suria

Maki polis, 4 lelaki mabuk cetus kekecohan di plaza tol ditahan

Mereka direman selama tiga hari hingga 18 Oktober untuk memudahkan siasatan.

POLIS menahan empat lelaki kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas di plaza tol Slim River, Perak pada awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, polis dipanggil setelah empat lelaki, berusia antara 25 dan 41 tahun, yang membuat kekecohan di tepi jalan berhampiran plaza tol kira-kira pukul 3.30 pagi.

Katanya, keempat-empat lelaki itu didapati mabuk dan diminta meninggalkan lokasi berkenaan.

“Mereka berdiri di luar sebuah kereta dan memasang muzik dengan kuat.

"Mereka diminta untuk pergi, dua daripada mereka mengamuk dan menyerang dengan menolak badan anggota tersebut dan turut mengeluarkan kata-kata kesat.

"Semasa kejadian, salah seorang daripada mereka juga mula merakam video dan cuba membuat provokasi," tambahnya.

Keempat-empat mereka ditangkap dan akan disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Salah seorang daripada empat lelaki itu mempunyai kesalahan berkaitan perjudian dan rusuhan dalam rekodnya.

"Mereka direman selama tiga hari hingga 18 Oktober untuk memudahkan siasatan.

"Jika disabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-duanya," katanya. - The Star.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berikut

Artikel Lain