SEORANG lelaki warga Malaysia berusia 54 tahun dari Perak ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai, India, selepas 4 kilogram (kg) ganja hidroponik dikesan disorokkan di dalam bagasinya.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki berkenaan menaiki penerbangan Thai Airways dari Bangkok ke Chennai pada Sabtu. "Pemeriksaan yang dijalankan Kastam Chennai terhadap bagasi lelaki itu mengesan ganja hidroponik seberat 4kg yang disorokkan di dalam begnya,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.Hussein berkata, lelaki berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah lampau dengan polis Malaysia dan kini ditahan Kastam Chennai.Jelasnya, lelaki itu akan disiasat mengikut Akta Dadah Narkotik dan Bahan Psikotropik (NDPS) 1985 India sementara menunggu perbicaraan."JSJN akan terus berhubung dengan Biro Kawalan Narkotik India (NCB) bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kes berkenaan serta menyiasat rangkaian sindiket yang terbabit," katanya.Pada Isnin, pemeriksaan imbasan sinar-X terhadap bagasi lelaki itu mengesan imej mencurigakan sebelum membawa kepada penemuan empat bungkusan mengandungi bahan berwarna kehijauan dan berketul serta mengeluarkan bau kuat.Bungkusan berkenaan disorokkan di dalam ruang khas yang dibuat pada bahagian bawah bagasi daftar masuk, manakala ujian pengesanan dadah mengesahkan bahan itu sebagai ganja dengan berat bersih 4.033kg. - The Star.