suria

Sistem kesihatan lebih inklusif, mampan dan efisien… Dr Dzulkefly pastikan kesejahteraan rakyat terjamin

Dr Dzulkefly (tengah) ketika lawatan ke premis bersih dan bebas asap rokok di Puncak Alam, Selangor pada Oktober 2024. Foto RAJA FAISAL HISHAN

SEPANJANG 2024, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mencapai pelbagai kejayaan yang signifikan melalui pelaksanaan reformasi dalam sektor kesihatan negara.

Reformasi ini melibatkan pelbagai aspek penting, termasuk pengukuhan dasar kesihatan, pembaharuan dalam perkhidmatan kesihatan, serta peningkatan kualiti dan akses kepada penjagaan kesihatan untuk seluruh rakyat Malaysia.

Kejayaan yang dilakar menerusi kepimpinan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ini tidak mungkin tercapai tanpa usaha gigih dan kerjasama padu daripada semua pihak, termasuk kerajaan khususnya KKM, kakitangan kesihatan, sektor swasta, dan masyarakat umum.

Dr Dzulkefly bersama KKM mencapai pelbagai kejayaan yang signifikan melalui pelaksanaan reformasi dalam sektor kesihatan negara.

Dr Dzulkefly bersama KKM mencapai pelbagai kejayaan yang signifikan melalui pelaksanaan reformasi dalam sektor kesihatan negara. Foto CHAN TAK KONG

Dr Dzulkefly bersama KKM mencapai pelbagai kejayaan yang signifikan melalui pelaksanaan reformasi dalam sektor kesihatan negara. Foto CHAN TAK KONG

Melalui komitmen yang kuat dan sokongan padu bersama, Malaysia terus bergerak ke arah sistem kesihatan yang lebih inklusif, mampan, dan efisien, dengan matlamat memastikan kesejahteraan rakyat tercapai dengan sebaik mungkin.

Nak tahu apakah pencapaian KKM sepanjang 2024? mStar gariskan antara pencapaian di bawah pimpinan Dr Dzulkefly.

1. Reformasi perundangan dan dasar

Antara yang telah dilaksanakan termasuk penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852], pindaan Akta Perubatan 1971 [Akta 50] dan pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Selain itu, Dasar Keselamatan Makanan Kebangsaan 2.0 dan Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan (DLKK) diperkenalkan, sementara Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) diperkukuhkan untuk memastikan kesihatan awam yang lebih mampan dan berkesan.

2. Reformasi perkhidmatan sumber manusia

Antara perubahan yang dibawa sepanjang 2024 melibatkan pewujudan jawatan Timbalan Ketua

Pengarah Kesihatan (TKPK) untuk Program Pergigian, Farmasi, serta Keselamatan dan Kualiti Makanan.

Selain itu, sebanyak 3,950 pegawai perubatan, pergigian, dan farmasi yang sebelum ini berjawatan kontrak diserap ke jawatan tetap.

Perjawatan baharu turut diwujudkan untuk petugas kesihatan, sementara pemberian dan peningkatan elaun serta insentif diberikan bagi menghargai usaha dan komitmen mereka dalam memastikan sistem kesihatan negara berfungsi dengan baik.

Seramai 3,950 pegawai perubatan, pergigian, dan farmasi diserap ke jawatan tetap. Foto AZHAR MAHFOF

Seramai 3,950 pegawai perubatan, pergigian, dan farmasi diserap ke jawatan tetap. -Gambar hiasan / Foto AZHAR MAHFOF

3. Kemakmuran kesihatan awam dan komuniti

Pelbagai inisiatif utama diraih sepanjang 12 bulan lalu. Antaranya, pengiktirafan premis makanan yang memenuhi piawaian BeBAS (Bersih, Bebas Asap) dan BeSS (Bersih dan Selamat), serta pelaksanaan Pelan Tindakan Keselamatan Makanan Kebangsaan (PTKMK) untuk memastikan keselamatan dan kualiti makanan.

Kempen Perangi Gula (War on Sugar) dan Pelan Strategik Mengurangkan Gula 2024-2030 bertujuan menurunkan pengambilan gula, manakala Kempen TOBATS (Tolak Ubat Tidak Sah) menggalakkan penolakan terhadap ubat tidak sah.

Inisiatif pemaparan harga ubat memberi ketelusan kepada pengguna, sementara Pelan Strategik Penentu Sosial Kesihatan Orang Asli pula bertujuan meningkatkan kesejahteraan komuniti tersebut.

Selain itu, pengukuhan 1,000 Hari Pertama Kehidupan Kanak-kanak Malaysia dan Pelan Tindakan Perkhidmatan Kesihatan Warga Emas 2023-2030 turut menjadi intipati dalam pencapaian KKM pada 2024.

4. Transformasi perkhidmatan kesihatan

Terdapat beberapa langkah penting yang diperkenal antaranya pelaksanaan HSOP yang membolehkan alih daya rawatan pesakit dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke fasiliti swasta untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan.

Pendigitalan juga diperkukuhkan dengan pengenalan sistem seperti CCMS (Centralized Clinical Management System), International Patient Summary (IPS) untuk jemaah haji melalui MySejahtera serta MyUBAT dan Dental Information System (DIS) untuk pengurusan ubat dan maklumat pergigian.

Selain itu, inisiatif seperti MyGeoCKAPS dan myBRP@CKAPS telah mendigitalkan proses pengurusan permohonan dan akses maklumat untuk fasiliti penjagaan kesihatan swasta.

Pendigitalan proses di klinik kesihatan turut menyaksikan 147,734 konsultasi maya telah dilaksanakan melibatkan 478 klinik dan secara tidak langsung mengurangkan kesesakan.

5. Malaysia di pentas kesihatan global

Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya di pentas kesihatan global pada 2024 melalui penyertaan dalam pelbagai acara dan inisiatif antarabangsa.

Antaranya, Malaysia terlibat dalam MIH Megatrends 2024, International Medical Device Exhibition & Conference (IMDEC) 2024, serta CRM Trial Connect 2024.

Selain itu, Malaysia turut menyertai 10th International Conference on Traditional and Complementary Medicine (INTRACOM), yang memperkukuhkan komitmen negara dalam bidang perubatan tradisional dan komplementari.

Di samping itu, Malaysia telah menjayakan Agenda Kerintangan Anti Mikrob (AMR) di Persidangan Kesihatan Sedunia (WHA) dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), serta memperkenalkan Resolusi Kesihatan Paru-paru di Kongres Kanser Sedunia (WCC) tahun lepas yang kini akan dibawa ke WHA dan UNGA.

Malaysia juga merupakan sebahagian daripada Global Digital Health Partnership (GDHP) dan Global Digital Health Certification Network (GDHCN), yang bertujuan memperkasa sistem kesihatan digital di peringkat global.

Pendapatan daripada pengunjung kesihatan untuk Januari hingga September 2024 mencecah RM1.75 bilion.

Bagi separuh pertama 2024, pengunjung meningkat sebanyak 18 peratus, secara tidak langsung meningkatkan pendapatan sebanyak 22 peratus iaitu RM1.26 bilion berbanding hanya RM1.03 bilion pada 2023.

6. Meneruskan pemantapan infrastruktur kesihatan

Pelbagai inisiatif dijalankan untuk meningkatkan kemudahan dan perkhidmatan kesihatan.

Usaha ini bertujuan untuk memastikan sistem kesihatan negara lebih cekap, berdaya saing, dan mampu memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat.

Pusat Jantung Serdang beroperasi sepenuhnya pada 14 Ogos 2024. Foto Facebook Hospital Sultan Idris Shah, Serdang

Inisiatif ini termasuklah pembinaan dan pengubahsuaian fasiliti kesihatan, peningkatan sistem teknologi maklumat kesihatan, serta pengukuhan jaringan pengedaran perkhidmatan kesihatan di kawasan luar bandar.

Sebanyak tujuh hospital telah dinaik taraf menjadi hospital berkepakaran minor dengan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 29 buah.

Tujuh hospital itu ialah, Hospital Baling di Kedah, Hospital Besut dan Hospital Dungun (Terengganu), Hospital Gua Musang (Kelantan) dan tiga hospital di Sabah iaitu Hospital Beaufort, Hospital Kota Marudu dan Hospital Tuaran.

Selain, Pusat Jantung Serdang beroperasi sepenuhnya pada 14 Ogos 2024 dengan pertambahan satu Makmal Invasif Kardiak yang menjadikannya 23 makmal di seluruh negara.

Dengan pemantapan infrastruktur ini, Malaysia terus komited dalam memastikan akses yang lebih baik dan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang lebih efisien untuk semua lapisan masyarakat.

Kejayaan yang diraih KKM sepanjang 2024 ini merupakan pencapaian penting yang memperkukuhkan sistem kesihatan negara, dengan komitmen 270,000 petugas kesihatan yang berdedikasi.

Di bawah kepimpinan Dr Dzulkefly, tahun pertama beliau sebagai Menteri Kesihatan menyaksikan beberapa perubahan besar, terutamanya dalam sistem dan undang-undang yang menjadi asas kepada reformasi yang lebih luas.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain