suria

Kerajaan mahu lebih ramai usahawan Bumiputera dalam industri perkayuan, Program VenTures, Smart-Partnership MTIB tawar peluang terbaik

Wee menghadiri Majlis Anugerah Usahawan Baharu Bumiputera Sektor Perkayuan di bawah Program VenTures di sebuah hotel dekat Putrajaya, baru-baru ini. foto SAMUEL ONG/The Star

KERAJAAN berhasrat melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera dalam industri perkayuan dan perabot tempatan bagi merancakkan persaingan secara kompetitif di pasaran domestik dan global.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata penyertaan golongan Bumiputera dalam industri tersebut ketika ini amat rendah.

"Hanya ada kira-kira 471 usahawan Bumiputera dalam industri perkayuan dan perabot ketika ini. Malah sumbangan mereka berdasarkan nilai eksport produk berkenaan dianggarkan kurang dari satu peratus.

"Dalam hal ini, agenda untuk memperkukuhkan penyertaan bumiputera akan menjadi misi utama kami. Kerajaan juga sentiasa proaktif dalam memperkukuhkan kedudukan usahawan supaya mereka dapat bersaing di pasaran antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Usahawan Baharu Bumiputera Sektor Perkayuan di bawah Program VenTures di sebuah hotel dekat Putrajaya, baru-baru ini.

Bagi merealisasikan agenda itu, Wee berkata usahawan Bumiputera yang berminat dalam industri tersebut perlu mendaftar penyertaan bagi Program VenTures dan Smart-Partnership, salah satu inisiatif kementerian itu dengan kerjasama syarikat-syarikat rakan strategiknya.

Menerusi program tersebut, usahawan yang berminat berpeluang mengembangkan perusahaan perabot mereka selepas menyertai latihan berkenaan.

"Usahawan yang sedang menjalani latihan akan berpeluang memulakan perniagaan mereka sebagai vendor perabot atau subkontraktor, bukan hanya untuk pasaran domestik tetapi juga antarabangsa.

"Saya menggesa golongan belia untuk mengikuti program ini supaya mereka dapat mempertingkatkan diri untuk menjadi usahawan yang berjaya," katanya sambil memberitahu seramai 20 usahawan baharu bumiputera telah menamatkan sesi latihan di bawah program tersebut.

Wee turut menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) Bersama Industri bagi pelaksanaan Program Smart-Partnership antara Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dengan rakan strategik Promptcon Enterprise Sdn Bhd dan Pusan Furniture Industries (M) Sdn Bhd serta dua usahawan baharu Bumiputera.

Katanya, ketika ini seramai 22 usahawan baharu Bumiputera dan 10 syarikat rakan strategik baharu terlibat di bawah Program VenTureS dan Smart-Partnership.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan turut menyasarkan untuk melahirkan 600 usahawan Bumiputera menjelang tahun 2025 melalui program tersebut yang turut merangkumi bantuan pinjaman dan insentif kepada mereka yang layak selain latihan.

"Inisiatif tersebut akan merangkumi program untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran kilang kayu milik usahawan bumiputera.

"Di bawah program ini, pinjaman mesin berteknologi tinggi untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran akan diberikan kepada usahawan yang layak," katanya.

Pada masa sama, Wee turut menjelaskan pinjaman mudah akan diberikan di bawah program sokongan bahan mentah untuk membantu usahawan Bumiputera membeli bekalan bahan mentah yang diperlukan.

Katanya lagi, MTIB telah melaksanakan program Credible Entrepreneur, Marketing and Promotion (CEMP) untuk membimbing usahawan Bumiputera bagi menghasilkan produk bagi pasaran eksport.

"Melalui program ini, seramai tiga usahawan telah berjaya mengeluarkan produk perabot berjenama sendiri untuk pasaran eksport," katanya.

Wee berkata, kementerian melalui MTIB akan terus melaksanakan pelbagai program untuk memastikan usahawan Bumiputera lebih berdaya saing di pasaran global.

"Program-program yang dilaksanakan bukan sekadar melahirkan usahawan Bumiputera tetapi memastikan mereka boleh berdikari dan bersaing dalam pasaran terbuka," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain