suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Pembangkang beredar keluar Dewan Rakyat, enggan sertai Sidang Khas RCI Tabung Haji selepas usul tangguh ditolak

Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan selepas usul menangguhkan sidang khas RCI Tabung Haji, ditolak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

AHLI Parlimen pembangkang bertindak keluar dari Dewan Rakyat selepas usul menangguhkan Sidang Khas Dewan Rakyat bagi membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) ditolak Speaker, Tan Sri Johari Abdul.

Sebelum sesi penerangan menteri bermula, Ketua Whip Pembangkang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu bangun membangkitkan peraturan mesyuarat 13 meminta supaya sidang khas berkenaan RCI TH pagi ini ditangguhkan.

Menurutnya, ia susulan ketidakhadiran Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar tidak dapat menghadiri sidang khas pada pagi ini kerana masih menjalani proses pemulihan selepas menjalani prosedur pembedahan pada Isnin. 

ARTIKEL BERKAITAN: PM mohon maaf tak dapat sertai Sidang Khas RCI Tabung Haji, ikuti perbahasan secara dekat

Namun Johari menegaskan, ia tetap diteruskan seperti dijadualkan dengan sesi penerangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

"Kita mempunyai Timbalan Perdana Menteri. Timbalan Perdana Menteri mewakili Kabinet dan begitu juga dengan menteri-menteri lain," jelas Johari.

Takiyuddin kemudian memaklumkan, pihak pembangkang tidak akan mengikuti perbahasan tersebut.

Johari seterusnya memutuskan bahawa wakli rakyat yang berhasrat untuk tidak mengikuti perbahasan boleh meninggalkan dewan.

Susulan itu, wakil rakyat pembangkang daripada Perikatan Nasional (PN) bangun dan beredar daripada dewan.

Sementara itu, Anwar menerusi akaun rasmi laman sosial X, mempersoalkan tindakan wakil rakyat pembangkang yang enggan mengikuti perbahasan sidang khas berkenaan.

"Nak bahas tentang saya, atau nak bahas tentang Tabung Haji? Nak ambil tahu tentang saya, atau nak ambil tahu tentang pengkhianatan terhadap Tabung Haji? 

"Orang Melayu Islam telah dikhianati, tapi masih ada yang mahu main drama politik? Apatah lagi datang dari pihak yang melaung-laungkan tentang Melayu Islam," tulisnya.

Tambah Anwar, tindakan sedemikian menimbulkan persoalan sama ada pihak pembangkang benar-benar mengutamakan kepentingan pendeposit Tabung Haji, khususnya golongan yang bergantung kepada institusi itu untuk menunaikan ibadah haji.

"Apakah PN yang ditunjangi PAS tidak pentingkan kepentingan orang susah, nelayan, petani, guru, polis, tentera, pesara yang mengerah keringat untuk menyimpan wang dalam Tabung Haji untuk menunaikan Rukun Islam kelima?" tulisnya lagi.

Artikel Lain