suria

Tak perlu tunggu 3 bulan, bekas pesakit Covid-19 boleh dapat vaksin lebih awal

Bekas pesakit Covid-19 tidak perlu menunggu selama tiga bulan untuk disuntik vaksin. - gambar hiasan

BEKAS pesakit Covid-19 boleh menerima suntikan vaksin tanpa perlu menunggu selama tiga bulan.

Sebaliknya mereka boleh menerima suntikan vaksin lebih awal, kata Jawatankuasa Khas Jaminan Bekalan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV).

JKJAV dalam kenyataan pada Jumaat berkata, keputusan itu dibuat dalam persidangan jawatankuasa berkenaan pada Khamis berdasarkan pendapat pakar yang dibentangkan.

"Walaupun bukti terkini menunjukkan jangkitan semula jadi virus itu menghasilkan perlindungan yang baik terhadap jangkitan semula selama sekurang-kurangnya tiga bulan, namun kemunculan varian baharu virus ini menyebabkan ada keperluan bagi pemberian vaksin yang lebih awal daripada tempoh ditetapkan sebelum ini.

"Sehubungan itu, bekas pesakit Covid-19 yang telah disahkan bebas daripada virus ini, dibenarkan untuk divaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) menurut janji temu yang diberikan, " katanya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Bagaimanapun, JKJAV menjelaskan, bagi pesakit Covid-19 yang mendapat antibodi monoklonal anti-SARS-CoV-2 atau convalescent plasma sebagai sebahagian daripada rawatan Covid-19, mereka hanya dibenarkan mendapat suntikan vaksin sekurang-kurangnya 90 hari selepas tarikh pulih daripada jangkitan virus tersebut.

Tegasnya, ia adalah langkah berjaga-jaga yang diambil kini, sehingga terdapat maklumat tambahan untuk mengelakkan kemungkinan gangguan terapi antibodi dengan tindak balas imun yang disebabkan oleh vaksin.

"JKJAV juga ingin menggesa orang ramai yang masih menunggu keputusan ujian Covid-19 untuk tidak hadir ke PPV walaupun telah mempunyai janji temu atau sebagai pengiring.

"Mereka yang terpaksa membatalkan janji temu ini akan diberikan satu tarikh baharu secara automatik kelak, " katanya. - Sinar Harian

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain