“Tiada DAP, tiada hubungan dengan pimpinan yang bersepakat dengan DAP seperti Anwar, Tun M” - Ahmad Maslan

Ahmad Maslan menegaskan dirinya dan Ahmad Zahid tetap berpegang dengan keputusan Majlis Tertinggi sebelum ini. Foto: The Star

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan mereka tetap berpegang teguh dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) sebelum ini.

"Saya selaku SU Agung Umno juga Presiden Umno, Datuk Seri @DrZahidHamidi tetap berpegang teguh kepada pendirian keputusan mesyuarat MKT Umno sebelum ini iaitu Kukuhkan #BN, Mantapkan #MN (Muafakat Nasional).

"Tiada DAP, tiada hubungan dengan pimpinan yang bersepakat dengan DAP seperti @anwaribrahim, Tun M," demikian ciapan Ahmad menerusi Twitter pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar hanya kemukakan ‘jumlah’, tak senaraikan nama ahli Parlimen untuk kukuhkan dakwaan - Istana Negara

Pada masa yang sama, Ahmad Zahid turut meletakkan ciapan lamanya bertarikh 7 Ogos yang berbunyi 'Jangan dilepaskan genggaman ini', merujuk gambar dua tangan yang terlukis gambar bendera Umno dan PAS sedang berjabat.

Tweet kedua-dua pemimpin berkenaan menyusul selepas Ahmad Zahid didakwa menandatangani surat kepada Istana Negara bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang memaklumkan bahawa Umno akan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri seterusnya.

Pada 13 Oktober, Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah untuk menunjukkan bahawa beliau mendapat sokongan majoriti dari ahli Parlimen untuk menjadi perdana menteri seterusnya.

Namun, Istana Negara pada hari yang sama menerusi satu kenyataan berkata, dalam pertemuan selama 25 minit bersama Al-Sultan Abdullah, Presiden PKR itu tidak menyerahkan senarai nama ahli Parlimen sebaliknya hanya menyatakan jumlah sokongan yang diperolehinya. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain