Gimnasium, aktiviti di padang bola sepak, futsal dibenarkan bermula 19 Oktober... tapi kena patuh SOP ketat!

Kerajaan membenarkan gimnasium di kawasan PKPB beroperasi dengan SOP ketat bermula 19 Okober ini. Foto: Bernama

GIMNASIUM di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibenarkan untuk beroperasi semula, dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), berkuat kuasa Isnin ini.

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan turut membenarkan aktiviti sukan di padang bola sepak komersial dan pusat futsal.

Bagaimanapun tegas Ismail, ia hanya bagi tujuan latihan di mana tertakluk kepada 10 peserta pada satu-satu masa.

ARTIKEL BERKAITAN: Perhatian! PKPB kembali dilaksana di Selangor, KL dan Putrajaya bermula Rabu

Beliau berkata keputusan itu dibuat pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Sabtu, selepas mendengar permohonan dan rayuan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), berhubung aktiviti sukan di gimnasium dan padang bola sepak komersial serta pusat futsal di kawasan PKPB.

"SOP selanjutnya akan diumumkan oleh KBS dalam masa terdekat," katanya pada sidang media secara maya menerusi Facebook Kementerian Pertahanan, pada Sabtu.

Mengenai pasukan petugas operasi pematuhan, beliau berkata polis menahan 467 individu atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam, dengan 460 dikompaun manakala enam direman dan seorang dijamin.

Mengulas mengenai isu peniaga yang dikompaun kerana membawa lebih daripada dua penumpang dalam satu kenderaan dalam kawasan PKPB, beliau berkata orang ramai perlu memohon surat kebenaran polis bagi membawa lebih penumpang atas tujuan tertentu. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain