suria

HASiL: Insentif, pelepasan cukai kepada sektor penting mampu pacu ekonomi negara

Pemacuan ekonomi boleh dicapai dengan pemberian insentif dan pelepasan cukai oleh HASiL.

EKONOMI Malaysia menunjukkan pertumbuhan yang sihat dan mampan sama seperti negara-negara lain di seluruh dunia sebelum 2020.

Namun, pertumbuhan purata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia pada 2009 dan 2010 menurun sebanyak 2.2 peratus.

Bagaimanapun, selepas krisis ekonomi global pada 2010, pertumbuhan KDNK meningkat naik antara 2.7 peratus dan 3.2 peratus.

Profesor di Fakulti Ekonomi dan Mualamat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Datuk Dato’ Dr. Mustafa Mohd Hanefah berkata, meskipun Malaysia mengalami kemorosotan ekonomi pada 1997 dan 1998, ia tidak memberi kesan ketara semasa berlaku krisis ekonomi global tersebut.

Menurutnya, ini kerana permintaan yang tinggi ke atas beberapa sektor sama ada di dalam atau luar negara menyumbang kepada prestasi ekonomi yang baik.

"Antara sektor yang memainkan peranan besar dalam pertumbuhan ekonomi negara selepas krisis ekonomi tersebut ialah perkilangan, perkhidmatan, pelancongan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) atau digital.

"Malaysia banyak bergantung kepada keempat-empat sektor ini selain industri minyak dan gas untuk memacu ekonomi dalam meningkatkan hasil negara melalui kutipan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL)," katanya.

Hasil negara penting bagi membina infrastruktur untuk rakyat Malaysia di bandar dan luar bandar.

Mustafa berkata, Malaysia banyak bergantung kepada keempat-empat sektor ini selain industri minyak dan gas untuk memacu ekonomi dalam meningkatkan hasil negara melalui kutipan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL).

Hasil negara ini penting untuk membina infrastruktur seperti sekolah, jalan raya, jambatan dan menyediakan kemudahan asas untuk semua rakyat Malaysia di bandar dan luar bandar.

Bukan sekadar itu, jelas beliau, kutipan cukai juga menyumbang ke arah kemajuan dan kemakmuran negara.

Prof Datuk Dr Mustafa Mohd Hanefah.

"Ekonomi negara turut bergantung kepada perkembangan ekonomi dunia di mana kitaran ekonomi berlaku setiap tujuh ataupun lapan tahun.

"Malaysia juga tidak terkecuali turut berhadapan dengan kitaran ekonomi akibat pandemik Covid-19 bermula pada 2020.

"KDNK Malaysia menguncup sebanyak 17.2 peratus pada pertengahan kedua 2020 dan negatif 5.6 peratus untuk keseluruhan tahun tersebut di mana hampir semua sektor mengalami kemerosotan akibat pandemik Covid-19," ujar beliau.

Bagaimanapun, masih terdapat sektor yang berjaya meningkatkan eksport ketika pandemik kerana permintaan tinggi di dalam dan luar negara iaitu sektor perkilangan dan perladangan.

Ini terutama industri sarung tangan dan minyak kelapa sawit seperti yang diumumkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Eddin Syazlee Shith.

Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh luar jangkaan sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua 2022.

Selepas lebih dua tahun mengalami kemerosotan ekonomi, Mustafa berkata, Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh luar jangkaan sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua 2022 kerana dipacu oleh permintaan domestik.

"Pertumbuhan ekonomi negara ini semakin pulih dan lebih kukuh berbanding 5.0 peratus yang dicatatkan pada suku pertama 2022, sekali gus menjadikan pertumbuhan pada separuh pertama 2022 sebanyak 6.9 peratus," katanya.

Pemberian insentif

Bagi memacu ekonomi negara, sektor-sektor penting diberi insentif dan pelepasan cukai oleh HASiL untuk menarik lebih banyak pelaburan antarabangsa (FDI) dan pelabur dari dalam negara.

Sehubungan itu, Mustafa berkata, beberapa insentif atau pelepasan disediakan untuk menggalakkan pelabur melabur di Malaysia khususnya dalam sektor-sektor yang dianggap kritikal.

"Secara umumnya, insentif-insentif ini diberi dalam pelbagai bentuk, seperti pengecualian ke atas pendapatan, elaun-elaun tambahan, potongan cukai berganda, potongan khas ke atas perbelanjaan, layanan cukai istimewa untuk sektor-sektor yang digalakkkan, pengecualian duti import dan eksais," jelasnya lagi.

Pelbagai pelepasan dan insentif cukai disediakan oleh kerajaan melalui HASiL untuk sektor-sektor kritikal seperti perkilangan, perkhidmatan, pelancongan dan ICT/digital.

"Malaysia amat bergantung kepada industri perkilangan, perkhidmatan dan eksport komoditi untuk pembangunan ekonomi dan secara tidak langsung meningkatkan hasil negara melalui kutipan cukai oleh HASiL.

"Pelbagai pelepasan dan insentif cukai disediakan oleh kerajaan melalui HASiL untuk sektor-sektor kritikal seperti perkilangan, perkhidmatan, pelancongan dan ICT/digital antaranya seperti Taraf Perintis, Elaun Cukai Pelaburan dan Elaun Pelaburan Semula," katanya lagi.

Insentif, pelepasan khusus mengikut sektor

Secara umumnya, syarikat-syarikat dalam semua sektor layak menerima insentif dan pelepasan daripada HASiL jika kesemua syarat dipenuhi.

Bagaimanapun kata Mustafa, terdapat insentif yang khusus untuk setiap sektor.

Antara insentif khusus diberikan seperti tiada pengenaan cukai pendapatan (0 peratus) selama 15 tahun untuk syarikat yang memindahkan operasi dalam sektor perkilangan ke Malaysia.

Insentif dan pelepasan disediakan oleh HASiL membolehkan industri berkembang pesat.

Bagi sektor perkhidmatan pula, kadar cukai 10 peratus untuk tempoh lima tahun taksiran bagi Pusat Perniagaan Global dan ianya boleh diperbaharui untuk tempoh lima tahun lagi.

Senarai penuh insentif dan pelepasan cukai mengikut sektor boleh dirujuk di www.hasil.gov.my.

Walau bagaimanapun, menurut Mustafa, sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, pembangunan ekonomi negara berhadapan dengan pelbagai cabaran.

"Malaysia banyak bergantung kepada eksport komoditi untuk menjana hasil negara. Bagaimanapun, disebabkan harga komoditi yang tidak menentu di pasaran dunia, maka peralihan ke sektor perindustrian dan perkhidmatan dimulakan pada pertengahan 80-an.

"Dengan adanya insentif dan pelepasan yang disediakan oleh HASiL, industri berkembang pesat. Malaysia berjaya memodenkan negara untuk manfaat semua rakyat menerusi hasil cukai pendapatan yang diperoleh daripada pembangunan ekonomi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain