suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Empat pegawai Bukit Aman ke Jakarta, diberi 2 hari soal siasat juruterbang Malaysia ditahan kes dadah

Juruterbang itu akan disoal siasat oleh pegawai Bukit Aman selama dua hari.

EMPAT pegawai polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman tiba di Jakarta, Indonesia, untuk berjumpa dan menyoal siasat seorang juruterbang tempatan yang ditahan di negara itu berhubung kes dadah pada 29 Julai lalu.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, temu bual itu bertujuan mendapatkan maklumat lanjut serta membandingkan kenyataan yang diperoleh penyiasat Malaysia dengan maklumat daripada individu berkenaan, khususnya berkaitan rangkaian sindiket antarabangsa.

Menurut Hussein, kerjasama turut dijalinkan dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mengenal pasti hubungan individu terbabit dengan rangkaian sindiket antarabangsa.

"Kami telah diberikan akses untuk bertemu rakyat Malaysia itu pada 12 dan 13 Ogos selama dua hari bagi menemu bualnya untuk mendapatkan maklumat lanjut serta membandingkan apa yang telah kami peroleh di sini berkaitan sindiket dan perkara lain.

"Kami mahu mengesahkan beberapa perkara lain berkaitan kes ini supaya dapat memperoleh maklumat lebih terperinci dan tepat daripadanya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam pada Selasa.

Hussein berkata, usaha mengesan anggota sindiket terbabit bukan mudah kerana mereka kini menggunakan identiti palsu untuk mendaftarkan nombor telefon.

ARTIKEL BERKAITAN: Juruterbang Malaysia ditahan di Jakarta, cubaan seludup 25kg dadah gagal

ARTIKEL BERKAITAN: Sebelum ‘fly’ ke Indonesia, juruterbang Malaysia ambil puluhan ribu bekalan dadah di Ampang

"Ia bukan semudah kita mendapatkan nombor telefon, mengesan pemiliknya dan terus menangkap mereka.

"Mereka menggunakan nombor kad pengenalan palsu untuk mendaftarkan nombor telefon. Apabila identiti digunakan palsu atau tidak tepat, ia menyukarkan usaha untuk mengesan individu berkenaan," katanya.

Hussein berkata, polis akan terus menjejaki sindiket terbabit di Malaysia termasuk mengenal pasti sumber bekalan dadah, selain bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mengesan rangkaian antarabangsa yang mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Sebelum ini, suspek ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas disyaki cuba menyeludup 70,114 pil ekstasi seberat kira-kira 25.1 kilogram melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Tangerang.

Suspek ditahan selepas pegawai kastam mengesan sebuah bagasi yang mencurigakan ketika pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas sinar-X di Balai Ketibaan Antarabangsa Terminal 3.

Hasil pemeriksaan mendapati bagasi itu mengandungi 14 bungkusan besar serta satu lagi bungkusan yang dipercayai berisi dadah jenis methamphetamine. - The Star

Artikel Lain