oleh kakak ketika mama sudah kritikal.

"Mama nak sangat jumpa dia, kalau boleh saya mohon adik untuk pulang walaupun hanya untuk menziarahi pusara mama," katanya sebak.

Farahhanis memuat naik status memohon bantuan orang ramai untuk mencari Aisyah.

Farahhanis membuat perkongsian menerusi bebenang di Twitter meminta bantuan orang ramai pada Ahad dan kisah ini menjadi tular sehingga menerima lebih 5,000 ulang kicau dan lebih 1,000 tanda suka.

Bagaimanapun kira-kira pukul 10.20 pagi, Isnin Farahhanis memuat naik status memaklumkan ibunya sudah meninggal dunia akibat lemah jantung dan jangkitan kuman pada kaki.

Farahhanis meminta Aisyah untuk pulang menziarahi pusara ibunya.

"Ibu pergi secara tiba-tiba. Sepatutnya cuti Tahun Baharu Cina ini kami bercadang untuk balik kampung dan habiskan masa bersama-sama, kerana saya tidak pernah berkesempatan untuk tidur pun dengan mama.

"Kononnya Selasa ini first time la saya nak tidur dengan dia... Nampaknya hajat itu pun tidak kesampaian.

"Kalau boleh saya mohon adik saya untuk pulang melawat ayah dan adik-beradik lain di sini," katanya. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Farahhanis, keluarga angkat

Artikel Lain