suria

Empat maut termasuk kanak-kanak lelaki 3 tahun... Kemalangan babitkan Toyota Vios, lori 5 tan di Kota Tinggi

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kereta Toyota Vios.

EMPAT individu termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta Toyota Vios dengan lori lima tan di Jalan Batu 3, Kota Tinggi, Johor.

Komander Operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Shahrulnizam Johari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.52 tengah hari Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragis! Kereta hilang kawalan, masuk laluan bertentangan... Kemalangan libat 5 mangsa

"Keempat-empat mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan.

"Mangsa dikenali sebagai Aieman Azriq Ahmad, 22; Nurul Fazilah Noor Azmi, 22; Aryan Kasyaf Abdul Razzaq, 3; dan seorang lagi lelaki berusia 20-an.

"Kami percaya Aieman Azriq dan Nurul Fazilah sudah berkahwin dan mempunyai hubungan pertalian dengan kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun itu.

"Manakala seorang lagi mangsa adalah rakan Aieman," katanya.

Tambah beliau, pemandu lori pula mengalami kecederaan ringan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman mengesahkan kejadian berkenaan.

"Kami masih menyiasat hubungan antara mangsa yang terbabit," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain