KJ tolak Anwar, mahu semua ahli Parlimen Umno nyatakan pendirian - “Mari lihat siapa yang ada angka”

Khairy menegaskan pendiriannya untuk tidak menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

AHLI Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin tegas dengan pendiriannya untuk tidak menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Perkara itu ditegaskan nenteri sains, teknologi dan inovasi itu menerusi satu kenyataan yang dibuat di dalam Instagram Story, pada Sabtu.

Penegasan Khairy itu susulan tersebarnya sepucuk surat yang kononnya ditulis oleh Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan sokongan parti itu terhadap Anwar sebagai perdana menteri seterusnya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tiada DAP, tiada hubungan dengan pimpinan yang bersepakat dengan DAP seperti Anwar, Tun M” - Ahmad Maslan

"Jika surat itu benar, saya ingin menyatakan secara tegas bahawa presiden saya tidak bercakap bagi pihak saya. Saya tidak menyokong Anwar Ibrahim untuk menjadi PM. Saya harap ahli Parlimen Umno yang lain akan menjelaskan kedudukan mereka. Mari kita lihat siapa yang mempunyai nombor," demikian tulis beliau.

Tedahulu, sepucuk surat menggunakan kepala surat Pertubuhan Kebangaan Melayu Bersatu (Umno) tersebar kononnya ditulis oleh Ahmad Zahid selaku Presiden Umno kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.

Intipati surat itu menggunakan tarikh 11 Oktober itu menyatakan ahli-ahli Parlimen Umno memberi sokongan kepada Anwar sebagai calon perdana menteri kesembilan.



Surat yang tular di media sosial kononnya ditulis oleh Ahmad Zahid.

Selain itu, surat tersebut juga menyatakan pula bahawa Ahmad Zahid dan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak serta sebilangan ahli Parlimen Umno telah menarik balik sokongan serta kepercayaan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, ibu pejabat Umno menafikan surat yang tular itu ditulis oleh Zahid dan Najib dan menegaskan ia sangat jelas palsu dan tidak mempunyai nombor rujukan.

Sementara itu, Ahmad Zahid dan serta Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi Twitter masing-masing menegaskan mereka tetap berpegang teguh dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno sebelum ini yang mahu mengukuhkan Muafakat Nasional (MN).

Pada 13 Oktober, Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah untuk menunjukkan bahawa beliau mendapat sokongan majoriti dari ahli Parlimen untuk menjadi perdana menteri seterusnya.

Namun, Istana Negara pada hari yang sama menerusi satu kenyataan berkata, dalam pertemuan selama 25 minit bersama Al-Sultan Abdullah, Presiden PKR itu tidak menyerahkan senarai nama ahli Parlimen sebaliknya hanya menyatakan jumlah sokongan yang diperolehinya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

KJ, KJ tolak Anwar, surat palsu

Artikel Berkaitan

Artikel Lain