SELEPAS memuat naik kenyataan memohon maaf di media sosial pada minggu lalu, pempengaruh (influencer) wanita yang terlibat dalam pembikinan content di hutan Bandung, Indonesia, akhirnya tampil mendedahkan perkara sebenar yang berlaku di sebalik rancangan 'kehilangannya'.
Menerusi siaran podcast penyanyi rap Caprice pada Ahad malam, pempengaruh dikenali sebagai Eyka mendedahkan dia terpaksa menerima arahan untuk terlibat dalam content YouTuber sensasi, Ammar Nazhan kerana bimbang akan keselamatan dirinya.
"Masa hari kejadian, Eyka dipanggil oleh dua orang iaitu pihak sebelah sana, dia terus brief apa yang nak jadi.
"Dia kata 'Eyka you kena hilang dalam tiga hari tau'. Saya terkejutlah kenapa perlu hilang dalam masa tiga hari. Saya diam kejap sebab dikelilingi lelaki.
Eyka berkongsi cerita di sebalik 'kehilangannya' di hutan di Bandung, Indonesia.
"Nak kata 'nak' pun tidak, nak kata 'tak' pun tidak. Takut diapa-apakan sebab masa itu saya seorang saja perempuan masa briefing tu," ujarnya, namun enggan mendedahkan nama individu yang dimaksudkannya.
Menurut Eyka, sepanjang 'kehilangannya' selama tiga hari, dia sebenarnya pulang ke lokasi penginapan seperti biasa dalam tempoh tersebut.
Malah Eyka mengaku dirinya tidak menyangka insiden tersebut mencetuskan kekecohan di Malaysia dan Indonesia, sehingga akhirnya dia bertindak menghubungi keluarga pada hari kedua 'kehilangannya' untuk memaklumkan perkara sebenar.
ARTIKEL BERKAITAN: Teruk dikecam, dimaki... Eyka akhirnya tampil bersuara - “Jangan ganggu, hina keluarga saya”
ARTIKEL BERKAITAN: Sah! Kehilangan Eyka adalah cerita palsu - Polis Indonesia
"Salah Eyka juga tak inform famili. Ingat macam biasa-biasa je, tak expect viral macam ni. Tapi hari kedua tu saya beritahu keluarga ini hanya content jadi mereka tak risau pun," ujarnya lagi.
Selain Eyka, turut tampil bersamanya dalam podcast tersebut adalah pelakon dan penyanyi, Izzrin Irfan yang juga rakan Ammar.
Hari kedua tu saya beritahu keluarga ini hanya content jadi mereka tak risau pun.
EYKA
Ketika ditanya Caprice mengenai bayaran yang diterima kerana terlibat dalam content tersebut, Izzrin mendedahkan mereka sebenarnya langsung tidak diberi wang.
"Bayaran satu sen pun kami tak pernah dapat. Dia kata bayaran berbentuk makanan, tempat tinggal dan dia tak pernah kacau kerja lain kami.
"Apa yang saya dengar, rancangan ini kosnya dalam RM10,000. Jumlah itu digunakan untuk membayar polis, tentera dan penduduk kampung.
"Bila benda ni jadi terlalu besar, perancang-perancang ni tak nak mengaku ini semua adalah rancangan mereka.
"Jadi mereka bayar kambing hitam yang mereka panggil Mafia Indonesia yang polis di negara itu sendiri tak berani terlibat. Kambing hitam tu dah dibayar tapi dia tak pernah muncul," kata Izzrin.
Polis Indonesia sebelum ini mengakui 'kehilangan' Eyka adalah cerita palsu.
Dalam pada itu, Eyka berkata dia akhirnya mengambil keputusan pulang ke Malaysia kerana enggan lagi terlibat dengan rancangan tersebut.
"Malam yang saya dijumpai tu, siang esoknya tu saya rasa tak boleh dah ni. Masa tu sedar benda ni salah. Kemudian saya book flight balik Malaysia.
"Saya nak minta maaf pada semua orang termasuk keluarga sebab mereka pun kena kecam teruk. Itu kesilapan saya sendiri. Selepas ini saya cuba buat video yang bermanfaat," ujarnya lagi.