SUSPEK yang ditembak mati susulan kes tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam dipercayai terlibat dalam siri jenayah yang menyerupai permainan video "Grand Theft Auto (GTA)".
Suspek yang dikenali sebagai "Ah Boy" akan menyamun mangsa dengan menggunakan pistol sebelum melarikan kenderaan mereka untuk melakukan jenayah lain dalam satu corak jenayah berterusan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek bertanggungjawab ke atas sekurang-kurangnya 15 kes rompakan sejak pertengahan tahun lalu.
"Dia melakukan jenayah pertamanya pada 2014. Kadang-kala dia beroperasi dalam kumpulan, tetapi sejak tahun lalu dia bertindak secara bersendirian. Antara jenayahnya termasuk rompakan kedai emas di Kajang dan Klang," katanya dalam sidang media di Jeti Pulau Ketam pada Selasa.
Selepas kejadian tembakan di pusat beli-belah di Setia Alam, suspek melarikan diri ke Melaka dengan memaksa seorang pemandu e-hailing membawanya ke sana.
ARTIKEL BERKAITAN: Suspek kes tembak di mall Setia Alam maut berbalas tembakan dengan polis di hotel
"Dia berada di sana selama lima hari sebelum pergi ke Banting, Selangor. Dua hari lalu, dia memecah masuk sebuah rumah di Sabak Bernam dan mencuri sebuah motosikal.
"Kami percaya dia juga memaksa pemandu lori dan e-hailing untuk membawanya ke beberapa lokasi, termasuk Klang sebelum menuju ke Pulau Ketam," katanya.
Menurutnya, suspek mendaftar masuk ke sebuah hotel di Pulau Ketam pada malam Isnin.
"Ketika serbuan dilakukan di bilik hotel itu pada pukul 3 pagi, suspek melepaskan beberapa das tembakan, menyebabkan polis terpaksa membalas tembakan. Dia maut dalam insiden berbalas tembakan itu," katanya.
Hussein tidak menolak kemungkinan suspek merancang untuk melarikan diri ke luar negara.
"Kami juga tidak menolak kemungkinan dia merancang untuk merompak kedai emas atau premis lain sebelum kejadian tembakan di pusat beli-belah di Setia Alam, berdasarkan rekod jenayah lampau.
"Dia tiada kaitan dengan pekerja pembersihan yang ditembak. Kami percaya mangsa berada di lokasi kejadian pada waktu yang salah," tambahnya.
Dengan kematian suspek, dia berkata orang ramai tidak perlu lagi bimbang tentang ancamannya.
"Kami masih menyiasat dari mana dia mendapatkan pistol tersebut," katanya lagi.