suria

Elak Malaysia ketinggalan… Itulah sasaran utama Dasar 4IR Negara

Dasar 4IR Negara memandang serius masalah mempersiapkan tenaga kerja kita untuk masa depan.

S1: Adakah pelaksanaan Revolusi Industri Keempat (4IR) secara besar-besaran memerlukan pelaburan besar untuk infrastruktur sokongan?

J: Sama seperti Revolusi Perindustrian Pertama yang memerlukan perlombongan arang batu untuk menghidupkan enjin wap, dan Revolusi Perindustrian Ketiga yang memerlukan pembuatan cip untuk menghasilkan komputer, Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) pula akan memerlukan infrastruktur sokongan untuk membolehkan teknologi yang baru muncul berkembang maju.

Dasar 4IR Negara menyelaras usaha untuk mempermudah pembangunan infrastruktur digital melalui projek pelaburan strategik. Ia menggariskan tanggungjawab Kerajaan, yang akan memainkan peranan sebagai fasilitator - dan tanggungjawab perniagaan yang akan melabur dalam infrastruktur fizikal dan bukan fizikal yang menjadi asas teknologi 4IR. Kita mengharapkan sektor swasta memainkan peranan yang besar dalam menyokong agenda 4IR.

Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang telah dijenamakan semula sebagai Pelan Jalinan Digital Nasional (JENDELA) adalah contoh perancangan infrastruktur yang akhirnya akan mengurangkan harga perkhidmatan jalur lebar serta menyediakan akses internet kepada semua lapisan masyarakat. Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri semasa pelancaran Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia pada 19 Februari lalu, sejumlah RM15 bilion akan dilaburkan dalam tempoh 10 tahun bagi pelaksanaan infrastruktur 5G di seluruh negara.

S2: Sebilangan besar perusahaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PMKS) mengakui pentingnya mendepani gelombang teknologi baharu ini. Keperluan utama adalah kos implementasi dan kaedah baharu yang diperlukan untuk melaksanakannya. Adakah rancangan dalam inisiatif ini yang akan membimbing mereka dalam melaksanakan transformasi?

J: Banyak PMKS, terutamanya yang menjalankan perniagaan berasaskan kedai fizikal (brick-and-mortar businesses) akan memerlukan sokongan untuk membantu mereka memanfaatkan teknologi bagi membantu perniagaan mereka. Dasar 4IR Negara menggariskan perancangan holistik untuk pelaksanaannya, merangkumi semua aspek pengurusan perniagaan dalam era 4IR.

Dari bantuan kewangan berbentuk insentif dan pembiayaan, hinggalah kepada memudah cara dalam bentuk nasihat perniagaan dan sokongan maklumat - Kerajaan akan membantu PMKS bersedia untuk 4IR. Tujuannya adalah untuk membantu 800, 000 PMKS melaksanakan pendigitalan menjelang tahun 2025.

Sejumlah bantuan kewangan dan bukan kewangan bernilai RM19.29 bilion melalui pelbagai pakej rangsangan seperti PRIHATIN, PENJANA dan PEMERKASA, telah diperuntukkan untuk membantu perniagaan, terutamanya PMKS untuk memacu agenda transformasi pendigitalan. Kita juga telah membangunkan portal bersepadu, MyAssist MSME yang akan memanfaatkan pusat sehenti sedia ada seperti Pusat Komuniti Internet (PIK) dan Pusat Internet Desa (PID) untuk membantu usahawan memperoleh pengetahuan mengenai e-dagang dan pendigitalan platform mereka. Kini, lebih daripada 20, 000 usahawan menggunakan 873 PIK untuk menjalankan perniagaan secara dalam talian. Kita berhasrat untuk menambah jumlah ini melalui platform MyAssist MSME. Pada masa akan datang, Kerajaan akan mengubah PIK dan PID untuk memainkan peranan yang lebih agresif dalam membantu PKS ke arah usaha pendigitalan. Dalam ekonomi 4IR baharu ini, mereka yang tidak menyesuaikan diri akan ketinggalan.

S3: Apakah beberapa cara yang dapat membantu untuk melengkapkan rakyat dengan pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan dengan 4IR. Adakah terdapat rancangan dalam inisiatif ini untuk melakukan latihan kemahiran semula?

J: Walaupun 4IR akan mewujudkan banyak pekerjaan berkemahiran tinggi, dan memberi harapan kepada bakat tempatan untuk mencapai potensi penuh mereka - kita seharusnya tidak memandang enteng cabaran itu. Banyak pekerjaan hari ini akan menjadi ketinggalan zaman pada masa hadapan. Oleh itu, adalah amat relevan untuk kita meningkatkan kemahiran dan mengikuti latihan kemahiran semula sebagai persiapan menghadapi dunia baharu ini. Banyak peluang pekerjaan akan tersedia bagi mereka yang mempunyai kemahiran dan pemikiran yang bertepatan dengan keperluan era 4IR.

Oleh itu, Dasar 4IR Negara memandang serius isu mempersiapkan tenaga kerja kita untuk masa hadapan dengan menggariskan inisiatif untuk meningkatkan kemahiran dan latihan kemahiran semula tenaga kerja sedia ada. Selain tenaga kerja semasa, dasar ini juga mempersiapkan generasi masa hadapan dengan set kemahiran 4IR yang menyasarkan pelajar dari peringkat pendidikan rendah hinggalah ke peringkat tertiari (termasuk TVET) bagi mempersiapkan mereka untuk masa depan 4IR.

S4: Berapakah unjuran masa yang dianggarkan untuk mencapai 4IR?

J: Pelaksanaan dasar ini dibahagikan kepada tiga fasa. Pada fasa pertama, yang akan berlangsung sehingga tahun 2022, fokusnya adalah pada mempertingkat kesedaran dan penerimagunaan 4IR. Antara inisiatif utama dalam fasa ini adalah untuk meningkatkan kemahiran dan latihan kemahiran semula bagi pekerja, mewujudkan mekanisme perlindungan sosial yang formal untuk pekerja gig, dan memberikan latihan berkaitan 4IR kepada pelajar universiti dan pegawai kerajaan.

Fasa kedua, yang akan berlangsung dari 2022-2025, akan memfokuskan kepada memperkenal rangka dasar etika berkaitan pembangunan teknologi dan mempermudah sistem penyampaian perkhidmatan awam yang berteraskan teknologi. Dasar 4IR Negara akan memastikan Kerajaan menjadi lebih terkehadapan dari segi teknologi dan berpandukan data, seterusnya meningkatkan kemampuan negara untuk memenuhi keperluan dan jangkaan rakyat yang semakin meningkat. Dalam hal ini, projek Identiti Digital Nasional akan bertindak sebagai pemangkin.

Fasa ketiga dan terakhir, yang diprogramkan berlangsung dari 2025-2030, akan menyaksikan Kerajaan mewujudkan dasar dan peraturan berkaitan 4IR yang lebih terperinci di samping mengutamakan pembiayaan R&D sektor awam untuk inovasi teknologi.

S5: Keselamatan siber tentunya akan diperkuat apabila akses ke data menjadi lebih luas. Kebiasaannya keselamatan siber akan terhenti di permulaan, yang bermaksud orang yang disasarkan perlu mengetahui cara mengesan pencerobohan dan menghentikannya sebelum terjebak. Adakah terdapat program dalam inisiatif ini yang akan membantu memperkasakan pengguna akhir dari segi pengetahuan?

J: Berdasarkan Global Cyber Security Index 2020, Malaysia kini berada di kedudukan ke-5 dan di kedudukan ke-2 di Asia Pasifik, manakala Singapura dan Korea Selatan terikat di kedudukan pertama di rantau ini. Cabaran yang dihadapi termasuklah kurangnya kesedaran masyarakat terhadap risiko yang wujud daripada teknologi 4IR. Oleh itu, terdapat perancangan dalam Dasar 4IR Negara untuk memperkenal program meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan siber melalui pendidikan, menambah baik perlindungan data peribadi, dan memupuk keselamatan s-commerce (iaitu kegiatan komersial di media sosial). Terdapat juga perancangan untuk memperkenal standard peraturan yang lebih mantap, seperti rangka dasar etika 4IR, bagi melindungi ruang siber untuk rakyat Malaysia.

S6: Boleh huraikan apa yang dianggap sebagai cabaran yang mungkin dihadapi dan bagaimana mungkin ia dapat diselesaikan?

J: Terdapat beberapa cabaran yang dihadapi dalam penerimagunaan teknologi 4IR di Malaysia. Cabaran terbesar adalah keengganan untuk menerima perubahan. Akses kepada pembiayaan, kos penerimagunaan teknologi yang tinggi, dan kekurangan infrastruktur sokongan yang diperlukan juga merupakan cabaran lain yang perlu ditangani. Ini adalah sejajar dengan tujuan penggubalan Dasar 4IR Negara iaitu untuk meningkatkan kesedaran terhadap keperluan menerimaguna teknologi 4IR, menyediakan pembiayaan, dan menggariskan inisiatif untuk mewujudkan infrastruktur 4IR yang diperlukan.

S7: Mungkin ada sebarang maklumat tambahan lain untuk dikongsi?

J: Dasar 4IR Negara adalah sangat penting kerana kita telah pun berada dalam Revolusi Perindustrian Ke-4. Oleh itu, kita tidak boleh ketinggalan. Gagal merancang adalah merancang untuk gagal. Struktur tenaga kerja pada masa ini akan berubah. Kita semua harus bersiap sedia untuk pekerjaan masa hadapan. Dasar ini akan membantu kita melakukan persediaan menghadapi impak 4IR, dan memanfaatkan 4IR. Melalui teknologi baharu ini, Malaysia akan terus menuju ke arah negara berpendapatan tinggi seiring dengan peningkatan tahap produktiviti, inovasi, dan daya saing negara. Melalui dasar ini juga, kita akan dapat memanfaatkan 4IR bukan sahaja untuk mencapai pertumbuhan ekonomi, bahkan menambah baik kualiti hidup setiap rakyat Malaysia.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain