suria

Bajet 2023 bakal beri galakan kepada pendidikan tertiari

Noraini berkata Bajet 2023 akan membolehkan lebih ramai belia menyambung pengajian di IPT.

PENDIDIKAN terus diberikan keutamaan oleh kerajaan dalam pembentangan Bajet 2023 sebagai satu usaha untuk membentuk masa depan yang cerah kepada generasi belia.

Sektor pendidikan yang terdiri daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerima 19% daripada jumlah peruntukan untuk Bajet 2023.

Daripada RM 70.7 bilion yang diperuntukan kepada sektor pendidikan, RM15.1 bilion akan diberikan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 4.2 peratus daripada jumlah RM14.5 bilion yang diberikan pada tahun ini.

Tengku Zafrul ketika membentangkan Bajet 2023 di Parlimen.

Ketika membentangkan bajet yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Bersama’, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan inisiatif yang memfokuskan kepada pengajian tinggi bagi memastikan sistem pendidikan tertiari negara kekal kompetitif di peringkat global.

“Pencapaian sektor pengajian tinggi setakat ini berterusan memberikan tanggapan yang positif di pentas dunia. Kerajaan akan sentiasa komited untuk memastikan belia negara dapat melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat tertiari,” katanya ketika membentangkan bajet pada 7 Oktober lalu.

Dalam pengumuman Tengku Zafrul, peruntukan sebanyak RM3.8 bilion akan meliputi tajaan dan pinjaman pendidikan, selain itu, RM6.7 bilion diperuntukan untuk sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

ARTIKEL BERKAITAN: Intipati Bajet 2023: Ini ‘goodies’ daripada kerajaan yang rakyat perlu tahu

ARTIKEL BERKAITAN: Bajet 2023: e-Wallet RM200 untuk belia, M40 bakal perolehi RM100

Kenyataan rasmi KPT telah menyebut pembentangan Bajet 2023 sebagai satu bukti kerajaan sentiasa komited dalam memajukan sektor pendidikan tinggi dalam negara.

Beliau seterusnya menyatakan alokasi bajet 2023 yang diperuntukan kepada sektor pendidikan tinggi adalah ‘responsif, bertanggungjawab dan ketara’ kepada pemegang taruh, komuniti dan masyarakat.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyatakan peruntukan yang diberikan di bawah bajet akan digunapakai untuk menjamin masa depan belia negara di Institut pengajian tinggi (IPT).

“Bagi memastikan anak-anak Keluarga Malaysia dapat meneruskan pengajian di IPT, KPT memperuntukan dana yang lebih besar dalam Bajet 2023. Dengan jumlah tersebut, beberapa pengumuman yang menumpukan kepada bantuan kewangan, penyelesaian pinjaman pendidikan dan projek pembangunan seperti penaiktarafan rangkaian digital dan kemudahan di IPT seluruh negara telah dibuat,” katanya kepada pemberita.

Akses kepada semua

Mengambil kira kenaikan kos sara hidup, Bajet 2023 akan memastikan belia terutamanya mereka daripada kumpulan yang kurang berkemampuan mempunyai peluang untuk mengejar impian mereka dengan memastikan pendidikan peringkat tertiari dapat diakses semua.

a5ad8f4a-3a0e-44bc-afb1-e9a06850e2f0

Peminjam PTPTN diingatkan untuk bertanggungjawab dalam membayar semula pinjaman mereka.

Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan menerima potongan 20 peratus sekiranya mereka menyelesaikan pinjaman secara penuh manakala 15 peratus jika sekurang-kurangnya separuh daripada baki pinjaman dibuat dalam sekali bayaran.

Selain itu, potongan 15 peratus jika pembayaran dibuat melalui potongan gaji atau debit terus.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini juga mengumumkan akan ada kenaikan sebanyak 75 peratus sehingga 100 peratus dalam pinjaman pendidikan kepada pelajar daripada kumpulan keluarga M40 dan pengecualian pembayaran pinjaman kepada mereka yang menamatkan pengajian dengan kelas pertama ijazah sarjana muda.

Seterusnya akan ada juga pinjaman untuk pembelian laptop kepada mereka yang merupakan peminjam PTPTN daripada kumpulan pendapatan M40 berserta dengan manfaat lain yang akan membantu membiayai pelajar dalam IPT swasta, kata Tengku Zafrul.

Sehubungan itu golongan pendidik bersetuju bahawa potongan kepada peminjam di bawah bajet akan mengurangkan bebanan kewangan yang dihadapi ibu bapa dan menggalakkan lebih ramai pelajar untuk menyambung pengajian ke peringkat tertiari selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Institusi-institusi Pendidikan Swasta, Dr Teh Choon Jin, berkata inisiatif sedemikian akan membuka jalan kepada pelajar kurang berkemampuan untuk mempunyai akses kepada peluang di pengajian tinggi.

Tengku Zafrul sementara itu menzahirkan harapan agar peminjam PTPTN akan lebih bertanggungjawab dalam membayar semula pinjaman mereka.

“Peminjam PTPTN, anda mempunyai tanggungjawab untuk menyelesaikan hutang anda. Ini dengan jelas dinyatakan ketika anda memohon pinjaman. Ia juga bertepatan dengan seruan agama untuk melunaskan hutang yang diambil.

"Jika anda tidak membayar hutang, anda akan menghalang belia lain daripada mendapat manfaat sama yang anda telah nikmati,” katanya.

Dalam ucapannya, Tengku Zafrul juga menggariskan elaun kos sara hidup untuk Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan PETRONAS perlu dinaikkan. Beliau mengatakan kerajaan harus terus fokus untuk membantu komuniti Bumiputera terutamanya mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah.

Menjamin masa depan semua

Dalam Bajet 2023 juga diumumkan RM10 juta akan dikhaskan untuk menggalakkan universiti awam mengaplikasikan inisiatif kampus hijau.

“Ketika Jelajah Bajet 2023, saya berpeluang membuat lawatan ke sistem solar fotovoltaik yang dipasang oleh Universiti Sains Malaysia (USM) di 90 lokasi untuk membekalkan tenaga hijau kepada kampus mereka,” kata Tengku zafrul dalam ucapannya.

Tambahan daripada itu, lebih dari RM300 juta akan diberikan untuk menaiktaraf dan menyelenggara kemudahan universiti awam.

Bajet itu juga melihat kepada penambahbaikan rangkaian digital IPT. Dengan peruntukan RM35 juta, projek Malaysian Research and Education Network (MYREN) di universiti awam, politeknik dan kolej komuniti akan terus menaiktaraf capaian jalur lebar.

Noraini berkata peruntukan itu akan digunakan untuk menambahbaik inisiatif kampus hijau di universiti awam berserta dengan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

b5ac5635-2a33-43ee-ab03-aad6900032f6

Pelajar TVET juga akan menerima manfaat daripada Bajet 2023.

Dia juga menyarankan kerajaan untuk menumpukan kepada program TVET.

Menurut Noraini, peruntukan RM6.7 bilion kepada TVET akan membantu mencapai sasaran bagi membolehkan sekurang-kurangnya 55 peratus pelajar lepasan SPM dapat melanjutkan pengajian dalam bidang pilihan mereka.

Kebolehpasaran graduan juga antara yang menjadi sorotan dalam Bajet 2023.

“Walaupun negara mencapai kadar pengambilan kerja penuh, kadar pengangguran untuk mereka yang berumur 25 tahun ke bawah termasuk lepasan sekolah dan graduan IPT masih di tahap 11 peratus pada suku kedua tahun 2022. Isu ini akan terus dibincangkan dari semasa ke semasa,” kata Tengku Zafrul.

Bagi menambahbaik akses kepada pekerjaan, kerajaan akan memberikan insentif pengambilan kerja di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Sosco) kepada majikan yang mengambil masuk belia di antara umur 18 sehingga 30 tahun yang telah menganggur lebih daripada tiga bulan.

Tambahan daripada itu, insentif tersebut akan ditawarkan kepada majikan yang mengambil masuk graduan TVET untuk bekerja bersama mereka.

Peruntukan Digital Innovation Fund (DIGID) bernilai RM30 juta dan Graduate Entrepreneur Programme (PUSh) bernilai RM20 juta juga telah diumumkan.

DIGID menyasarkan untuk merangsang kebolehpasaran 9,000 graduan dalam kerjaya mereka di pasaran modal. Sementara itu, PUSh akan membolehkan 1,000 graduan menceburi bidang keusahawanan.

Inisiatif ini menurut Noraini menunjukkan kerajaan mengambil berat terhadap kebolehpasaran graduan.

Secara menyeluruh, Noraini mengatakan Bajet 2023 mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap sektor pengajian tinggi negara.

“Melalui pembahagian peruntukan yang telah disebut dalam bajet, ia sangat jelas bahawa sektor pendidikan terutamanya sektor pendidikan tinggi kekal sebagai pelaburan terbaik untuk membina masa depan yang lebih cerah kepada pelajar,” katanya menamatkan bicara.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Sebelum

Artikel Lain