Berdepan cabaran, namun operator perkhidmatan bekalan air tetap komited jamin pengguna peroleh sumber bersih dan kekal lestari

Bagi menyediakan bekalan air yang bersih dan selamat secara konsisten, pelaburan yang besar diperlukan dalam mengembangkan infrastruktur loji rawatan air yang sedia ada di negara ini

SEPERTI yang anda sedia maklum, air merupakan nadi kehidupan. Walaupun Malaysia mempunyai sumber air mentah yang banyak, kita kini berdepan dengan peningkatan permintaan yang mendadak kebelakangan ini.

Ramai antara kita yang memandang ringan hal sumber semula jadi asli ini, malah beranggapan bahawa proses membekalkan air bersih adalah murah dan mudah.

Operator perkhidmatan bekalan air di Malaysia kini berdepan pelbagai cabaran dalam memastikan pengguna mempunyai bekalan air bersih berterusan, dan memastikan kelestarian masa depan bekalan air.

Oleh itu, adalah difahami cabaran ini adalah kunci utama dalam mengenal pasti tanggungjawab bersama untuk memelihara sumber asli ini.

Kualiti Air Mentah

Menurut kajian mengenai sumber air tawar Malaysia yang dijalankan oleh Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF), hampir 97 peratus sumber air tawar negara ini berasal daripada sungai.

Kebanyakan loji rawatan air di Malaysia merawat air mentah dari sungai. Bagaimanapun, kebanyakan sumber air ini tercemar akibat aktiviti manusia.

Apabila sumber air mentah tercemar, loji rawatan mungkin perlu ditutup apabila tahap pencemaran telah melebihi tahap parameter selamat yang dibenarkan dalam proses rawatan atau melebihi kemampuan proses rawatan.

Operator air seperti Air Selangor telah melabur dalam memasang sensor kualiti air di hulu kawasan loji rawatan air bagi mengesan bahan tercemar di dalam sungai.

Apabila bahan tercemar sudah dikesan, sistem akan menghantar amaran bagi membolehkan langkah pencegahan awal dan pemulihan diambil bagi menghalang air yang tercemar dari mengalir ke dalam loji.

Namun begitu, sensor ini mempunyai keterbatasan seperti terdapat bahan pencemaran yang tidak boleh dikesan ataupun tidak boleh melewati sensor ini.

Orang awam juga perlu lebih prihatin dalam melindungi sungai kita, sekali gus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa untuk melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan berhampiran sumber-sumber air.

Memetik kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata, tanggungjawab bersama juga perlu dipikul oleh agensi negeri dan Persekutuan dalam menangani insiden pencemaran air.

"Merujuk kepada insiden pencemaran terbaru di Sungai Batang Benar, tanggungjawab bersama perlu dipikul oleh sekurang-kurangnya 10 agensi negeri dan Persekutuan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN), PDRM, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan majlis perbandaran tempatan," katanya.

Impak Perubahan Iklim

Perubahan iklim telah mengubah ketersediaan, kuantiti dan kualiti bekalan serta kitaran air global. Antara kesannya adalah musim kemarau yang lebih panjang dan hujan yang lebih lebat daripada biasa.

Walaupun hujan yang lebat secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan bekalan air mentah, ia juga akan mempengaruhi kemampuan tanah untuk menyerap air.

Limpahan air hujan akan membawa sampah-sarap, daun dan ranting, minyak dan tanah dari permukaan mengalir ke dalam sungai, mengakibatkan air menjadi keruh dan berkurangan kualitinya.

Merawat air keruh merupakan satu proses yang jauh lebih kompleks. Loji rawatan air mungkin perlu ditutup atau tahap aliran masuk air ke dalam loji perlu direndahkan apabila loji tidak boleh memproses air yang mempunyai tahap kekeruhan yang tinggi.

Bagi memastikan bekalan air yang berterusan, operator perkhidmatan bekalan air terpaksa mengurangkan kebergantungan terhadap satu sumber air mentah di samping mempertingkatkan kemampuan operasi merawat air, di mana memerlukan pelaburan yang tinggi.

Sebagai sebahagian daripada strategi untuk mempertingkatkan daya tahan dan kemampuan penyimpanan sumber air mentah, Air Selangor telah membina fasiliti Penyimpanan di Luar Sungai atau Off-River Storage (ORS) dan Penyimpanan Augmentasi Sungai Hibrid atau Hybrid Off River Augmentation Storage (HORAS).

Fasiliti HORAS 600 berhampiran Sungai Selangor boleh menyediakan 300 MLD (juta liter sehari) air mentah tambahan ke Loji Rawatan Sungai Selangor.

Antara usaha utama Air Selangor yang lain adalah pembinaan loji rawatan air moden di hiliran sumber air, iaitu Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih 2 dan Labohan Dagang.

Berikutan insiden pencemaran di Sungai Batang Benar, Dr Zaini turut memaklumkan bahawa LRA Semenyih 2 telah beroperasi menghasilkan air terawat seperti biasa walaupun loji tersebut menerima sumber air mentah dari sungai yang sama.

Ini kerana LRA Semenyih 2 memproses air mentah yang tidak tercemar yang telah disimpan di fasiliti ORS.

Pada masa hadapan, bekalan air mentah dari kemudahan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) dan HORAS akan membolehkan loji rawatan air untuk terus beroperasi meskipun sungai tercemar atau terkesan akibat perubahan iklim.

Walaupun dengan pendekatan baharu untuk menempatkan loji rawatan air di hilir sumber air, kemampuan Air Selangor untuk menampung jangkaan permintaan bergantung pada margin simpanan air yang berada pada 11 peratus setakat Disember 2019.

Bagi menyediakan bekalan air yang bersih dan selamat secara konsisten, pelaburan yang besar diperlukan dalam mengembangkan infrastruktur loji rawatan air yang sedia ada di negara ini.

Walau bagaimanapun, belanjawan operasi yang terhad dan tiada kenaikan kadar tarif sejak beberapa tahun yang lalu telah mengekang operator air untuk mempertingkatkan kemampuan operasi bagi memenuhi permintaan.

Namun demikian, usaha-usaha menangani perubahan iklim adalah tanggungjawab semua.

Memetik kata-kata Profesor Dr Sumiani Yusoff dari Institut Sains Samudera dan Bumi, Universiti Malaya (UM): "Perubahan iklim perlu ditangani dengan segera. Kita perlu bersama-sama mewujudkan kesedaran untuk mengurangkan impak terhadap iklim. Ini juga boleh merangkumi usaha dan strategi berterusan dalam mendorong pemikiran ke arah gaya hidup hijau."



Orang awam perlu memainkan peranan mereka dalam menjaga kebersihan dan memulihara air.

Kos Rawatan Air

Menurut SPAN, kos untuk merawat 1,000 liter (satu kubik meter padu [m3]) air adalah RM2.31 manakala purata tarif yang dikenakan kepada pengguna domestik di Malaysia adalah RM0.52 setiap m3 bagi 20 m3 air yang digunakan.

Secara purata, satu isi rumah menggunakan lebih kurang 20 m3 air sebulan, yang dianggarkan berjumlah RM10.40 bagi penggunaan yang dibilkan setiap bulan, walhal kos sebenar untuk merawat dan membekalkan air adalah RM46.20.

Sebagai perbandingan, pengguna domestik di Singapura contohnya, akan dicaj sebanyak S$1.21 (RM3.62) setiap m3 bagi 40 m3 pertama air yang digunakan.

Bagi setiap 20 m3 air yang digunakan, warga Singapura perlu membayar S$24.20 (RM87.60), termasuk cukai pemuliharaan air sebanyak 50% dan kadar tetap air setiap m3 untuk air yang digunakan.

Cukai pemuliharaan air ini dikenakan bagi menggalakkan warga Singapura untuk memulihara dan menghargai nilai air.

Ramai yang tidak peka dengan kos yang tinggi dan risiko yang ditanggung oleh operator air di Malaysia bagi menyediakan bekalan air bersih secara berterusan dan lestari.

Sebagai contoh, anggaran kos untuk Air Selangor menggantikan satu kilometer (km) paip agihan adalah RM1 juta.

Terdapat 6,000 km paip agihan simen asbestos (AC) usang yang terdapat dalam sistem pengagihan air.

Sehubungan itu, Air Selangor perlu meningkatkan usaha dan sumber kewangan bagi kerja pemantauan dan penyelenggaraan paip-paip usang ini.

Mengurus rangkaian pengagihan air merupakan usaha yang perlu dilaksanakan secara berterusan oleh operator air kerana aset lama ini akan menyebabkan peningkatan dalam insiden kebocoran, yang merupakan punca utama kepada kerugian dalam Air Tidak Berhasil (Non-Revenue Water, NRW).

Setakat ini, Air Selangor menyelenggara dan mengurus sejumlah 29,270km saluran paip agihan yang menyalurkan air kepada lebih 8.4 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Justeru itu, dalam usahanya untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat serta memastikan masa hadapan yang lestari untuk industri air, Air Selangor komited melabur RM35.4 bilion bagi tempoh 30 tahun sebagai sebahagian daripada perancangan perbelanjaan modal (Capex) berdasarkan perancangan dan inisiatif strategiknya.

Ini termasuk projek untuk membina loji rawatan sumber air baharu, menaik taraf kemudahan bekalan air sedia ada, mengurangkan kebocoran/NRW, menggantikan paip usang dan melaksanakan program pemuliharaan air.

Ke arah masa hadapan lestari industri air

Operator air di seluruh negara perlu bekerjasama untuk mencadangkan perubahan yang boleh diambil ke atas rangka kerja kawal selia dan polisi bagi aspek yang boleh membawa kesan yang positif kepada industri ini.

Kerjasama dalam bidang pendidikan dan penilaian risiko, serta perkongsian maklumat antara operator air negeri dan SPAN mengenai risiko merentasi sempadan (antara negeri) dan ancaman pada masa akan datang boleh dipupuk.

Operator air juga boleh menerokai teknologi canggih hasil dari Revolusi Perindustrian Keempat (4.0) bagi menyelesaikan cabaran pengurusan air yang sudah lama wujud di negara ini.

Digitalisasi dapat membantu operator air untuk membangunkan sumber air yang selamat, lestari dan berdaya tahan bersama dengan pengurusan aset yang berkesan.

Walaupun operator air bertanggungjawab menerokai dan melaksana teknologi bagi memenuhi permintaan bekalan air yang kian meningkat, ini sahaja tidak mencukupi untuk memastikan kelestarian masa hadapan industri air di Malaysia.

Menurut SPAN, penggunaan air domestik di Selangor pada tahun 2018 adalah 233 liter purata per kapita, jauh lebih tinggi dari 165 liter yang disyorkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Orang awam boleh memainkan peranan mereka dalam memulihara air dengan mengamalkan langkah-langkah menjimatkan air dalam kehidupan.

Ini termasuklah menggunakan air dengan lebih cekap dan berhemat yang boleh mendatangkan impak yang positif terhadap bekalan serta ketersediaan bekalan air mentah untuk jangka panjang.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain