MENGGALAS tanggungjawab sebagai Pengerusi Asean pada tahun ini merupakan peluang penting bagi Malaysia dalam memperkukuh ekonomi domestik, meningkatkan kedudukan di peringkat global serta mengukuhkan perpaduan serantau.
Ketika berdepan dengan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi yang membentuk landskap global, peranan kepimpinan Malaysia yang berlandaskan 'Visi Komuniti Asean 2045’ menawarkan platform untuk mempamerkan kestabilan negara, menarik pelaburan, dan mengukuhkan kedudukannya sebagai hab serantau.
Bagaimanapun, kepimpinan ini hadir bersama cabaran kerana Malaysia perlu mengimbangi dengan teliti antara keutamaan dalaman dengan tekanan luar.
Kejayaan dalam menguruskan keseimbangan antara dua aspek ini bakal memberi manfaat ekonomi dan geopolitik yang besar untuk negara.
Bendahari Agung Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Datuk Koong Lin Loong berkata, peranan Malaysia sebagai Pengerusi Asean akan merangsang aktiviti ekonomi yang signifikan dalam negara.
"Menjadi tuan rumah bagi pelbagai simposium, forum dan acara kebudayaan akan meningkatkan penyertaan tempatan dan antarabangsa, sekali gus meningkatkan sektor-sektor seperti hospitaliti, runcit, dan infrastruktur.
"Kemasukan pelawat dan pelabur asing akan merangsang pertumbuhan domestik dan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
"Acara-acara ini juga menyediakan platform yang tidak ternilai untuk menangani bidang-bidang kritikal seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D), yang mana Malaysia masih mempunyai ruang untuk penambahbaikan.
"Dengan mengutamakan perbincangan mengenai inovasi dan teknologi, peluang menggalas jawatan pengerusi (Asean) boleh menjadi pemangkin kepada kemajuan dalam sektor-sektor utama seperti elektrik dan elektronik (E&E), yang mana kedudukan Malaysia sudah kukuh di peringkat serantau," kata Koong.
Datuk Koong Lin Loong berkata, peranan Malaysia sebagai Pengerusi Asean akan merangsang aktiviti ekonomi yang signifikan dalam negara.
Selaku pengerusi Asean, ia juga memberi peluang kepada Malaysia untuk menangani cabaran ekonomi, seperti ketidaktentuan mata wang dan kenaikan kos bahan mentah import.
Tambah Koong, mengukuhkan dasar yang menyokong automasi dan inovasi teknologi dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang membentuk 97.4 peratus daripada perniagaan juga akan menjadi kritikal.
"Bagaimanapun, kerajaan perlu memastikan agensi dan jabatan mereka tangkas dan bersedia untuk menarik serta memudahkan pelaburan asing, dengan memudahkan proses birokrasi bagi mewujudkan persekitaran yang lebih mesra pelabur," ujarnya lagi.
Sebagai salah satu pengeksport terbesar di Asean, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan jawatan sebagai pengerusi dalam menavigasi landskap perdagangan yang kompleks.
Ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, serta dasar tarif yang berpanjangan, termasuk yang diperkenalkan semasa pentadbiran Donald Trump, secara tidak langsung membentuk dinamik perdagangan global.
Dalam situasi ini, katanya, Malaysia boleh memanfaatkan kepimpinannya untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dua hala dan pelbagai hala, sekali gus memastikan ekonomi domestiknya kekal berdaya saing.
Pelancaran logo dan tema Kepengerusian Asean-Malaysia 2025 di Wisma Putra pada Oktober 2024.
Selain itu, Koong menegaskan bahawa reputasi Malaysia sebagai negara yang sederhana dan neutral menjadikannya destinasi menarik bagi perniagaan yang mencari kestabilan di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik.
"Infrastruktur yang maju, termasuk sistem pengangkutan awam yang kukuh, menambah daya tarikan Malaysia sebagai hab pelaburan serantau.
"Menggalakkan industri berteknologi tinggi untuk berpusat ke Malaysia dan mengukuhkan hubungan dengan ekonomi-ekonomi utama boleh meningkatkan lagi landskap perdagangan dan pelaburan negara," tambahnya.
Selain manfaat domestik, menggalas jawatan pengerusi Asean juga mencetuskan implikasi serantau dan antarabangsa yang signifikan buat Malaysia.
Ini termasuk peluang untuk mempromosikan perpaduan dan kerjasama antara negara-negara anggota serta mewujudkan kebersamaan dalam menangani cabaran ekonomi, sosial, dan geopolitik.
"Jawatan pengerusi ini juga boleh dimanfaatkan sebagai platform untuk menangkis salah faham mengenai Malaysia seperti tanggapan ekstremisme, dengan cara mempamerkan kepelbagaian, keterangkuman, dan inovasi negara kepada dunia," kata Koong.
Sepanjang sejarah keanggotaan dalam blok serantau, ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi Asean selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Penglibatan sejak hampir lima dekad lalu ternyata memberikan pelajaran berharga buat Malaysia mengenai cara untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dinamik serantau dan global.
Fokus tahun ini yang menekankan keterangkuman dan kelestarian, menunjukkan peralihan kepada perancangan jangka panjang lebih strategik dalam mengukuhkan peranan Malaysia sebagai pemimpin yang stabil dan pragmatik di peringkat Asean.
Sejauh mana Malaysia memanfaatkan kedudukannya bergantung kepada kemampuan untuk merealisasikan rancangan, mengukuhkan kerjasama serantau dan menangani realiti ekonomi serta politik ketika ini.