suria

MYNIC-Huawei berkolaborasi bantu murid kurang berkemampuan, 200 tablet disumbangkan

Dua dari kiri En. Michael, Datuk Ts. Hasnul dan Dato’ Saifuddin bergambar bersama penerima tablet Ketika Majlis Penyerahan Sumbangan Tablet di Indera Mahkota Pahang.

PANDEMIK Covid-19 yang menular sejak lebih setahun yang lalu menyebabkan masyarakat global terpaksa mengubah gaya kehidupan biasa kepada norma baharu.

Ia mencakupi pelbagai aspek seperti ekonomi, kehidupan bersosial dan tidak terkecuali sistem pendidikan yang terkesan dek penularan virus tersebut.

Kita menyaksikan di negara ini sendiri ketika pandemik melanda, struktur pembelajaran terpaksa menggunakan kaedah dalam talian (online) bagi memastikan para pelajar tidak ketinggalan atau keciciran.

Bagi mengakses platform pembelajaran secara online, pelajar dan guru memerlukan sambungan internet dan peranti seperti komputer, komputer riba, tablet atau telefon pintar.

Bagaimanapun tidak semua mempunyai kemudahan-kemudahan penting bagi tujuan ini, sebagai contoh, terdapat ramai pelajar yang kurang berkemampuan untuk memiliki sebarang peranti malah liputan internet juga terhad di kawasan pedalaman.

Begitu juga apabila kebanyakan sekolah di Malaysia tidak mempunyai laman sesawang rasmi sebaliknya hanya menggunakan media sosial sebagai medium komunikasi antara sekolah, ibu bapa, pelajar dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru.



Dato’ Saifuddin (kiri) dan Datuk Ts. Hasnul menyampaikan tablet kepada pelajar di Indera Mahkota Pahang.

Justeru baru-baru ini, Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota Pahang bersama agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia iaitu MYNIC, dan Huawei Technologies (Malaysia) berganding bahu membantu murid-murid yang kurang berkemampuan meneruskan pembelajaran ketika negara masih dilanda pandemik Covid-19.

Menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), Huawei Malaysia dan MYNIC menyumbangkan sejumlah 200 tablet Huawei MediaPad kepada pelajar dari sekolah terpilih di kawasan parlimen berkenaan.

Huawei Malaysia turut menyumbangkan dua unit Huawei IdeaHub Skrin Pintar (Smart Screen) kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Astana dan Sekolah Kebangsaan Balok Makmur bagi menyediakan pengalaman pembelajaran secara interaktif.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC, Datuk Ts. Hasnul Fadhly Hasan, pemberian tablet kepada pelajar-pelajar sekolah merupakan salah satu usaha agensi itu bagi mendekati dan mendidik masyarakat sekali gus menyokong usaha kerajaan ke arah menerapkan penglibatan digital kepada rakyat Malaysia.

Ia juga selaras dengan program utama MYNIC iaitu PRIME (Program Realisasi Impian Ekonomi Digital) yang telah diperkenalkan pada penghujung tahun 2020, di mana pendedahan awal kepada penggunaan teknologi akan dapat membantu memudahkan adaptasi ekonomi digital.

"MYNIC akan terus melaksanakan Program 'Corporate Social Responsibility' yang holistik dan sekali gus dapat membantu pembentukan pembangunan modal insan demi kesejahteraan komuniti.

"Dengan penganjuran program sebegini, ia menunjukkan MYNIC juga menitikberatkan perkara berkaitan kebajikan dan kesejahteraan masyarakat.

"Pelbagai inisiatif CSR telah dan akan dilaksanakan oleh MYNIC untuk dinikmati oleh masyarakat di mana untuk strategi jangka panjang ia akan memberi manfaat kepada sosio ekonomi negara secara keseluruhannya," katanya.



Datuk Ts. Hasnul: “Inisiatif pemberian tablet kepada pelajar-pelajar sekolah merupakan salah satu usaha MYNIC bagi mendekati dan mendidik masyarakat sekaligus menyokong usaha Kerajaan ke arah menerapkan penglibatan digital kepada rakyat Malaysia.”

Majlis penyampaian tersebut disempurnakan oleh Ahli Parlimen Indera Mahkota merangkap Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Selain itu, MYNIC turut mengambil inisiatif untuk mewujudkan Program 'Offline' Ke 'Online' sekolah-sekolah di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Parlimen Indera Mahkota dengan beberapa objektif.

Objektif pertamanya adalah membangunkan laman sesawang rasmi yang dilengkapi dengan fungsi E-Dagang di 47 buah sekolah di Indera Mahkota dengan menggunakan nama domain Edu.My.

Selain itu, inisiatif MYNIC juga bertujuan menyemarakkan kreativiti pelajar di dalam penyediaan kandungan digital sebagai platform perkongsian dan penyaluran maklumat di antara KPM, sekolah, ibu-bapa, PIBG dan murid.

Objektif lainnya adalah meluaskan pembudayaan teknologi digital dan menggalakkan kehadiran 'online' dalam kalangan sekolah, ibu-bapa, PIBG dan murid.

Selain itu, koperasi sekolah dan pelajar digalakkan terlibat dengan proses awal pembabitan e-dagang di samping memudahkan ibu bapa membuat pembayaran yuran atau pembelian buku secara 'online' di samping meningkatkan pendapatan koperasi sekolah.

Pelaksanaan program akan dilakukan secara dalam talian dan bersemuka selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tempoh selama tiga minggu diperuntukkan untuk melatih 47 sekolah, di mana MYNIC akan membimbing serta memantau perkembangan sekolah-sekolah selama dua bulan dari tarikh selesai latihan.

Program ini akan memberikan manfaat bukan sahaja kepada pelajar, malah kepada guru, ibu bapa, sekolah serta negara amnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain